MEMULAKAN kayuhan di Dataran DBKL.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Tiada helmet, tiada kayuhan. Ini syarat utama yang perlu dipatuhi 3,000 peserta program Konvoi Berbasikal 1Wilayah Persekutuan (KB1WP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut setiap 1 Februari.

Berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 24 Februari lalu, program tahunan kali ketujuh itu mengumpul 2,259 peserta lelaki dan 741 wanita.

Program anjuran Majlis Sukan Wilayah Persekutuan itu menetapkan jarak kayuhan sejauh 30 kilometer dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Program bermula jam 6.30 pagi di Jalan Raja Laut melalui bulatan Datuk Onn, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Loke Yew, Jalan Damansara, Jalan Travers dan berpatah balik melalui Jalan Kinabalu, bulatan Datuk Onn dan Jalan Raja Laut.


DISERTAI 3,000 peserta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program percuma itu menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan cinta kepada negara.

“Mempromosikan aktiviti riadah yang menyihatkan dan gaya hidup sihat, kita dapat mengeratkan silaturahim dan penyatuan sesama rakyat bertepatan dengan tema tahun ini, ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

“Aktiviti berbasikal kian mendapat tempat di hati rakyat malah ada menjadikannya alternatif kenderaan ke pejabat atau ke mana-mana.

“Ini perkembangan sihat tetapi saya ingin mengingatkan kepada semua pencinta aktiviti berbasikal supaya mengutamakan keselamatan.


BERKONSEPKAN santai.

“Akibat kekangan lokasi dan laluan berbasikal terhad menyebabkan ramai mengambil risiko berbasikal di jalan raya,” katanya ketika merasmikan KB1WP baru-baru ini.

Bagi program itu, peserta dibenarkan menggunakan basikal peribadi bagi kayuhan konvoi ini, termasuk ‘roadbike’, ‘mountainbike’ dan ‘fixed gear’.

Setiap peserta dihadiahkan medal dan sijil yang boleh dimuat turun secara dalam talian sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap KB1WP.


PENGANJURAN kali ketujuh sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:08 AM