PELAYARAN kapal pesiaran Dream Cruises menuju ke Pulau Bintan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Percutian belayar di atas kapal persiaran sering dilihat eksklusif buat golongan atasan dan elit kerana fasiliti serta aktiviti disediakan lebih berunsurkan gaya hidup golongan berkenaan.

Malah bagi pelancongan bersama keluarga dan kenalan, pelancong tempatan berasakan percutian bergenre itu tidak sesuai dengan atur cara yang mereka rancang.

Ada juga sangsi terhadap penggemar percutian atas kapal mewah yang dilihat hanya untuk mereka yang gemar bersosial selain mensasarkan kepada golongan tertentu seperti pesara. Namun, yang pasti, semua mahukan percutian yang berbeza dan tenang sambil menikmati pemandangan laut lepas dibelai bayu laut.

Andaian penulis sendiri yang lebih gemar mengggalas beg merentas dari satu lokasi ke lokasi lain, percutian di atas kapal memang mengundang resah kerana beranggapan tidak banyak pilihan ditawarkan bagi memenuhi atur cara percutian apatah lagi memerlukan pengunjung kapal bermalam.


KANAK-kanak ceria bersama karakter Hotel Transylvania 3: Summer Vacation.

Namun tanggapan mula berubah apabila menerima peluang mengikuti pengalaman pelayaran bersama Genting Cruise Lines ke Pulau Bintan, Indonesia menaiki kapal mewah Dream Cruises selama tiga hari dua malam dari Marina Bay, Singapura, baru-baru ini.

Sesuai dengan nama kapal terbabit, pengalaman pelayaran mewah merentasi lautan menuju ke satu pulau daripada lebih 200 pulau dalam kepulauan Riau memang sukar dilepaskan.

Tiada bezanya dengan pengalaman menaiki pesawat, setiap pelancong yang mengikuti pelayaran perlu melalui sistem pemeriksaan imigresen sebelum menaiki kapal mewah terbabit. Pada hari pelayaran, penumpang harus tiba lebih awal di pelabuhan bagi memudahkan proses daftar masuk dan pemeriksaan bagasi.


PEMANDANGAN malam di dek utama menempatkan kolam renang.

Sebenarnya, pelayaran ke Pulau Bintan destinasi baru dalam senarai pelayaran Dream Cruises dari Singapura. Sebelum ini kapal berkenaan menawarkan pelayaran ke empat destinasi iaitu Pulau Pinang, Singapura, Pulau Phuket (Thailand) dan Pulau Bali (Indonesia) dari Pelabuhan Klang, Malaysia, Disember tahun lalu.

Pelayaran yang dijadualkan setiap minggu bermula hari Jumaat sehingga Ahad membolehkan pelancong menikmati suasana malam di tengah laut manakala hari berikutnya mereka boleh memilih untuk melawat sekitar Pulau Bintan yang terkenal dengan pelbagai aktiviti rekreasi.

Berbanding dengan kapal pesiaran mewah Superstar Libra yang membawa 1,354 penumpang dari Pulau Pinang ke Krabi atau Phuket, kapal mewah Dream Cruises sekali ganda besar kerana mampu menampung kapasiti 3,352 penumpang.


KEMUDAHAN boling disediakan.

Kapal berkenaan mempunyai 20 dek termasuk kemudahan rekreasi air yang dilengkapi gelongsor air dan dek tinjau bagi membolehkan penginap di kapal terbabit merakam gambar dengan pemandangan sekitar lautan.

Kabin penginapan yang disediakan di dek kelapan jenis Balcony Deluxe Starteroom boleh memuatkan tiga orang dewasa dilengkapi televisyen dan kemudahan lain. Malah ia juga dilengkapi balkoni yang membolehkan penginap meninjau pemandangan dan menikmati bayu laut. Ada lima pilihan kemudahan bilik yang boleh dipilih mengikut bajet.


UNIK persembahan hidangan tradisi.

Sesi makan malam kumpulan media yang mengikuti lawatan ini berlangsung di Bistro Mark Best. Menariknya, sajian disediakan bercirikan tradisional Melayu seperti sate ayam, sup ekor bersama roti dan paling digemari penulis, kulit ikan goreng. Meskipun ia sajian Asia, cara setiap sajian dihidangkan sungguh ‘elegan’ dan menarik untuk perkongsian dalam media sosial.

Pengalaman hari pertama di atas kapal, rasanya masa sangat terhad untuk menjelajah segenap ruang kapal apatah lagi mencuba aktiviti yang ditawarkan. Usai makan malam, kami menyaksikan persembahan di Zodiak Theater.


ANTARA persembahan di Zodiak Theater.

Bagi penggemar aktiviti lasak, penulis sarankan menjengah kemudahan riadah di dek 18 hingga 20. Stesen aktiviti tali atau ‘rope course’ mampu memenuhi cita rasa penggiat acara lasak. Bayangkan meniti tali dan platform tergantung di sisi kapal sambil terbuai akibat hembusan angin laut pasti pengalaman luar biasa buat pencinta aktiviti luar.

Tidak kurang hebatnya kolam renang bertaraf Olimpik mampu memenuhi permintaan penggemar aktiviti air dan berita baik, ia dibuka sehingga jam 10 malam, selain memiliki ‘Johnnie Walker House’ yang pertama di dunia berada di atas laut.

Sementara itu Presiden Dream Cruises, Thatcher Brown berkata, Pulau Bintan yang hampir dengan Singapura boleh menjadi destinasi menarik buat pelancong yang mengikuti pelayaran berkenaan.


ROPE Course untuk peminat sukan lasak.

“Kedudukan Bintan di antara laluan utama kapal membolehkan pelancong mengikuti pelayaran Dream Cruises. Bukan saja pemandangan, kepelbagaian budaya juga membolehkan Bintan berkembang seperti destinasi popular Indonesia lain seperti Bali, Jakarta dan Surabaya.

“Tambah pula hubungan dua hala iaitu kerjasama penggiat pelancongan di pulau ini bersama Genting Cruise Lines dilihat sangat baik kerana pada akhirnya dapat membantu pengusaha tempatan menjana pendapatan lebih baik menerusi pelancongan berasaskan pelayaran,” katanya.

Hari kedua, pelancong berpeluang menjejakkan kaki di Pulau Bintan selama 12 jam seterusnya mencuba pelbagai aktiviti termasuk wakeboarding, kayak, snorkeling, ATV off-road, meneroka Safari Lagoi, ECO Farm dan Mangrove Eco Tour.


TARIKAN utama iaitu gelongsor air.

Kapal persiaran Dream Cruises

• Bersaiz 335 meter panjang, 40 meter lebar dan seberat 151,300 tan.

• Mempunyai 20 dek dengan kapasiti 3,352 penumpang boleh diakses menggunakan lif.

• Memiliki Johnnie Walker House pertama di dunia berada di atas laut.

• Pusat refleksologi terbesar yang menyediakan spa Asia dan antarabangsa.

• Kemudahan rekreasi termasuk enam mini golf, lapangan bola keranjang, trek joging, taman tema air dengan enam stesen mencabar.

• Kamar ‘staterooms’ dilengkapi balkoni peribadi sekali ganda lebih luas berbanding kapal pesiaran lain.

• Ada 142 suite elegan dengan fasiliti VIP peribadi termasuk kolam renang, spa, gimnasium dan tempat makan eksklusif.

• Khidmat bantuan peribadi 24 jam ‘Dream Butler’ dengan petugas mahir bertutur pelbagai bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:31 AM