GUA Kerbau Trail Run mendapat sambutan pelbagai bangsa.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
metahad@hmetro.com.my

Keindahan panorama sawah padi dan keunikan Gua Kerbau berusia 200 juta tahun di Kodiang, Kedah membuatkan kebanyakan peserta Gua Kerbau Trail Run 2017 terpesona dengan pemandangan itu dan tidak terasa sudah berlari sejauh 12 kilometer.

Perlumbaan lasak julung kali anjuran Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) berjaya menghimpun seramai 500 peserta dari seluruh negara.

Wakil penganjur, Saifulnizam Mahmud berkata, objektif utama Gua Kerbau Trail Run 2017 untuk menjadikan Gua Kerbau tarikan baru daerah Kubang Pasu.


PESERTA Gua Kerbau Trail Run bersedia untuk pelepasan.

“Sebelum ini, Gua Kerbau tidak popular dalam kalangan masyarakat luar, malah kebanyakan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan sudah rosak.

“Oleh itu, MDKP dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengambil inisiatif menaik taraf kemudahan yang ada dan melaksanakan beberapa promosi gua ini termasuk menganjurkan program larian seperti hari ini,” katanya yang juga Ahli Majlis MDKP.

Menurutnya, penganjur menerima lebih 500 penyertaan tetapi dihadkan kerana program kali pertama dan kemampuan urus setia amat terhad.

Daripada 500 peserta, 350 menyertai beberapa kategori bagi merebut hadiah wang keseluruhan berjumlah RM5,950 manakala bakinya sesi larian santai.


KEUNIKAN muka bumi Gua Kerbau menjadi tarikan utama Gua Kerbau Trail Run.

Peserta, Mohd Zaki Mokhtar berkata sebelum ini dia tidak mengenali Gua Kerbau meskipun berasal dari negeri jelapang padi itu.

“Menerusi program larian ini, saya melihat Gua Kerbau dan kawasan sekitar begitu menarik dan berpotensi untuk dijadikan lokasi tumpuan pelancong.

“Berkongsi cabaran larian di sini, saya mendapati ia berbeza berbanding perlumbaan lain yang pernah saya sertai sebelum ini.

“Ini kerana sepanjang laluan, kita disajikan pemandangan yang memukau sekali gus membuatkan saya tidak terasa penat hingga ke garisan penamat,” katanya yang menyertai larian kategori lelaki terbuka.


ACARA Gua Kerbau Trail Run sesuai disertai seisi keluarga.

Menurutnya, keramahan dan sokongan diberikan penduduk tempatan di sepanjang laluan larian turut menambah semangatnya untuk menamatkan larian dalam tempoh satu jam 25 minit.

Peserta wanita, Suzilah Ismail pula melihat program Gua Kerbau Trail Run 2017 pada sudut yang berbeza.

“Kita berlumba pada hari ini tidak mengharapkan kemenangan sebaliknya dapat mengeratkan hubungan dan berjaya menamatkan larian bersama rakan sekumpulan.

“Ini pertandingan larian pertama yang kami sertai. Kami terdiri daripada kakitangan Universiti Utara Malaysia dikenali sebagai Geng Siput Sedut turut aktif mendaki gunung,” kata pensyarah bidang statistik ini.


PESERTA Gua Kerbau Trail Run tetap ceria walaupun berlari sejauh 12 kilometer.

Menariknya, kumpulan Geng Siput Sedut disertai ahli keluarga dan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

Bagi penduduk dan peserta tempatan, Nur Hafiz Ahmad Fauzi, dia tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan berhampiran kampungnya.

“Apabila mengetahui perlumbaan ini, saya dan rakan sekolah terus mendaftarkan diri kerana takut terlepas peluang berikutan tempat adalah terhad. Gua Kerbau Trail Run 2017 adalah pertandingan larian pertama saya sertai.

“Kawasan larian juga tidak asing bagi saya kerana ia adalah kawasan permainan sejak kecil,” kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara ini.

Bertanding dalam kategori lelaki junior, Nur Hafiz berjaya menduduki tempat ke-10 dengan catatan masa 59 minit 21 saat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50.


GENG Siput Sedut dari Universiti Utara Malaysia memeriahkan acara Gua Kerbau Trail Run.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, pertandingan ini bakal membuka lembaran baru kepada Gua Kerbau.

“Kita akan jadikan Gua Kerbau sebagai ikon Parlimen Jerlun dan ini membantu memberikan nafas baru kepada gua yang kaya dengan mitos dan sejarah dengan kerjasama agensi kerajaan yang terbabit,” katanya ketika merasmikan penutupan Gua Kerbau Trail Run 2017.

Juara kategori senior, lelaki dan wanita terbuka membawa pulang hadiah wang RM500.

Rosli Naina Mohamad mengungguli kategori lelaki senior (40 tahun ke atas) dan Ku Alif Aiman Ku Zainol menjuarai kategori lelaki terbuka (18-39 tahun) manakala kategori wanita terbuka milik Tan Bee Ping.

Manakala kategori lelaki junior (13-17 tahun), juara menjadi milik Khairul Amirin Kamarudin dan Nur Syazwani Abdul Rashid muncul juara wanita junior. Mereka menerima wang hadiah RM300 seorang.


OTHMAN menyampaikan hadiah kepada pemenang Gua Kerbau Trail Run.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:46 AM