AKSI pemukul menghalang pengejar membawa bola untuk skor ke lingkaran tiang.
AKSI pemain menghalang pasukan lawan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Peminat filem Harry Potter pastinya tidak melupakan babak perlawanan quidditch iaitu pertandingan bola udara di atas penyapu terbang.

Namun realitinya, qudditch adalah permainan menggabungkan elemen bola sepak, polo dan bola keranjang.

Ia dimainkan di padang dan pemain perlu mengepit batang kayu sepanjang permainan.

Ketika menyaksikan pemain pasukan Qudditch Malaysia menjalankan latihan di Padang ABC Subang Jaya, baru-baru ini, permainan itu bukan mudah.

Di samping menampil­kan kemahiran, pemain perlu mempunyai ketahanan jasmani sepanjang berada di padang.

Menurut wakil pemain Qudditch Malaysia yang juga pengurus pasukan Charmine Goh, sukan itu semakin berkembang di luar negara malah mempunyai kejohanan dunia tersendiri.

Impian besar adalah merealisasikan sekurang-kurangnya satu pasukan dari Malaysia menyertai kejohanan dunia di Itali, Jun nanti.

“Qudditch secara kasar diinspirasikan daripada novel dan filem J.K Rowling mengenai perlawanan membabit­kan ahli sihir muda di Hogward.

“Apabila dalam realiti terdapat perbezaan terutama cara dimainkan.

“Kalau dalam filem pemain menggunakan penyapu terbang tetapi diubah apabila pemain wajib memegang penyapu dan kegagalan dikira sebagai penalti.

“Seperti pemain asal, mereka mempunyai peranan penjaga, pemukul, pengejar dan pencari.

“Dalam permainan itu terdapat tiga jenis bola iaitu ‘quaffle’, ‘bludger’ dan ‘snitch’. Mata ditentukan mengikut skor selain peranan kedua-dua pencari mendapatkan ‘snitch’ dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Permainan itu merujuk garis panduan daripada Persatuan Quidditch Antarabangsa (IQA) kerana badan dunia itu menganjurkan perlawanan dunia sejak tahun 2012 lagi.

“Kejohanan dunia IQA diadakan sejak 2012 berlangsung dua tahun sekali. Juara tahun lalu adalah Australia selepas mengalahkan Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

“Kami berharap dapat menyertai perlawanan kali ini bersama lebih 30 pasukan serata dunia untuk mencari pengalaman selain berusaha menjadi 10 terbaik dalam kejohanan dunia nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Farah Nadhirah Chairil Anwar berkata, dia optimis dengan prestasi pemain Malaysia kerana sebahagian besar pernah menyertai pasukan luar.

“Halangan pasukan Quidditch Malaysia dari segi kombinasi pemain kerana ada yang di luar negara.

“Mereka tidak dapat mengikuti latihan sebagai satu pasukan dan berharap dalam tempoh singkat kami dapat membina keserasian di gelanggang sebaik bergabung di Itali nanti.

“Ada antara pemain belajar di luar negara terpaksa berlatih sendiri dan saya tidak dapat memantau perkembangan mereka secara dekat.

“Tetapi saya percaya dengan pengalaman dan pendedahan bersama pasukan sedia ada, mereka boleh kekal berlatih sebelum mendekati hari kejohanan.

“Ketika ini untuk memperkemaskan permainan pasukan Malaysia, beberapa siri perlawanan diadakan membabitkan rakan rantau Asia termasuklah Hong Kong dan Vietnam dalam mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Buat pemain Andrew Mervyn Kasimir, dia berharap pasukan boleh menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dan mara sehingga ke separuh akhir.

“Tidak dinafikan akan ada saingan sengit kerana pasukan dari Australia, AS dan United Kingdom sentiasa memberi tenta­ngan hebat. Malah rakan serantau seperti Vietnam juga sudah menampakkan ‘kegarangan’ mereka ketika perlawanan persahabatan.

“Dapat peluang bermain di peringkat dunia disifat­kan sudah cukup baik sebagai pendedahan sebelum terus mengatur dan melatih lebih ramai pemain untuk persediaan dua tahun seterusnya,” katanya.

Manakala buat Muhammad Hakim Syed Munif, ketika ini dia cuba meningkatkan stamina agar dapat bertahan sepanjang perlawanan.

“Tempoh permainan sukar diduga kerana ada kala ia singkat iaitu sekitar lapan minit, tetapi ia juga boleh berlarutan ke sejam bergantung kepada kecekapan pencari mengesan ‘snitch’ ketika perlawanan.

“Jadi ia tidak me­nguji kecergasan semata-mata, pemain turut mempertaruhkan keupayaan mental mereka,” katanya.

Bagi membolehkan pasukan itu bertanding selain persiapan memperkemaskan kemahiran, mereka juga memerlukan dana sekurang-kurangnya RM30,000 untuk menerbangkan semua ahli ke Florence, Itali.

Charmine mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak dan bagi memberi sokongan diperlukan, anda boleh melayari laman Facebook Quidditch Malaysia untuk mengikuti perkembangan pasukan Malaysia dalam memburu tempat di kejuaraan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:18 AM