KELUARGA pakar daging Mustaffa.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Satu ketika dulu kerja melapah atau pemotong daging bukanlah kerjaya popular malah ramai memandang enteng kepakaran dimiliki individu yang terbabit dalam bidang ini.

Namun Mustaffa Othman, 63, mempunyai pandangan berbeza apabila sanggup merantau ke serata dunia bagi mencari daging terbaik untuk dinikmati peminat hidangan daging terutamanya penggemar stik.

Kata Mustaffa, dia yang bermula dengan berniaga daging di Pasar Subang Jaya, Selangor kini boleh tersenyum bangga dengan perniagaan restoran diusahakan bersama anak-anaknya.

“Saya berkelana ke London mencari ilmu. Semua kepayahan saya tempuhi, dengan bermula dari bawah iaitu bekerja di kedai daging kemudian barulah diberikan peluang bertugas di syarikat penyembelihan terkemuka di sana.

“Di syarikat itu jugalah saya belajar cara kerja orang Eropah menjalankan perniagaan daging secara profesional terutama pengurusan daging halal yang disifatkan satu ibadat apabila kita membantu memastikan pengendalian untuk pasaran Muslim.

“Pakar daging bukan saja merujuk kepada penyembelihan dan memotong semata-mata tetapi seawal lembu itu diternak sehinggalah ke meja pelanggan. Inilah yang perlu diketahui oleh mereka terbabit dalam industri ini.

“Ilmu itu saya kongsikan dengan anak-anak dengan harapan mereka akan terus meneruskan legasi selain membekalkan daging berkualiti untuk peminat hidangan berasaskan daging terutama dalam kalangan Muslim,” katanya.

Sementara itu empat anaknya Muhammad Ezman, 30, Khisofi, 25, Fareza, 28 dan Amirul Aiman, 29, mengakui selesa belajar pengendalian daging dengan bapa mereka.

Malah empat beradik itu saling membantu meneruskan legasi Mustaffa di restoran Jahhet.

Kata Ezman, meskipun bapanya mentor yang tegas tetapi dia tidak lokek ilmu kerana selain anak ada juga kenalan dalam bidang makanan dan minuman turut menuntut cara pengendalian daging dengan bapanya.

“Bagi tugas rumit iaitu lawatan ladang selalunya bapa saya yang terbang dan melawat rumah sembelihan di luar negara terlebih dulu. Manakala kami akan melakukan semua kerja daripada urusan di kedai daging sehinggalah operasi dapur.

“Ketika ini tugas memotong dan masak dipikul oleh saya dan dua adik, Khisofi dan Amirul yang secara bergilir-gilir.

“Tugas di kaunter dan servis dibantu adik perempuan, Fareza. Apabila kerja dilakukan di bawah satu bumbung, kami rasa hubungan lebih erat selain meningkatkan persefahaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 3:32 AM