Nor Akmar Samudin
akmar@nstp.com.my

Melihat hamparan salji sejauh mata memandang, air sungai mengalir tenang dengan tompokan salji di atas batu dan ‘terserempak’ Olaf The Snowman yang ‘tersenyum’ senang, ia bagai melengkapkan kembara penulis ke Azerbaijan, Georgia dan Armenia.

Ketiga-tiga negara itu adalah negara merdeka bekas jajahan Kesatuan Soviet yang membentuk Kaukasus Selatan, terletak di antara Eropah Timur dan Asia Barat.

Azerbaijan negara terbesar berbanding Georgia dan Armenia serta kaya dengan petroleum dan gas asli.

Jika Arzerbaijan negara moden, Georgia dan Armenia pula menyajikan 1,001 keunikan; gunung-ganang, sungai, tasik, lembah, jurang, cerun, lurah, kawasan pertanian dan penternakan serta desa di kaki pergunungan, segalanya bersatu menjadikan ia destinasi pelancongan yang penuh keajaiban.

Berpeluang melancong ke sana pada musim sejuk lalu, penulis memilih penerbangan Turkish Airlines dan ia adalah pilihan tepat kerana syarikat penerbangan itu sedang mempromosikan percutian ke tiga-tiga negara itu.

Jika ada bajet lebih bolehlah menempah kelas perniagaan kerana penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev, Baku iaitu ibu negara Arzerbaijan, mengambil masa lebih 10 jam termasuk transit di Istanbul.

Dengan tiket kelas perniagaan, anda boleh ‘melunjurkan kaki’ buat seketika di lounge Turkish Airlines di Lapangan Terbang Istanbul.

Percutian itu turut disertai wakil dan pemilik agensi pelancongan Malaysia.

Oleh kerana negara-negara itu agak asing bagi kami, agensi pelancongan tempatan Albania Experience menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkesempatan bertemu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Neritan Selita, dia memberikan penjelasan terperinci lokasi yang bakal dilawati.


KENANGAN di Georgia bersama Heraq Hasbollah- Mitra Tours & Travel (dari kiri), Nor Yusri Mohd Yusof (Via Vacation & Travel Sdn Bhd), penulis dan Ida Royani Mohamad Amin (Flyworld Travel & Tours Sdn Bhd).

Meskipun menerusi pencarian di Internet, pengangkutan awam di sana mudah dan murah tetapi elok menggunakan agensi pelancongan kerana perjalanan untuk ke setiap lokasi pelancongan di Azerbaijan, Georgia dan Armenia adalah jauh. Ia juga bagi mengelak masalah komunikasi kerana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris.

Sampai saja di Azerbaijan, kedinginan cuaca mula menyapa. Negara dihuni 10 juta penduduk dan 93 peratus beragama Islam itu juga dikenali sebagai ‘Land of Fire’.

Baku adalah ibu kota moden yang menyediakan butik beli-belah jenama antarabangsa bagi menarik pelancong seluruh dunia datang ke sana untuk menonton perlumbaan berprestij Formula Satu Grand Prix Eropah, tahun lalu.

Tempat bersejarah di Baku termasuklah Old Town Baku (daerah tertua Baku), Shehidler Khiyabany untuk melihat panorama bandar Baku, Medieval Fortress, Menara Legendary Maiden dan Kompleks Istana Shirvan Shah, pasar menjual cenderahati, Synyk Kala Minaret yang megah dengan bangunan lama dan Masjid Lezgi.


KOTA lama Azerbaijan.

Hari kedua, melawat gunung batu petroglif dan gunung berapi lumpur iaitu Gobustan Rock Art Cultural Landscape, Ateshgyakh Zoroastrian Fire atau kuil api dan gunung terbakar - Yanar Dagh.

Seterusnya, penulis menempuh perjalanan lebih tiga jam menaiki bas dari Baku ke Shemakha dan Sheki. Memori yang cukup indah apabila kali pertama penulis melihat salji di sepanjang perjalanan itu.

Bersarapan sambil merenung salji di luar jendela di Sheki, terus terfikir mungkinkah suasana sebegitu dirasai lagi. Untuk memanfaatkan masa, penulis segera bersiap untuk melawat Istana Sheki Khan, muzium dan kedai kraftangan.


BANDAR lama Sheki, Azerbaijan.

Buka minda

Kembara diteruskan ke Georgia yang mengambil masa dua jam menaiki bas dari Sheki. Tiba di sempadan, pelancong dikehendaki mendapatkan visa untuk masuk ke negara itu dan perjalanan diteruskan ke Kvareli di wilayah Kakheti, iaitu pengeluar utama wain yang dieksport ke seluruh dunia.

Selepas itu menuju ke bandar Sighnaghi dan seterusnya ke ibu negara Georgia iaitu Tbilisi.

Suasana malam yang cantik dengan limpahan cahaya lampu menyambut kedatangan penulis dan hidangan makan malam turut disajikan dengan tarian tradisional rakyat negara itu.

Georgia adalah negara dengan pelbagai pertembungan budaya dan agama, ada elemen Islam dan Kristian. Tetapi sekarang, Georgia adalah negara Ortodoks Kristian dengan Islam sebagai agama kedua terbesar.


ANTARA hasil seni memikat yang menunggu dibawa pulang.

Apabila berada di Georgia, buka minda anda kerana di sana anda akan berjumpa golongan Georgian Orthodox, Armenian Georgian dan melawat gereja Roman Katolik seperti Sioni Cathedral, Anchiskhati Church, Mekethi Church danTrinity (Sameba) Cathedral, Sinagog (rumah ibadat Yahudi) dan kuil Zoroastrian.

Tbilisi diasaskan pada abad kelima terletak di sepanjang Sungai Mtkvari, pernah menjadi laluan kafilah yang datang untuk berdagang.

Penulis terkenal Perancis, Alexander Dumas pernah menggelar Tbilisi sebagai ibu kota yang mempesonakan, menarik, aneh, bandar legenda dan romantik.

Antara makanan tradisi Georgia yang mesti dicuba adalah Khinkhali, seakan-akan ladu berinti daging, kentang dan cendawan.

Di Tbilisi juga terletak pusat ski Bakuriani di daerah Borjomi dan nama ‘Borjomi’ juga digunakan sebagai jenama air mineral yang terkenal di dunia.

Armenia negara Kristian pertama di dunia

Destinasi terakhir penulis ke Armenia dengan populasi hanya tiga juta orang. Meskipun kecil, ia penting dalam sejarah keagamaan kerana Armenia negara Kristian pertama di dunia yang diwarisi lebih 1,700 tahun lalu.

Penduduk Armenia bergantung pada hasil pertanian, penyulingan dan pengolahan logam serta pelancongan.

Ketika ini, 95 peratus penduduk negara itu beragama Kristian dan sejarah keagamaan negara itu dapat ditelusuri kembali melalui situs-situs kuno dan monumen.

Gunung Ararat menjadi simbol rasmi negara itu. Satu-satunya masjid yang ada ialah Masjid Biru dan aliran Syiah jelas terserlah pada ukiran serta seni bina masjid itu.


MASJID Biru Armenia yang tersergam indah.

Ibu negaranya, Yereven juga dikenali sebagai ‘Pink City’ kerana warna dinding bangunan dalam bandar itu seakan-akan berwarna merah jambu kerana arkitek Armenia menggunakan batu dan tanah lahar gunung berapi untuk membangunkan bandar itu.

Lokasi lawatan lain ke kompleks biara Tatev Armenia yang wujud sejak abad kesembilan antara pusat agama paling penting di negara itu, tokong penganut pagan iaitu Garni yang dipercayai wujud sebelum 301 Masihi dan Kompleks Geghard di mana bangunan utama gereja itu dibina pada 1215.

Seterusnya ke Etchmiadzin sebuah kompleks gereja pertama di dunia. Ia dipercayai dibina pada abad ketiga dan kini berfungsi sebagai pusat keagamaan rasmi Armenia.

Sebahagian daripada gereja di Georgia dan Armenia diiktiraf sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Satu lagi lokasi wajib dilawati, Lake Sevan iaitu tasik terbesar di Armenia dan wilayah Kaukasus serta menjadi sumber utama perikanan Armenia kerana negara itu tidak dikelilingi lautan. Penduduk Armenia juga pembuat roti dan pastri terbaik.

Sebelum pulang, penulis sempat bermalam di Kutaisi, barat Georgia dan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Batumi.


PENULIS bermain salji di Azerbaijan.

Bawa sambal

Kepada yang gemarkan makanan pedas, bawalah bekalan sambal kerana hidangan utama di sana adalah roti dan salad, sesekali dapatlah menjamah ikan panggang.

Agak mudah mencari makanan halal di sana kerana ada restoran yang menyediakan makanan Timur Tengah.

Meskipun boleh menaiki kapal terbang ke setiap negara itu, jika ingin melalui pengalaman sama seperti penulis, menaiki bas adalah yang terbaik.

Berjam-jam dalam bas, terpaksa mengheret beg menyeberangi sempadan, bertukar bas di setiap negara, menginap di enam hotel dan pusat peranginan bertaraf lima bintang, adalah pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.


KAEDAH bakar roti tradisional yang masih diamalkan di Armenia.

Sebagai peringatan, ketiga-tiga negara itu memiliki mata wang berbeza, Azerbaijan (manat), Georgia (lari) dan Armenia (dram). Oleh itu bawa wang euro atau dolar Amerika Syarikat untuk memudahkan pertukaran mata wang.

Seperkara lagi, ketiga-tiga negara itu ‘mesra’ WiFi. Di mana saja anda berada, di kedai atau restoran, pasti disediakan kemudahan itu.

Kepada yang mahu bercuti ke sana, Turkish Airlines menyediakan tujuh penerbangan seminggu ke Baku, Georgia (sembilan penerbangan) dan Armenia (24 penerbangan).


ROTI di Armenia yang menggiurkan selera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 2:39 AM