MAZLAN (kiri) menyempurnakan pelepasan Kayuhan Mesra.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Kayuhan mendaki jambatan ketiga Klang, Jambatan Raja Muda Nala sepanjang 2.5 kilometer (km) merentasi Sungai Klang dari persimpangan Sungai Udang dan berakhir di Tanjung Syawal menjadi cabaran buat peserta Kayuhan Mesra Polis, 8 April lalu.

Kayuhan julung kali diadakan antara program Karnival Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Klang Selatan anjuran Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan bersama D’Klang Cop Cycling Club (DKCC).

Sempena sambutan Hari Polis ke-211, IPD Klang Selatan dipilih sebagai lokasi penganjuran karnival ini bagi peringkat Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pe­nganjuran karnival dan kayuhan ini menjadi satu daripada program komuniti antara dua pihak.

“Seiring dengan tema Hari Polis, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ kita ingin menarik perhatian orang ramai supaya sentiasa berdampingan dengan pihak polis.

“Kayuhan membabit­kan jarak sejauh 25km dan tujuh km ini terbuka kepada golongan VIP serta orang awam. Kayuhan ini bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 9.30 pagi.

“Laluan kayuhan bermula dari Kom­pleks Sukan Pandamaran melalui Jambatan Raja Muda Nala menuju ke Bandar Sultan Sulaiman, Jalan Raja Lumu untuk menamatkan kayuhan di kompleks yang sama.

“Kita menerima penyertaan kira-kira 800 orang termasuk 661 peserta lelaki dan 111 wanita, juga merangkumi pembabitan 150 anggota polis,” katanya yang turut menyertai kayuhan bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Berbasikal disifatkan aktiviti riadah menyihatkan tubuh, beliau berkata, ia juga mampu memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan antara PDRM dan orang awam.

Ujarnya, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada PDRM bagi mencegah jenayah, sekali gus menjaga keamanan awam dan negara.

Bagi memastikan keselamatan peserta, antara syarat ditetapkan basikal perlu mempu­nyai ciri keselamatan dan pemakaian topi keledar seiring dengan slogan, ‘No Helmet No Ride’.

Selain itu, peserta di­nasihat mendengar arahan polis pengiring kayuhan bagi mengelakkan perkara tidak diingini sepanjang program berlangsung.

Antara aktiviti lain termasuk persembahan pancaragam PDRM, pameran PDRM, bomba, Agensi Antidadah Kebangsaan, persembahan unit anjing (K-9), semakan saman trafik, pemeriksaan kesihatan, cabutan bertuah dan pertunjukan atlet bina badan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:43 AM