ZARINA dan Mohd Abdul Rahim (dua dari kiri) menang televisyen anjuran pasar raya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Rezeki datang dalam pelbagai cara, namun hendak dapat rezeki perlulah bekerja. Tanpa usaha kita tidak akan mendapat hasilnya. Demikian prinsip sepasang suami isteri dari ibu negara yang tidak pernah jemu mencuba menyertai pelbagai peraduan sehingga memperoleh ganjaran setiap bulan.

Bagi juruteknik perubatan, Mohd Abdul Rahim Abu Bakar, 37, dan Zarina Ismail, 38, mereka tetap bersyukur walaupun hanya dipilih sebagai pemenang sagu hati kerana hadiah diterima memberi perangsang kepada mereka untuk terus berusaha.

Zarina yang juga penyelia kilang berkata, dia mula menyertai peraduan sejak dua tahun lalu selepas mendapati seorang rakan terbabit dalam hobi menyertai peraduan memenangi pelbagai barangan.

“Saya mendapat dorongan daripada kejayaan rakan dan dia menggalakkan saya mencuba. Jika orang lain boleh melakukannya mengapa tidak saya juga buat perkara yang sama.

“Kebanyakan peraduan boleh disertai secara percuma terutama yang dibuka secara dalam talian tanpa perlu mengeluarkan modal. Saya mulakan langkah dengan menyertai peraduan kecil-kecil seperti merebut tawaran pemberian percuma.

“Pada peringkat awal menyertai peraduan, saya berjaya memenangi tiket menonton wayang dan ketika itu saya sangat seronok kerana terpilih sebagai pemenang. Selepas itu saya menang banyak lagi peraduan yang menawarkan gajet pintar,” katanya.

Zarina berkata, minatnya menyertai peraduan mendapat sokongan suami yang kemudian turut sama dalam hobi itu sehingga kedua-duanya menjadi ketagih menyertai pelbagai peraduan dan pertandingan anjuran syarikat swasta, pasar raya, hotel, kompleks beli-belah dan restoran.

“Kami menyertai peraduan bukan sekadar suka-suka kerana kami juga pasang strategi yang betul, selain mengkaji mekanisme setiap peraduan supaya menepati syarat dikehendaki. Setiap kali menang, semangat kami semakin membara dan bertambah aktif memburu peraduan seterusnya.

“Lazimnya peraduan disertai memerlukan kami menjawab soalan ringkas, teka-teki, melengkapkan slogan kata, membuat belian produk, menghantar rakaman gambar dan ada juga melakukan cabaran,” katanya yang sudah menyertai lebih 500 peraduan.


SEISI keluarga sertai peraduan hari sukan anjuran pusat beli-belah dan menang tempat pertama.

Tiga anak pasangan itu, Imran Hakimi, 12, Iman Haziq, 11, dan Ammar Hadif, 5, turut sama menyertai peraduan atau pertandingan yang memerlukan pembabitan satu keluarga seperti bergambar kenangan sewaktu percutian, hari sukan dan hari keluarga.

Hobi menyertai peraduan membawa mereka sekeluarga bercuti dalam negara, menikmati penginapan di hotel dan pakej menjamu selera. Antara hadiah kemenangan ialah pelbagai perkakas elektrik, gajet pintar, barang kemas, baucar beli-belah, perabot rumah dan produk kecantikan.

Ganjaran paling besar pernah dimenangi Zarina set katil dan tilam bernilai RM11,000 menerusi peraduan ‘Bed Making Contest’ anjuran Harvey Norman.

Baru-baru ini, Mohd Abdul Rahim dan rakannya, Ahmad Daud Abdul Manan, 39, memenangi peluang membeli-belah bernilai RM12,000 menerusi peraduan ‘Energizer Shop In The Dark 2018’ anjuran Energizer.

“Peraduan berlangsung pada Mac sehingga Mei tahun ini, mereka menyertai dengan mengambil bahagian dalam cabaran Realiti Maya (VR). Cabaran itu diadakan secara jelajah di lebih 60 lokasi di tujuh bandar raya di seluruh Malaysia, namun orang ramai boleh menghantar borang penyertaan melalui pos dan e-mel serta bermain permainan dalam talian.

“Suami dan rakannya antara 10 peserta akhir yang terpilih untuk melengkapkan cabaran membeli-belah dalam gelap dan hanya ditemani lampu suluh. Cabaran sukar kerana pandangan yang terhad, selain hanya diberi tempoh 15 minit untuk mengambil apa saja barangan tanpa dibekalkan troli,” katanya.


MENANG set tilam dan katil bernilai lebih RM11,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:00 AM