BERKONGSI minat bersama suami.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Insiden rantai motosikal Suzuki FXR 150 terputus berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, Selangor, pada Disember 2016, mendekatkan lagi hati dua ahli Kelab Yamaha TZM Selangor (KYTS).

Memulakan hubungan sekadar teman konvoi, silaturahim antara Noraini Mat Jam dan Saiful Asraf Alias kian erat selepas lelaki berkenaan banyak membantu ketika berada dalam kesukaran termasuk insiden konvoi TZM Legend ke Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Yakin dengan keikhlasan sepanjang tempoh tiga bulan berkawan, mereka membuat keputusan bertunang dan berkahwin pada 16 Februari lalu.

“Kami berdua memiliki minat sama terhadap sukan motosikal. Oleh kerana kami berdua turut berada dalam kelab yang sama, masing-masing saling mengenali tetapi tidak begitu rapat kerana suami pemalu.

“Selepas insiden rantai motosikal terputus, saya tertarik dengan kebaikannya yang membantu saya sama ada sokongan fizikal, emosi mahupun mental untuk meneruskan perjalanan pulang.


PERKAHWINAN yang diraikan bersama rakan motosikal.

“Kami berdua memang suka menyertai konvoi motosikal anjuran kelab seperti KYTS, Santai Bikers Club, Loudness dan Otai Kapcai Motor Club.

“Memiliki motosikal sendiri membuatkan kami berdua jarang menunggang bersama-sama. Kali pertama sekitar Oktober 2017, menuju ke Pulau Langkawi sejauh lebih 1,000 kilometer bagi perjalanan pergi dan balik,” katanya.

Bagi wanita berusia 32 tahun ini, menunggang motosikal berdua mencipta pengalaman tersendiri kerana penumpang perlu membantu pemandu dari segi komunikasi, selain menemaninya sepanjang perjalanan jauh yang memenatkan.

Lebih suka mencabar diri, pemilik tiga motosikal Suzuki FXR 150, Yamaha TZM 150 dan Yamaha Y125ZR 125 ini juga menyifatkan menunggang motosikal sendirian memberi keseronokan apabila dia perlu sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan dan situasi ketika di jalan raya.


KERAP menyertai konvoi anjuran kelab.

Jarang bertelagah kecuali berbeza pendapat dalam perihal motosikal, Noraini berkata, berkongsi minat sama dengan suami membuatkan hubungan mereka lebih erat, malah saling menyokong antara satu sama lain.

Memasang impian memiliki motosikal berkuasa tinggi, Kawasaki Z800 kerana bentuk lebih ‘sporty’, pasangan ini merancang untuk menunggang motosikal bersama melepasi sempadan Malaysia-Thailand serta mengelilingi semenanjung tanah air sambil berbulan madu.

Berkongsi minat dunia permotoran, Noraini berkata, ia bermula seawal usia 11 tahun dan mempelajari menunggang motosikal secara sembunyi dengan sepupu rapatnya.


PUSING Malaysia sambil menunggang motosikal.

“Ketika kecil, jika saya keluar menaiki kereta bersama keluarga, saya tertarik apabila ternampak konvoi motorsikal.

“Tidak kiralah motosikal yang berkuasa rendah ataupun tinggi, semuanya nampak menarik pada masa itu.

“Itu mendorong saya untuk menunggang motosikal. Sepupu memberitahu menunggang motosikal adalah perkara yang mudah.

“Justeru, saya bersama sepupu belajar menunggang motosikal milik arwah datuk, Honda EX5 100cc secara sembunyi,” ceritanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:00 AM