GELATO enak dengan bahan segar seperti buah-buahan menjadi pencuci mulut kegemaran masyarakat tempatan.
DATARAN Piazza della Repubblica yang agak sibuk berikutan terletak berhampiran dengan Roma Termini.
PERKHIDMATAN kereta api Trenitalia yang seakan-akan Komuter di Malaysia.
PENULIS menikmati pemandangan malam di Trevi Fountain sambil melihat gelagat pengunjung membaling syiling.
SELAIN Trevi, ada lebih 2,000 kolam air pancut di Rom antaranya Fontana dell’Acqua Felice.
Nor Faizah Mohamed
metahad@hmetro.com.my


Semuanya gara-gara filem Lizzie McGuire. Jika tidak disebabkan keterujaan Lizzie membonceng Vespa jingga bersama Paolo mengelilingi Rome, mungkin kota metropolitan itu berada di antara tangga pertengahan dalam senarai kembara penulis.

Syukur selepas lebih 13 tahun menyimpan impian ke ibu negara Itali itu (selepas berulang kali menonton Lizzie McGuire sejak 2003), peluang hadir juga untuk ke sana meskipun berkesempatan menerokanya hanya tiga hari.

Dengan lebih 3,000 hasil seni, budaya dan reka bentuk tinggalan Empayar Roman sekitar tahun 753 sebelum Masihi, Rome sememangnya menjadi tarikan si pencinta sejarah serta pengunjung dari seluruh dunia.

Jaluran sejarahnya dipenuhi mitologi Rome yang menghuni kawasan itu pada tahun 700 sebelum Masihi dan pengkaji mendapati Rome antara tapak paling lama dihuni di benua Eropah.

Penduduk asalnya adalah kalangan keturunan Latin, Etruria dan Sabine yang kemudian dipenuhi bangsa Romawi lalu menjadikan Rome sebagai ibu kota kerajaan mereka, bermula sebagai republik hinggalah kepada empayar dunia.

Rome turut disifatkan sebagai tempat kelahiran tamadun Barat malah dikatakan sebagai metropolis pertama di dunia. Ia kemudian diberi nama sampingan ‘The Eternal City’ (Kota Abadi) atau ‘La Citta Eterna’ dalam bahasa Itali oleh penyair Rome, Tibullis pada abad pertama sebelum Masihi.

Untuk ke Rome, pengunjung boleh memasuki kota ini sama ada menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo da Vinci dan Lapangan Terbang Ciampino, menaiki kereta api Eurail dari bandar raya utama Eropah atau mencuba perkhidmatan bas antaranya GoEuro.

Penulis bersama ibu dan adik terlebih dulu menghabiskan masa beberapa hari di Venice, Vicenza serta Verona, justeru menaiki pesawat Alitalia adalah pilihan yang lebih murah dan pantas.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo da Vinci kami menaiki kereta api Trenitalia (seakan-akan komuter di Malaysia) ke stesen utama Roma Termini dengan harga 10 euro (RM48.30) seorang bagi perjalanan selama 30 minit.

Lebih 150 juta penumpang menggunakan terminal kereta api ini dengan 33 platform ke seluruh bandar utama Itali, selain perkhidmatan pengangkutan harian antarabangsa ke Jerman (Munich dan Geneva) serta Austria (Vienna) hingga menjadikan Roma Termini sebagai stesen kereta api kedua terbesar di Eropah selepas Gare du Nord di Paris.

Stesen ini juga sebagai hab pengangkutan awam domestik Rome. Rangkaian tren Metro laluan A dan B, atau dipanggil Metropolitana oleh penduduk tempatan, bersilang di terminal ini sementara stesen bas utamanya terletak di Piazza dei Cinquecento iaitu dataran yang terletak di depan terminal.

Selain kebanjiran hotel dan rumah penginapan di sekitar Roma Termini, restoran serta kafe tidak ketinggalan memenuhi laluan utama di kawasan itu. Menariknya, makanan halal mudah didapati di sekeliling Roma Termini yang kebanyakannya dibarisi restoran Turki, India dan Syria.

Trevi Fountain (air pancut Trevi) menjadi lokasi pertama yang ingin dituju penulis dan mengikut perancangan awal, kami mahu menikmati sarapan tengah hari secara ‘alfresco’ di kafe berhadapan dengan seni bina itu.

Namun disebabkan kesuntukan masa, penulis memilih menikmati hidangan lewat malam pek mini biskut mentega sambil melihat gelagat pengunjung memasang niat lalu membaling duit syiling ke dalam kolam Trevi itu.

Untuk ke sana, kami menaiki tren Metro laluan A dari Roma Termini ke stesen Barberini yang hanya mengambil masa kurang tiga minit dengan harga 2 euro (RM9.66) sehala.

Lalu kami berjalan sejauh 600 meter dari stesen itu ke Trevi yang melepasi Piazza Barberini dan muzium seni grafik Istituto Centrale per la Grafica yang menempatkan pameran lukisan, cetakan, fotografi serta ukiran abad ke-19.

Trevi Fountain yang dipenuhi pengunjung tanpa mengira masa dihasilkan pada abad ke-17. Sebelum itu, ia bertindak sebagai titik akueduk Aqua Virgo iaitu paip besar atau terusan yang membekalkan air ke seluruh Rome.

Kerja pengubahsuaian kemudian dilakukan pada 1732 mengikut rekaan Nicola Salvi susulan kemenangannya dalam pertandingan rekaan monumen baru Trevi sebelum diselesaikan oleh Giuseppe Pannini 30 tahun selepas itu.

Tuhan air Yunani, Oceanus, menjadi subjek rekaan Salvi, di mana ia berdiri di atas kerangka berbentuk kerang dan dikelilingi siput triton, kuda dan hippocamp iaitu haiwan mitos seakan-akan kuda laut dalam kepercayaan Yunani kuno.

Bagaimanapun, Trevi Fountain tidak hanya terkenal dengan aspek rekaannya malah tradisi membaling duit syiling ke dalam kolam. Menurut legenda, membaling sekeping syiling bermaksud akan kembali ke Rome, dua bermakna mencari cinta sejati manakala tiga bertujuan untuk berkahwin.

Pelik penulis melihat sepasang pengantin baru lengkap dengan gaun kemban putih krim dan tuksedo bagi si lelaki yang turut ghairah membaling syiling sambil menjerit kata-kata cinta.

Daripada kanak-kanak sekecil usia dua tahun hinggalah warga emas lingkungan 70-an, semuanya sibuk membaling syiling sambil diiringi mantera serapah meminta nasib baik.

Dianggarkan 3,000 euro (RM14,490) dibaling ke dalam kolam Trevi setiap tahun dan dilaporkan $1.5 juta dolar (RM5.85 juta) dibaling ke dalam kolam itu pada 2016. Wang terkumpul itu kemudian digunakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menampung subsidi perbelanjaan pasar raya bagi golongan kurang berkemampuan.

Penulis tidaklah terikut-ikut dengan perkara khurafat itu dan lebih gembira menghabiskan wang di kafe gelato Don Nino yang terletak bersebelahan Trevi Fountain.

Sama seperti pasta, tidak lengkap kunjungan ke Itali jika tidak merasa gelato asli yang lazimnya menggunakan susu, buah-buahan segar dan puri kekacang sebagai bahan perasa.

Gelato adalah panggilan aiskrim dalam bahasa Itali, yang bermaksud bahan beku dan umumnya mempunyai kandungan lemak yang lebih rendah berbanding aiskrim biasa.

Jangan bimbang dengan kandungan alkohol atau gelatin kerana biasanya gelato yang mengandungi bahan itu diasingkan atau diletakkan label. Staf kafe juga peramah menerangkan kandungan bahan di dalam gelato buatan mereka selepas melihat ibu penulis yang berhijab.

Tanpa sedar dua jam dihabiskan di kawasan itu dan berat kaki untuk meninggalkan Trevi yang selama ini menjadi destinasi cuma impian. Namun masih banyak lagi tempat yang perlu kami lawati di tanah Julius Caesar itu dan seakan-akan ternampak sang gladiator menggamit kami untuk ke lokasi seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:17 PM