Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Program berkaitan alam sekitar seperti membersihkan pantai lazimnya membabitkan kutipan sampah-sarap atau membaik pulih landskap.

Bagaimanapun program sayangi alam sekitar anjuran Kelab Kembara Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak dengan kerjasama Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) di Teluk Senangin, Lumut, baru-baru ini, menampilkan kelainan apabila diisi dengan aktiviti kecergasan untuk minda atau pengisian kerohanian bagi memantapkan jati diri.

Seramai 32 ahli kelab terdiri daripada pelajar (PUO) dan lima pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) yang juga sukarelawan MHM mengikuti program Kembara Minda Melihat Dengan Mata Hati berbentuk perkhemahan selama dua hari satu malam.

Antara pengisian program ialah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas perkhemahan, lawatan ke kampung nelayan, ikhtiar hidup, ceramah motivasi dan agama, perkongsian usahawan desa dan kelas belajar berenang.

Pengerusi kelab, Nur Idayu Nordin, 19, yang juga pelajar Diploma Kewangan dan Perbankan Islam PUO, berkata secara umumnya objektif program bagi menyemai sikap, etika dan semangat profesionalisme.


AHLI kelab bergotong-royong membersihkan kawasan pantai Teluk Senangin.

Ia juga bertujuan memupuk kemahiran kepemimpinan ahli bagi membentuk dan menghasilkan kepemimpinan pelajar melalui sistem yang tepat di samping membekalkan generasi muda dengan sikap kepemimpinan yang tinggi.

“Program ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial untuk meningkatkan lagi taraf kesedaran mengenai aktiviti fizikal dan mental.

“Di samping itu, ia membuka ruang dan peluang kepada pelajar politeknik dalam meningkatkan lagi kemahiran insaniah dan kebolehpasaran pelajar itu sendiri.

“Tidak dinafikan kemajuan teknologi memberi banyak manfaat kepada kita semua, tetapi aktiviti luar juga hendaklah diberi perhatian.

“Walaupun kemajuan teknologi memberikan kebaikan dan faedah, tetapi sedikit sebanyak memberikan kesan negatif.

“Terutama aspek kesihatan dan hubungan silaturahim yang kian pudar. Ikatan kekeluargaan menjadi dingin apabila belia berada di rumah atau dalam kelompok tertentu saja tanpa menjalani kehidupan sebenar di luar rumah,” katanya.


CINTAI dan sayangi alam sekitar

Nur Idayu, berkata, pengisian kerohanian bagi melahirkan generasi muda cemerlang seiring dengan matlamat menjadikan mereka berkebolehan, yakin diri dan berani menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

Penganjuran program itu juga mengeratkan hubungan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Amat penting pelajar didedahkan kepada program kerohanian dalam pembangunan insan kerana pada usia remaja mereka perlukan pengisian rohani supaya dapat menjalani hidup yang lebih terarah,” katanya.

Program dimulakan dengan taklimat keselamatan disusuli aktiviti memasang khemah untuk bermalam.

Selepas makan tengah hari yang dimasak sendiri di tapak perkhemahan, pelajar mengikuti taklimat Lihatlah Dengan Mata Hati disampaikan Presiden MHM, Datuk Ab Rahim Md Noor, yang memberi penjelasan bagaimana kita boleh menyumbang kepada alam sekitar menerusi kesedaran nurani.

Aktiviti hari pertama diteruskan dengan lawatan ke perkampungan nelayan untuk menelusuri kehidupan keluarga yang mencari hasil menerusi tangkapan di laut.

Pelajar juga berpeluang mempelajari asas ikhtiar hidup, manakala Pengusaha Chalet As-Sakinah, Mohammad Abu Bakar memberi penerangan mengenai perkembangan dan kemajuan Teluk Senangin menerusi slot usahawan desa.


SAMPAH seperti bekas makanan dan minuman dikutip bagi mengelak masuk ke dalam perairan.

Mohammad berkata, dia mula meneroka kawasan Teluk Senangin pada awal 1996 bagi meningkatkan ekonomi keluarga serta memanfaatkan sumber alam semula jadi dengan menjadikan pantai Teluk Senangin tempat perkelahan yang menarik selain Pulau Pangkor.

Dia berhasrat menarik pengunjung untuk melakukan aktiviti perkhemahan dan rekreasi bagi menjadikan suasana kawasan perkelahan itu lebih santai serta dapat memenuhi impian diri dan masyarakat.

“Pada masa akan datang, saya berharap kerajaan dapat menaik taraf prasarana di pusat perkelahan ini supaya ia terus kekal dikunjungi seperti kemudahan pondok rehat agar lebih selesa, menambah baik struktur bangunan serta tambahan kawasan letak kereta terutama bas,” katanya.

Hari terakhir pelajar mempelajari asas renang dan teknik apungan diri dikendalikan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Sosial MHM, Khairol Hisam Hamran sebelum gotong-royong membersihkan pantai dan perairan supaya sampah tidak kembali ke laut.

Dalam slot kerohanian, pelajar diberi kesedaran melakukan perubahan dan mengekalkannya melalui pendekatan mata hati disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Media Sosial MHM, Mohd Aswadi Muhamad yang kemudian menutup program berkenaan.

“Selepas program berakhir, diharapkan pelajar yang mengikuti perkhemahan ini dapat terus membantu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melihat isu alam sekitar dan nilai murni melalui mata hati apabila mereka menjadi pemimpin di pejabat dan dalam masyarakat apabila tamat pengajian kelak,” katanya.


AHLI kelab bergambar kenangan di tapak perkhemahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 2:24 AM