AISHAH bersama seleksi hidangan petang di kafe miliknya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Kaki ayam adalah bahagian yang sering dipinggirkan dan dibuang berikutan tiada isi yang banyak melainkan kulit dan sedikit lemak.

Namun demikian, budaya makanan di beberapa negeri di Malaysia menjadikan kaki ayam sebagai satu juadah istimewa.

Malah, kaki ayam enak dimasak sup, gulai mahupun digoreng bersama bahan perapan kunyit dan garam mempunyai kelompok penggemar tersendiri.

Jika di Thailand hidangan kaki ayam sangat popular sebagai kerabu sehingga menjadi buruan pelancong asing, manakala di China, Taiwan, Hong Kong dan Korea, kaki ayam sering menjadi bahan tambahan dalam menu sup kerana mereka percaya ia mengandungi kolagen yang baik untuk mencantikkan kulit selain petua awet muda.

Sup kaki ayam juga adalah juadah popular bagi masyarakat Jawa di Johor dan ia lebih kenali sebagai sup ‘ceker’.


SUASANA ruang makan yang santai dengan mood romantik.

Biasanya, sup kaki ayam ini dihidangkan kepada kumpulan ‘rewang’ ketika membuat persiapan kenduri di kampung dan menjadi bertambah enak jika dimakan bersama sambal kicap yang pedas serta roti.

Bagi memudahkan warga kota khususnya penggemar sup kaki ayam menikmati juadah ini, Sha Cafe yang diusahakan Aishah Atan di Ampang, Selangor, menjadikan ia sebahagian daripada menu wajib cuba di premis yang baru dibuka pada pertengahan Mac lalu.

“Tulang kaki yang rapuh apabila direbus dan kulitnya yang kenyal membuatkan sup kaki ayam menjadi kegilaan segelintir orang.

“Bagaimanapun, sup kaki ayam tidak banyak dijual di restoran atau kedai makan lain dan lazimnya disediakan jika ada permintaan.

“Namun, sebagai penggemar sup kaki ayam saya berusaha menyediakannya setiap hari. Walaupun ada yang tidak dapat menerima juadah ini kerana menganggap kaki ayam bahagian kotor, saya sarankan mereka cuba dahulu,” katanya.


Bihun sup, laksa dan soto Sha Kafe di Bukit Indah.

Menurutnya, selain sup kaki ayam kafe itu turut menyediakan soto, laksa, bihun sup, pelbagai jenis cucur, lempeng kelapa, kepak ayam goreng berempah, bergedel tauhu dan beberapa makanan Korea.

“Kafe saya lebih menumpukan makanan yang ringan-ringan kerana menyasarkan golongan yang ingin bersantai minum petang atau mereka yang tidak mahu mengambil makanan berat.

“Dalam suasana premis yang dihias dengan konsep mood romantik, saya yakin pelanggan akan berasa selesa dan tenang ketika menikmati juadah.

“Mereka boleh datang bersendirian atau bersama keluarga serta rakan. Malah, sesuai juga untuk mereka yang memerlukan lokasi untuk perbincangan,” katanya.


MAKANAN ringan seperti cucur, kepak ayam berempah, bergedel tauhu dan lempeng kelapa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 2:29 AM