LATIHAN persediaan bagi menghadapi SUKUM.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Kayuhan sejauh 150 kilometer (km) pada hujung minggu meliputi laluan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Slim River, Sungkai dan Behrang, antara sesi latihan persediaan Kelab Berbasikal UPSI sejak Januari lalu.

Ahli pasukan terdiri daripada 14 kakitangan dan 15 mahasiswa UPSI memulakan persiapan mental dan fizikal bagi menghadapi karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Kejohanan Sukan Staf IPTA (SUKUM) dalam masa terdekat.

Pengerusi Kelab Berbasikal Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Shahrul Abd Wahid berkata, kerjasama dengan beberapa pasukan setempat seperti pasukan Geng Kota Malim, Bandar Behrang 2020 Cycling Team dan Jiwa Kental Cycling Club dapat memeriahkan lagi sesi latihan rutin berkenaan.

“Selain melakukan latihan hujung minggu, kami mengadakan latihan kayuhan pada hari bekerja membabitkan laluan sekitar UPSI, Proton City dan Behrang sejauh 50 hingga 60km.

“Oleh kerana pembentukan dan persiapan pasukan berlangsung dalam serba kekurangan, Pusat Sukan UPSI memberi sokongan padu kepada kami untuk menyertai mana-mana kejohanan yang diiktiraf.


SERTAI pelbagai pertandingan berbasikal.

“Sokongan termasuk bantuan yuran penyertaan dan kemudahan pengangkutan bagi kegunaan kelab sekali gus menyemarakkan lagi semangat serta motivasi seluruh ahli kelab ini.

“Hasilnya, kami berjaya mencipta rekod tersendiri apabila Mac lalu, ahli pasukan, Mohamad Amin Idrus mendapat tempat ketujuh kategori Lelaki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) manakala Ahmad Ritaudin Hamzah mendapat tempat kesembilan bagi kategori Kakitangan IPT bagi acara CC MTB Challenge 2018 anjuran Kolej Komuniti Batang Kali,” katanya yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Muallim.

Berkongsi kejayaan lain, pasukan itu juga meraih kedudukan di tangga ke-11 dalam kategori Lelaki Junior, ke-15 dan 17 dalam kategori Lelaki Senior, ke-16 kategori Terbuka Lelaki dan ke-18 kategori Lelaki Veteran bagi program Sg Manik MTB Jamboree, April lalu.


BERJAYA cipta rekod tersendiri.

Mohd Shahrul berkata, kejayaan pasukannya memberi motivasi kepada ahli pasukan untuk optimis dan positif bagi menghadapi karnival sukan MASUM dan SUKUM, yang berlangsung sepanjang bulan ini.

Bagi memastikan kejayaan terus konsisten, Mohd Shahrul berkata, pihak pengurusan kelab menghantar jurulatih mengikuti kursus kejurulatihan berbasikal yang dianjurkan badan sukan diiktiraf.

Dalam perkembangan terbaru, Kelab Berbasikal UPSI ini akan berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam masa terdekat bagi memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Selain itu, dia mempelawa mana-mana syarikat, pihak tertentu mahupun orang perseorangan untuk menjadi sebahagian daripada rakan penaja, seterusnya menjadi keluarga pasukan Kelab Berbasikal UPSI.


TERIMA sokongan daripada pihak UPSI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 1:10 AM