TERIMA kunjungan daripada pelancong setiap hari.
TART telur popular di Macau.
KEINDAHAN dalaman hotel mewah di Macau.
GIANT Panda Pavillion antara usaha kerajaan menyelamatkan panda gergasi.
MENYUSURI kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Bem vindo a Macao! Selamat datang ke Macau!

Mengunjungi Macau buat kali pertama menerusi lawatan ‘Muslim Media Fam Trip to Macau’ anjuran Macau Government Tourism Office (MGTO) baru-baru ini, memberi penulis peluang menerokai keunikan wilayah yang pernah menjadi sebahagian daripada pelabuhan penting laluan sutera dunia.

Dikenali dengan gelaran ‘Ou Mun’ (pintu gerbang perdagangan), Macau mengamalkan sistem pentadbiran ‘satu negara, dua sistem’ apabila ia diletakkan bawah Wilayah Pentadbiran Khas Macau Republik Rakyat China.

Menginap di hotel lima bintang, Legend Palace Hotel berdekatan Macau Fishermen’s Wharf selama empat hari tiga malam, penulis tertarik dengan inisiatif dilakukan pihak pengurusan yang memahami aspek keperluan pelancong Muslim apabila menyediakan sejadah bersama kompas kiblat di bilik hotel.

Menjadi antara destinasi pelancongan utama dunia dengan catatan kehadiran pelancong secara purata seramai 30 juta sepanjang 2017, setiap bahagian Macau memiliki tarikan tersendiri sama ada kemewahan hotel, aneka motif struktur binaan, limpahan cahaya berwarna-warni pada sebelah malam, ketenangan perkampungan nelayan yang nostalgia mahupun tinggalan sejarah dipengaruhi elemen kolonial Portugis.

Menyusuri tinggalan sejarah Portugis yang diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Ruins of St Paul’s yang juga simbolik buat Macau, penulis menyenaraikannya lokasi wajib dikunjungi sekiranya berada di sini.

Menurut wakil MGTO, dinding bersejarah itu sering menjadi tumpuan pelancong kerana keunikan seni bina Portugis seiring dengan motif yang diterapkan pada struktur berkenaan.

Kedudukannya di atas bukit menyerlahkan lagi tarikan tinggalan sejarah yang dibina pada 1602 ini sebelum ia musnah akibat kebakaran pada 1835.

Sesak dengan pelancong tempatan dan asing, penulis dan rakan lain terpaksa menunggu dan memilih posisi tepat untuk merakamkan gambar bersama Ruins of St Paul’s tanpa ‘entiti’ tambahan, namun ia adalah misi yang mustahil untuk dilakukan.

Setiap anak tangga menuju ke Ruins of St Paul’s dijadikan ‘pentas’ utama bagi setiap pengunjung untuk memahat memori sebagai bukti kedatangan mereka ke Macau dengan berlatarkan binaan berkenaan.

Bagi mereka yang ingin mencari cenderahati buat keluarga dan teman, barisan kedai di sekitar Ruins of St Paul’s tempat sesuai mendapatkan pelbagai jenis buah tangan pada harga berpatutan.

Kedudukan Ruins of St Paul’s ini juga sungguh strategik buat pelancong berhampiran destinasi bersejarah lain termasuk Mount Fortress, Senado Square, Macau Museum dan Love’s Lane.

Bagi penggemar drama Hallyu, pasti maklum Macau antara destinasi penggambaran drama popular termasuk Princess Hour yang berlatarbelakangkan perkampungan nelayan di Coloane.

Menariknya, keistimewaan Coloane tidak saja bergantung pada ketenangan dan kedamaian kehidupan masyarakat tempatan, bahkan keenakan tart telur paling popular di Macau, Lord Stow.

Beralih ke perspektif Macao yang moden, penulis berasa kagum setiap kali menjejakkan kaki ke lobi beberapa hotel mewah yang dilengkapi fasiliti sempurna bagi meraikan kedatangan pelancong.

Sedangkan luaran binaan hotel kelihatan gah, mewah dan eksklusif, apatah bahagian dalaman yang indah dengan sentuhan seni reka dalaman elegan, suntikan idea dan konsep inspirasi negara Barat diterapkan pada dinding, lantai bahkan siling pasti cukup membuatkan penulis teruja.

Justeru penulis menyarankan ‘hotel hopping’ antara satu daripada aktiviti perlu dilakukan sekiranya pembaca merancang berkunjung ke Macau.

Bagi mereka yang mengagumi keindahan dan rasa romantis terhadap Menara Eiffel, pengalaman itu boleh dinikmati sekiranya anda mengunjungi replikanya di The Parisian Macao.

Berkesempatan memperuntukkan masa kira-kira 30 minit di Menara Eiffel ini, penulis dimaklumkan bahawa replika itu adalah binaan paling tinggi menyamai ketinggian bangunan 38 tingkat berbanding replika yang lain di seluruh dunia malah ia juga lebih realistik.

Menariknya, setiap hari lebih 20 pertunjukan ‘Grand Illumination’ iaitu persembahan lampu pelbagai warna dan tema pada struktur menara sambil diiringi alunan muzik bermula jam 6.15 petang hingga 12 tengah malam bagi mencipta kelainan sekali gus peluang kepada pengunjung untuk merakamkan gambar.

Andai The Parisian Macao menyajikan sentuhan magis, resort hiburan popular Studio City pula tampil dengan tarikan berbeza seperti simulasi Batman Dark Flight dan Golden Reel.

Pengalaman menyertai pengembaraan simulasi penerbangan empat dimensi (4D), Batman Dark Flight, antara aktiviti paling menarik dilalui sepanjang lawatan ini.

Membawa penulis bersama-sama karakter terkenal DC Comics menyelamatkan Gotham City, simulasi 4D pertama ini dilengkapi teknologi penerbangan terbaik dalam reka bentuk audio, grafik dan juga kesan khas seperti gegaran akibat pelanggaran, ledakan bom, tiupan angin dan percikan air.

Dari jauh lagi, binaan resort mewah Studio City ini tampak menyerlah apabila ada angka lapan di tengah-tengah bangunannya. Apa yang mengejutkan, angka lapan itu sebenarnya adalah roda Ferris yang membolehkan pengunjung melihat keindahan Cotai.

Dikatakan roda Ferris tertinggi dunia, penulis berasa bertuah apabila dapat menikmati pemandangan sekeliling dengan ketinggian 130 meter di udara.

Mempunyai 17 kabin berbentuk bulat bersegi, kapsul mampu menampung penumpang seramai 10 orang dan ia akan bergerak mengikut bentuk angka lapan.

Secara peribadi, Macao antara destinasi pelancongan yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Macao juga menyajikan kepelbagaian tarikan berbeza dan menyeluruh merangkumi kehidupan masyarakat setempat yang tradisional, keindahan latar belakang sejarah kesan pengaruh Portugis, sisi moden dan pembangunan pesat, keunikan seni bina hotel serta tarikan luar biasa yang mampu menarik lebih ramai pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:46 AM