KELUARGA berkongsi minat dalam hiasan dalaman. FOTO E-mel
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MESKIPUN penghias dalaman bukan kerjaya pertama buat Anis Syuhada Azmi Najib, 30, ia impian dan minatnya sejak kecil yang membuatkan dia sanggup meninggalkan kerjaya stabil.

Katanya, dia mewarisi minat itu daripada ibunya, Fauziah Said yang gemar menghias rumah. Rasa puas dan gembira hanya dikecapi selepas melihat ruang ditatarias tersergam indah.

Menurut Anis, lebih menggembirakan kerana pada awalnya kerja menghias rumah yang dilihat sebagai hobi tidak saja dikongsi dengan ibu, malah menarik minat suami, Shahrizal Ahmad yang pernah bekerja dengan syarikat perabot.

“Kalau cakap mengenai kenangan masa kecil, rasanya yang menyemai minat saya terhadap kerja menghias rumah ini adalah ibu. Saya masih ingat disebabkan terlalu minat dengan dekorasi rumah, saya dan emak sanggup berjalan kaki tiga kilometer ke kedai bunga.

“Malah, kalau kanak-kanak lain sibuk beli mainan dan makanan ringan, saya pula kumpul duit sebab hendak beli barangan hiasan rumah untuk emak. Apabila sudah dewasa, saya menghias rumah emak di kampung di Parit Buntar Perak. Itulah hadiah terbaik saya kepadanya,” katanya.

Ibunya pula berkata, dia gembira minat terhadap kerja menghias rumah dikongsi bersama anak perempuan, malah dengan menantu serta anak lain.

“Saya memang suka tengok rumah cantik. Pantang duit ada lebih sikit dan bosan dengan susun atur rumah, terus berpakat dengan anak untuk ubah apa yang patut.

“Kami bukan orang senang tetapi mungkin rezeki atau minat, barang dua ringgit atau di kedai murah pun kami anak-beranak boleh jadikannya supaya tampak menarik dan menepati tema ruang.

“Malah ketika Anis beli rumah pertamanya, suami dan anak lain tolong menatarias ruang daripada rumah kosong menjadi kediaman bercirikan Bali.

“Lucunya suami saya tiada pengalaman dalam kerja bertukang. Dia jadi bidan terjun menolong anak buat ‘table top’ untuk dapur. Semua berpandukan bacaan dan klip video dalam Internet. Mujur kami ‘sekepala’ dan hasilnya memang ‘menjadi’ sehinggalah apabila dijual kepada pembeli baru, dia membuat permintaan agar susun atur hiasan dikekalkan,” katanya.

Malah, ketika anak perempuannya itu melakukan kerja menghias rumah di kediaman pelanggan, dia dan suami sering menemani serta membantu menyiapkan kerja.

Malah, anak lelaki dan menantu antara individu turut membantu kerja dekorasi supaya mereka dapat memberikan hasil lebih baik kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:16 AM