RUFFIN nikmati pengalaman menarik sepanjang 40 tahun di Malaysia.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Hampir empat dekad menetap di Malaysia, Mark Britt Ruffin, bukan saja boleh berbahasa Melayu dengan baik malah mampu bertutur dalam dialek utara.

Malah ketika bertemu dengannya di restoran Sid’s Pub & Restaurant di Jonker Walk baru-baru ini, dia tidak kekok menuturkan perkataan seperti ‘Hang tau ka? Usah pikiaq’ selain bercerita pengalaman awalnya merantau ke negara ini pada usia muda.

1. Bila kali pertama anda berkunjung ke Malaysia?

Saya datang ke Malaysia ketika berusia 22 tahun. Soalan pertama bapa sebelum menghantar saya ke Malaysia adalah “Awak masih ingat cara mengisi peluru senapang?”

Kemudian dia menghantar saya menjalani latihan selama enam bulan di Belgium bersama syarikat Mecar S.A mempelajari cara mengendalikan senjata berat dan peralatan pertahanan tertentu sebelum dihantar ke negara ini.

Sepatutnya saya hanya membantu menguruskan peralatan enam minggu tetapi berlarutan sehingga tujuh bulan. Dalam tempoh itu saya berkenalan dengan gadis Melayu dan dalam tempoh dua minggu perkenalan kami berkahwin.

2. Apa persepsi pertama anda mengenai Malaysia?

Saya tidak pernah mengunjungi negara di Asia. Pastinya rasa bimbang kerana tidak tahu banyak mengenai Malaysia. Tetapi saya berfikiran optimis dan menikmati ia sebagai pengalaman menarik.

Malaysia 40 tahun lalu cukup berbeza dibandingkan dengan sekarang. Tambah pula saya tinggal di hotel di pekan kecil dan tidak banyak peluang untuk keluar berpeleseran kerana tuntutan kerja.

Boleh dikatakan tidak banyak tempat hiburan dapat dikunjungi. Saya juga sendirian dan kenalan ketika itu hanyalah dalam kalangan anggota keselamatan.

Mereka sering membawa saya keluar termasuk ke pasar minggu dan pantai untuk bersantai, melihat orang tempatan menikmati malam minggu mereka. Ia negara aman dan damai.

3. Apa membuat anda selesa tinggal di Malaysia?

Saya mengahwini isteri sehingga 1996. Meskipun sudah berpisah, saya masih ada tiga anak dan tujuh cucu menerusi perkongsian hidup belasan tahun.

Keluarga saya semua di sini termasuklah keluarga sebelah isteri dan hubungan kami erat. Selain itu saya mempunyai ramai kawan sejak muda sehinggalah sekarang.

Maklumlah saya mempunyai minat menjelajah dengan ‘campervan’ selain bermain muzik. Jadi saya banyak kenalan dalam kalangan pemuzik genre ‘Blues’ termasuklah Ito daripada Blues Gang kerana sering ‘jamming’ bersama mereka ketika turun Kuala Lumpur.

4. Siapa ikon Malaysia yang pernah anda jumpa sepanjang berada di Malaysia?

Secara peribadi saya pernah bertemu ‘Pak Thir’ atau Tun Dr Mahathir Mohamad kerana isteri ada hubungan saudara dengannya.

5. Apakah destinasi kegemaran anda?

Saya suka memancing dan berkhemah. Saya pernah menulis mengenai aktiviti ‘campervan’ dan ketika ini saya mempunyai lebih 18,000 kenalan mengikuti kumpulan Facebook My Campervan Malaysia.

Di mana ada lubuk ikan, di situlah saya akan pergi. Kalau di Melaka saya sering ke Pangkalan Balak untuk mengisi masa lapang.

6. Adakah anda berdepan masalah menyesuaikan diri dengan makanan tempatan?

Tiada masalah. Saya pernah berkahwin dengan wanita tempatan dan boleh dikatakan nasi kandar sudah sebati dengan saya. Pedas bukan masalah besar bagi saya.

7. Malaysia pada mata anda?

Saya menyenangi Malaysia kerana ia negara aman, rakyatnya mesra dan harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:09 AM