PASUKAN Exitway Mercury tidak sunyi dengan kemenangan dicapai dalam setiap perlumbaan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Kayuhan paling getir pernah disertai pengasas Exitway Mercury Team, Ismanor Aizan Ismail, 41, ketika menempuh hutan balak disebabkan trek licin dan curam ketika menyertai acara basikal gunung (MTB) di Pahang pada 2004.

Dia yang berasal dari Guar Chempedak, Kedah melengkapkan cabaran 60 kilometer itu menerusi kayuhan selama tujuh jam dan hampir ‘terkulai’ di garisan penamat kerana terlalu penat.

Ketika menyertai cabaran MTB Felda MTB Eco Challenger 2018 di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor selain Cabaran Basikal Gunung Politeknik 2018 di Politeknik Sultan Azlan Shah Tanjong Malim, Perak baru-baru ini, dia yakin dapat mencipta peluang berada dalam kelompok pelumba terbaik dalam dua acara berkenaan.


LALUAN tidak rata dan sempit menguji kemampuan teknikal pelumba.

“Setiap bulan pasukan kami menghantar wakil termasuk di Kuala Kubu Bharu dan Politeknik. Ini penting dalam meningkatkan kecekapan setiap pelumba MTB selain membantu meningkatkan imej kelab basikal itu sendiri.

“Kelab basikal ini saya tubuhkan sejak 2010 kerana mahu mencari rakan yang mempunyai minat sama dalam basikal gunung.

“Menariknya ia membabitkan penyertaan dua pelumba negara iaitu Suhardi Hassan dan Wan Mohd Nazmi di awal penubuhan.

“Secara tidak langsung menarik ramai pelumba basikal lasak dari serata Malaysia menyertai pasukan kami yang berpusat di Ampang. Sesi latihan pula dijalankan pada setiap malam Selasa dan Khamis.

“Ketika ini kami mempunyai 30 ahli aktif termasuk rakan dari Perlis, Kedah, Pahang, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor bagi menyertai pelbagai perlumbaan basikal gunung.

“Komitmen pelumba pada kelab biasanya berharap mereka ini berusaha mensasarkan podium selain mengatasi batasan baik dari segi kemahiran dan ketahanan apabila berlumba,” katanya.


PERLU cekap dalam pengendalian basikal pelbagai bentuk trek.

Sementara itu pelumba wanita pasukan terbabit, Nur Deena Safiya Nor Effandy berkata, sejak usianya 15 tahun sudah terbabit dengan perlumbaan basikal

gunung secara profesional.

“Dari segi pendedahan sehingga ini saya berpeluang menyertai kejohanan Asia MTB dan terbaru di Filipina.

“Saya mencabar batasan diri apabila bertanding bersama pelumba terbaik dari rantau Asia dan satu kebanggaan apabila menjadi peserta termuda dalam kelompok pelumba wanita.

“Fokus saya adalah podium dan itu menjadi dorongan saya setiap kali berlumba dengan mereka jauh lebih pengalaman,” katanya.

Meskipun empat tahun berkecimpung dalam sukan basikal ekstrem, Deena berkata, masih banyak perlu diperbaiki mengenai kendalian basikal.


KEJAYAAN dicapai Deena.

“Bagi trek menguji teknikal pelumba seperti di Politeknik Sultan Azlan Shah saya masih belum mahir terutama trek membabitkan rutin menuruni tangga serta jalan berbatu.

“Jadi kemahiran terbabit perlu diperkemaskan untuk bergelar pelumba profesional.

“Sementara membabitkan trek ketahanan rasanya saya kena tingkatkan stamina bagi kayuhan trek mendaki yang mencanak.

“Umpamanya cabaran trek di ‘check point’ kedua di Felda Gedangsa baru-baru ini menguji ketahanan saya untuk melepasi bukit curam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 3:36 AM