PATUHI aspek keselamatan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Menjadi antara langkah promosi pembukaan semula Taman Negeri Endau Rompin dijangka pada 2019, julung kalinya program Mountain Bike (MTB) Fun Ride Selendang-Taman Negeri Endau Rompin Challenge 2018 diadakan, baru-baru ini.

Program kayuhan basikal gunung ini dianjurkan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman dengan kerjasama FELDA Selendang 1 dan 2 serta agensi kerajaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Rompin dan Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang.

Pengurus FELDA Selendang 1, Hanizan Sulaiman berkata program kayuhan santai bersama keluarga ini bertujuan mempromosikan Taman Negeri Endau Rompin kepada orang awam walaupun ia masih ditutup berikutan proses menaik taraf.

“Kayuhan ini dilihat sebagai acara perintis bagi menonjolkan keupayaan Selendang menjadi tuan rumah dalam penganjuran acara lebih besar seperti jambori pada masa akan datang.

“Menerusi program ini juga, kita berharap ia tersenarai dalam kalendar pelancongan tahunan negeri Pahang dan Malaysia amnya.

“Selain itu, program ini juga boleh dijadikan penanda aras bagi penganjuran acara besar lain seperti Endau Rompin Explorace Challenge, Endau Rompin Fun Run and Marathon, 4x4 Challenge dan Motocross Endurance Challenge.

“Bagi aspek sosioekonomi, penganjuran kayuhan basikal gunung santai ini berjaya membuka peluang kepada penduduk setempat menjana ekonomi,” katanya dalam kenyataan perasmian.

Laluan kayuhan sejauh 32 kilometer bermula dari Dewan FELDA Semai Bakti FELDA Selendang 1 menuju ke Taman Negeri Endau Rompin, perkampungan Orang Asli Sungai Mok, perkampungan Selendang dan berakhir di tapak pelepasan.

Bagi memastikan kelancaran kayuhan, peserta perlu memastikan diri memiliki tubuh badan sihat dan mendapat pengesahan daripada pihak kesihatan.

Peserta turut dinasihatkan mematuhi arahan pihak pengiring terutama membabitkan undang-undang jalan raya serta pematuhan pakaian, kayuhan dan peralatan.

Keunikan bentuk muka bumi Selendang memaksa peserta melalui laluan jalan raya sejauh 10 kilometer (km), laluan ‘off road’ (10km), jalan ladang (8km) dan kawasan lembah (4km) sebelum menamatkan kayuhan.

Kayuhan santai ini menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila mengumpulkan 116 peserta membabitkan 110 lelaki manakala bakinya wanita.

Terbuka kepada semua peringkat usia, program santai ini memulakan kayuhan pada jam 8 pagi dan tamat selepas dua jam.

Selain kayuhan santai, program lain yang turut disediakan kepada pengunjung ialah pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna, sukaneka, pameran dan aktiviti daripada Pusat Internet 1Malaysia Kluster Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:41 PM