JULIANA (kiri) bersama Firmansyah menyertai kelas ikatan.
KETIKA sesi meredah air di Sungai Pisang baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Meskipun menginjak usia melewati setengah abad tetapi bagi Datuk Misrah Ibrahim, itu bukan alasan untuk tidak menyertai aktiviti luar seperti merentas hutan atau perkhemahan.

Ditemui ketika Program Asas Kelangsungan di Kem Banjaran Sendayu, Gombak baru-baru ini, ditemani isteri Datin Juliana Maniah dan cucu, Firmansyah Putra Shahril Adha, 11.

Pasangan ‘datuk-nenek’ yang akrab dengan cucu ini tidak kekok berada dalam kalangan peserta, sebaliknya selesa berada dalam persekitaran kem dikelilingi hutan dan denai.

Kata Misrah, jika tiada tugasan rasmi pada hujung minggu, dia dan isteri menyertai pelbagai aktiviti luar termasuk pendakian santai mahupun berjalan merentas hutan.

“Saya sering mengamalkan gaya hidup aktif bersama isteri. Bagi saya, dengan pembabitan aktif dalam pelbagai program luar seperti ini memberi manfaat kepada kesihatan.

“Bagi saya hobi begini penting dikongsi bersama keluarga.

“Malah kehadiran saya dan isteri dalam program ini pendedahan awal kepada cucu mengenai realiti kehidupan di hutan.

“Pengalaman saya dibesarkan di kampung dulu, lumpur, pokok dan sungai sudah menjadi ‘taman permainan’ ketika kecil.

“Kini keadaan sudah jauh berbeza, kehidupan generasi hari ini termasuk cucu saya sendiri lebih banyak tertumpu kepada gajet dan Internet.

“Jadi saya babitkan cucu dengan aktiviti luar seperti ini agar dia menjadi lebih aktif dan tahan lasak,” katanya yang pernah menyertai beberapa ekspedisi termasuk mendaki Gunung Kinabalu.

Sementara itu isterinya, Juliana bersetuju dengan pendapat suaminya sambil menegaskan aktiviti seperti itu wajar diterapkan seawal usia kanak-kanak.

“Zaman saya dulu tiada program seperti ini sebaliknya orang tua banyak memberi tunjuk ajar selain pengalaman sendiri.

“Tetapi untuk anak sekarang, ibu bapa mahupun ahli keluarga dewasa perlu bawa mereka merasai pengalaman berkenaan.

“Cucu saya teruja dapat belajar menghidupkan api, meredah sungai dan belajar peralatan seperti pisau serta ikatan yang sangat penting ketika perkhemahan.

“Rasanya apabila saya dan suami babitkan cucu, ia merapatkan lagi hubungan keluarga.

“Saya amat teruja kerana memang suka aktiviti seperti ini. Waktu lapang saya sendiri diisi aktiviti yang dekat dengan alam termasuklah menanam pokok dan merentas hutan kerana ia menenangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:54 AM