PURA Lempuyang, kompleks kuil Hindu tertua di Bali.
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Nama Bali bukan sesuatu yang asing dalam kalangan pelancong. Malah, ia menjadi destinasi pelancongan dunia untuk mengenali budaya masyarakat Hindu Bali yang penuh warna-warni dan unik di pulau berkenaan.

Letusan Gunung Agung berketinggian 3,142 meter dari paras laut yang menjadi mercu tanda Bali iaitu antara pulau terindah dalam negara kepulauan Indonesia, baru-baru ini melonjakkan lagi namanya.

Walaupun ada yang berfikir dua kali untuk ke pulau indah itu selepas bencana berkenaan, namun tarikan Bali sebagai destinasi pelancongan dunia tidak pudar. Mungkin disebabkan ramai yang ingin melihat kesan bencana.

Baru-baru ini, penulis bersama rakan media dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Jepun berkesempatan meninjau sektor pelancongan di pulau peranginan penuh budaya itu selepas berlakunya tragedi letusan gunung berkenaan.



ANTARA lokasi wajib bagi pelancong merakamkan kenangan di Pura Lempuyang.

Lawatan empat hari tiga malam bermula 1 Mac lalu itu anjuran syarikat penerbangan tambang murah terkemuka, Air Asia, adalah inisiatif menyokong dan menaikkan kembali industri pelancongan di pusat pelancongan popular yang dikenali sebagai Pulau Dewata itu.

Pada awalnya penulis turut bimbang keselamatan diri sekiranya berada di sana, namun ternyata sangkaan itu meleset sama sekali kerana setitik pun keindahannya tidak terusik!

Kami dibawa melawat beberapa destinasi kurang menjadi tumpuan pelancong di sebelah timur Bali seperti di daerah Karangasem menempatkan Pura Lempuyang dan Taman Air Tirtagangga yang mengambil masa dua jam perjalanan dari kota Denpasar untuk perjalanan sejauh 75 kilometer.


PENULIS (kanan) bersama Kepala Dinas Komunikasi dan Informasi Kabupaten Karangasem, Panday Komang Ardita yang menjelaskan keunikan di Karangasem.

Bagi penganut Hindu, Pura Lempuyang iaitu kuil tertua di Bali adalah destinasi wajib namun pelancong asing pula tidak wajar melepaskan peluang menyaksikan kegagahan Gunung Agung dari lokasi ini.

Cuma ketika kami berada di sana gunung berapi berkenaan tidak kelihatan disebabkan cuaca mendung dan kepulan awan tebal melitupi keindahannya.

Kami juga dibawa ke Istana Air Tirta Gangga yang menjadi tempat mandi golongan diraja kerajaan Karangasem berabad lalu.


TAMAN Istana Air Tirta Gangga di Karangasem.

Namun, antara paling menarik yang penulis rasai dalam kunjungan ini ialah aktiviti ‘seawalker’ atau berjalan di dasar lautan ketika kami dibawa ke pantai Puri Santrian di Sanur.

Terasa umpama Sandy Cheeks iaitu antara watak utama dalam siri animasi televisyen popular SpongeBob SquarePants apabila penulis berjaya meronda dan berjalan di dasar laut dengan memakai topi keledar beroksigen.


PANTAI Padang Bai yang menenangkan jiwa.

Sebelum aktiviti itu, kami mengikuti kelas masakan popular tempatan dan berpeluang menyediakan sendiri bumbu Bali, sambal tomato, sate ayam, bumbu kacang, pepes ikan dan ayam bumbu Bali dengan tunjuk ajar cef di Puri Santrian itu.

Selain pemandangan menakjubkan, pengalaman menyeronokkan dan kehidupan tenang ketika menghabiskan lawatan itu, dapat juga penulis belajar asas bahasa tempatan untuk menyapa seseorang apabila berjumpa.



AKTIVITI berjalan di dalam air di Pantai Puri Santrian.

Om swastiastu (salam sejahtera), rahajeng semeng (selamat pagi), rahajeng siang (selamat tengah hari) dan rahajeng wengi (selamat malam).

Sepanjang penerbangan pulang ke tanah air pula kami mendapat kejutan daripada pramugara Air Asia, Raditya A, 36, yang memberikan persembahan nyanyian bertenaga dengan menyampaikan lima lagu sambil memetik gitar akustik.

Pesawat Air Asia melakukan penerbangan terus ke Bali setiap hari dari Kuala Lumpur iaitu lapan kali sehari pada setiap Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu manakala sembilan kali sehari pada setiap Rabu, Jumaat dan Ahad.

Ternyata pengalaman menerokai Bali pasca berlakunya letusan gunung berapi Gunung Agung masih menyeronokkan. Malah, bertambah warna-warninya! Yuk ke Bali!


PENGAMAL media dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Jepun di Bukit Pemukuran yang dikelilingi ladang buah salak di Karangasem.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:42 AM