PESERTA bersemangat memulakan acara sejauh 10 kilometer.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Acara kayuhan santai sempena sambutan Gelombang Nelayan Nasional 2018: Seaweed Splash di Semporna, Sabah, baru-baru ini, menjadi medan kepada peserta muda menimba ilmu dalam sukan berbasikal.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan memperkenalkan rumpai laut sebagai produk makanan sihat dan industri penting yang memberi pulangan kepada pendapatan negara.

Seramai 50 peserta berkayuh secara santai sejauh 10 kilometer bermula sekitar jam 7.30 pagi di Padang Pekan Semporna.

Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya II, Mohd Nor Hafiz Mohd Shafee, 13, berkata dia mula berjinak-jinak dalam sukan berbasikal setahun lalu, namun menyertai program itu untuk menambah pengetahuan mengenai teknik serta kemahiran berbasikal yang betul.

Ini kerana, acara kayuhan santai turut dimeriahkan peserta senior yang boleh berkongsi input mengenai teknik kayuhan betul tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

“Selain menggalakkan masyarakat dan remaja mengamalkan gaya hidup sihat, ia mendedahkan peserta kepada cara berbasikal yang betul.

“Program ini juga sangat baik kerana membantu penggemar aktiviti berbasikal terutama yang baru terbabit yang sebelum ini kurang pengetahuan,” katanya.

Rakannya, Mohammad Nor Hamidin Nourdin, 13, dari SMK Datuk Panglima Abdullah, berkata dia beruntung dapat menyertai acara berkenaan kerana mendedahkannya kepada teknik kayuhan laluan bandar termasuk aspek keselamatan.

“Ilmu yang diberikan kepada peserta muda seperti saya membolehkan kami menguasai teknik berbasikal dengan cepat.

“Malah, teknik yang diajar dan pengalaman yang diperoleh sangat berharga sepanjang menyertai aktiviti berbasikal ini.

“Saya berpuas hati dapat meluangkan masa berkayuh beramai-ramai, sekali gus menjadi pendekatan terbaik untuk merapatkan silaturahim dan pada masa sama membantu agensi kerajaan mempromosikan produk tempatan,” katanya.

Sebagai penghargaan, pihak kementerian menerusi agensi Jabatan Perikanan turut mengadakan aktiviti sampingan iaitu cabutan bertuah khas untuk peserta yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti hamper makanan dan perkakas elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:11 PM