PENULIS ketika berjalan di sekitar Gamcheon Cultural Village.
JAMBATAN Yeongdodaegyo yang boleh diangkat untuk memberi laluan kepada kapal yang lebih besar.
GAMCHEON Cultural Village.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Jemputan ke Korea Selatan! Hati menjerit girang saat mendengar nama negara yang bakal dikunjungi. Terbayang lokasi menarik yang kerap ditonton menerusi drama dan filem Korea.

Makanan enak, cuaca nyaman, tempat bersejarah, taman rekreasi, panggilan oppa-ajumma-ahjussi dan paling utama adalah merakam detik indah di bawah pohon sakura.

Ah, mungkin senarai yang disebutkan tadi agak keterlaluan. Namun bagi pengikut setia drama, filem dan muzik K-pop seperti penulis, perjalanan ke negara itu pastinya sarat dengan perancangan. Teruja untuk melihat sendiri sejauh mana indahnya budaya di Korea Selatan.

Memilih Busan sebagai destinasi pertama sebelum ke Seoul, penulis leka menikmati pemandangan indah di sepanjang jalan. Busan adalah bandar kedua terbesar selepas Seoul dengan populasi mencecah 3.6 juta.

Busan dulunya disebut sebagai Pusan terletak di wilayah tenggara, Selatan Gyeongsang, Korea Selatan. Menariknya, Busan bukan sekadar menjadi tumpuan pelancong, malah namanya kerap meniti di bibir ramai pelaut dan pelabur asing.

Pelabuhan terbesarnya yang terletak di hujung selatan Semenanjung Korea menjadi sebahagian mercu tanda Busan. Sekalipun berfungsi sebagai pelabuhan antarabangsa, namun pemandangan di sini cukup berbaloi untuk dirakam dan disimpan sebagai kenangan.

Menurut pemandu pelancong, Busan sememangnya dikenali dengan keunikan bandarnya, keindahan pantai, mata air panas, rizab alam semula jadi, makanan laut dan kemeriahan acara seperti festival filem, budaya dan bunga api.

Malah, dua hari berjalan-jalan di sekitar bandar raya ini memberi gambaran baru mengenai Korea Selatan. Ternyata Busan juga tidak kurang hebatnya. Ia destinasi tepat bagi mereka yang inginkan suasana lebih santai berbanding hiruk-pikuk kota Seoul.

Makan tengah hari pertama di Busan cukup ringkas. Hanya nasi berlaukkan campuran makanan laut pedas bersama buah-buahan segar. Turun saja daripada bas, penulis bersama rakan-rakan disambut tiupan angin dingin dan rintik hujan.

Walaupun ramai yang mengatakan musim bunga di Busan tiba lebih awal berbanding Seoul, nasib tetap tidak menyebelahi kami. Hari pertama sudah merasa sejuknya hujan bersama tiupan angin yang kuat.

Pokok di kawasan sekitar masih tidak berdaun, bukit dan kawasan sekitarnya masih lembap dilitupi daun kering serta lumut, manakala bunga sakura baru berputik lebat. Begitupun, Busan tetap indah. Peralihan musim di bandar raya ini memperlihatkan banyak aktiviti luar masyarakatnya.

Penulis cukup tertarik dengan keunikan di Gamcheon Cultural Village. Dari gerbang utama, kampung budaya ini nampak sungguh ceria dengan pelbagai papan tunjuk arah berwarna warni.

Bagi yang melancong sendirian, terdapat perkhidmatan kereta api bawah tanah menghala ke Toseong. Dari situ, ada bas mini ke Gamcheon Cultural Village.

Bagi penulis, kampung ini antara lokasi wajib dikunjungi sekiranya melancong ke Busan. Kawasan ini pada asalnya hanyalah perkampungan lama yang menjadi tumpuan pelarian sejak Perang Korea.

Gamcheon kemudian berkembang sebagai penempatan setinggan bagi penduduk termiskin di bandar ini. Namun, semua cerita lama bertukar ceria. Atas inisiatif kerajaan dan penduduk sendiri, kampung itu dimajukan sebagai tempat pelancongan.

Ramai pelukis diundang untuk menumpahkan karya mereka pada dinding rumah, lorong, tangga, batu penghadang, malah jalan dan papan tanda!

Lokasinya di kaki bukit dan menghadap ke pelabuhan menonjolkan suasana unik. Deretan rumah di sini pula ibarat susunan kiub berwarna-warni, hinggakan penulis dan rakan tidak henti bergambar di setiap dinding rumah di sepanjang jalan.

Kebetulan kami tiba selepas hujan dan keadaan cuaca yang sejuk, jadi banyak kawasan sekitar agak licin. Peringatan mesra untuk mereka yang datang ke sini, jangan lupa meminta izin tuan rumah terlebih dulu untuk bergambar jika pemiliknya ada di sekitar pintu, beranda atau balkoni. Paling penting, jangan sekali-kali menerjah masuk ke rumah orang tanpa kebenaran.

Sekalipun kawasan ini mendapat jolokan Santorini Korea, Kampung Lego atau Machu Piccu Korea dan pernah menerima anugerah kecemerlangan budaya daripada Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongannya, ia tetap perkampungan semula jadi yang diduduki masyarakat tempatan.

Ini bermakna, pengunjung harus berpegang pada adab sopan setiap kali ke sini. Ada beberapa kawasan rumah yang memang tidak dibenarkan untuk mengambil gambar. Biasanya penduduk akan meletakkan papan tanda berpalang merah bermakna, dilarang masuk atau bergambar.

Penulis sempat menyelusuri tangga kecil dan lorong berwarna-warni di tepi rumah untuk melihat serta merasai sendiri bagaimana seronoknya tinggal di kawasan indah berkenaan. Sebagai langkah berhati-hati, penulis turut membawa peta perkampungan berkenaan. Peta Gamcheon boleh dibeli di jalan masuk ke kampung budaya ini pada harga KRW2,000 atau sekitar RM7.

Ketika menapak ke hujung perkampungan ini (dari jalan masuk, terus ke atas), penulis terjumpa kedai menjual pelbagai snek jalanan popular Korea. Antaranya adalah hotteok (snek berinti kacang), pelbagai jenis odeng (kek ikan) dan mochi jernih seperti jeli.

Dalam pilihan snek yang ada, penulis benar-benar teringin untuk mencuba odeng kerana kerap ditonjolkan dalam pelbagai drama dan program realiti Korea. Namun, keinginan itu disimpan saja kerana penulis terasa was-was untuk mencuba walaupun diberitahu hanya mengandungi ikan. Di Malaysia juga ada odeng halal, bukan?

Tidak lengkap kunjungan ke perkampungan jika tidak bertemu dan bergambar dengan arca Little Prince berbaju hijau bersama seekor rubah. Menurut pemandu pelancong kami, kedua-dua arca sering bertukar lokasi dan menjadi tanda pengenalan buat Gamcheon Cultural Village. Puas bergambar, kami kembali meninjau kedai di sepanjang jalan, menuruni kaki bukit.

Kebanyakan kedai di sini menjual cenderamata, selendang dan penutup muka buatan tangan. Ada juga kafe untuk mereka yang mahu berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan meneroka sekitar kawasan perkampungan. Tandas juga mudah didapati, tetapi agak tersorok di celah-celah rumah.

Apapun, kunjungan penulis ke sini hanyalah permulaan. Selain Gamcheon Cultural Village, Busan juga mempunyai banyak lokasi popular dan wajib dikunjungi termasuk Menara Busan, Pasar Ikan Jagalchi, pantai Haeundae (terutama pada waktu malam untuk menyaksikan persembahan lampu di Jambatan Gwangandaegyo), Busan International Film Festival (BIFF), Muzium Seni dan tidak ketinggalan Jambatan Yeongdodaegyo yang boleh diangkat untuk memberi laluan kepada kapal!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:27 AM