BERSAMA teman belajar.
KETIKA di Genting Highlands.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Malaysia menjadi perhatian sebahagian besar penuntut dari negara Teluk untuk melanjutkan pengajian kerana kemudahan selain reputasi institusi tempatan itu sendiri diperakui menawarkan pengajian kursus berkualiti tinggi.

Justeru tidak hairanlah warga Syria, Alaa Bakkar dihantar oleh keluarganya untuk meneruskan pengajian dalam jurusan teknologi maklumat di sebuah institusi swasta ternama di Cyberjaya sejak lapan tahun lalu kerana percaya dengan sistem pendidikan ditawarkan oleh universiti tempatan.

1. Bila pertama kali anda datang ke Malaysia?

Saya datang Malaysia pada 2010 kerana dihantar keluarga untuk menyambung pengajian di sini. Bagi pelajar dari negara Arab, Malaysia mempunyai reputasi baik dari segi kredibiliti ijazah dan program pengajian.

Malah negara ini ternyata disukai dan disenangi masyarakat Arab sendiri kerana imej rakyatnya baik selain keharmonian negaranya. Status Malaysia sebagai negara Islam menjadi bonus buat pelajar seperti kami.

Keluarga saya berasal dari Syria tetapi menetap di Arab Saudi. Saya dilahirkan di Arab Saudi dan selepas tamat pengajian sekolah mene­ngah keluarga berasakan menyambung pengajian di Malaysia jauh lebih baik berbanding dalam negara.

2. Apa tanggapan awal anda mengenai Malaysia?

Mulanya sukar untuk saya faham kerana maklumat yang diperoleh menyatakan ia negara Islam. Sebaik menjejak kaki di sini dan bergaul dengan kenalan universiti, saya dapati ia sedikit berbeza dengan gambaran yang diterima.

Di sini ada kaum India, Cina dan Melayu yang boleh berjiran secara harmoni meskipun berbeza pegangan, warna kulit dan budaya. Ia sesuatu yang baru buat saya dan bertemu dengan pelbagai kelompok bangsa membuat­kan saya belajar sesuatu mengenai mereka.

3. Adakah sukar untuk anda menyesuaikan diri ketika pertama kali tiba di sini?

Jujur saya katakan ketika tiba di sini penguasaan bahasa Inggeris saya sangat minimum. Untuk membolehkan saya ting­gal di sini seorang diri, saya perlu meningkatkan penguasaan bertutur dalam bahasa Inggeris.

Saya banyak terbabit dengan program kampus termasuklah bergaul de­ngan rakan pelbagai bangsa yang secara tidak langsung membantu memperbaiki penguasaan bahasa saya. Bagi saya bahasa Melayu mudah difahami kerana ada beberapa perkataan menggunakan bahasa Arab.

4. Bagaimana dengan makanan tempatan?

Menarik (sambil tersenyum). Saya masih ingat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), makanan pertama yang saya cuba ialah nasi putih dan ayam goreng. Saya rasa ia sangat enak.

Malah saya sukakan nasi lemak dan pedas bukan masalah bagi saya. Selain itu menu masakan Thai seperti tomyam dan ikan siakap antara hida­ngan saya gemari.

5. Apakah hobi masa lapang anda?

Melancong dan menulis blog mengenai lawatan saya di Malaysia.

6. Apakah destinasi pelancongan di Malaysia anda suka?

Cameron Highlands sebab suasananya romantis. Saya merancang untuk berbulan madu di situ apabila berkahwin kelak.

7. Pernahkah anda menghadiri sebarang majlis keramaian tempatan?

Tidak. Ketika ini lebih banyak menghadiri majlis dalam kalangan kenalan rakan warga asing.

8. Bagaimana dengan rakyat tempatan?

Orang tempatan mudah mesra dan suka bergurau. Tetapi ada juga yang sukar didekati, mungkin kerana batasan bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 2:02 PM