Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

Keterujaan menjejakkan kaki di bumi Switzerland semakin membara sebaik pesawat Swiss International Air Lines mendarat di Lapangan Terbang Zurich selepas melalui penerbangan selama 12 jam dari Singapura.

Ketibaan pada waktu subuh itu disambut suasana dingin dengan suhu serendah lima darjah Celsius terus menusuk ke tulang walau badan sudah dibalut tiga helai pakaian.

Terima kasih kepada Switzerland Tourism dan Sedunia Travel Services Sdn Bhd kerana memberi peluang keemasan yang tidak mampu ditolak untuk berpijak secara nyata di bumi terindah yang biasa hanya mampu ditatap di layar skrin atau gambar penghias kalendar.

Terima kasih juga kepada Swiss Travel System Ltd yang menyediakan tiket perjalanan semua dalam satu untuk membolehkan kumpulan kami menikmati perjalanan menggunakan tren, bas dan bot pada bila-bila masa sepanjang tujuh hari di sana.

Zurich

Tren adalah sistem pengangkutan utama di Switzerland dan ia dilihat sangat memudahkan perjalanan keseluruhan lebih 400,000 penduduknya yang dikatakan 100 peratus menggunakan perkhidmatan rel itu setiap hari.

Menaiki tren dari lapangan terbang ke bandar Zurich hanya mengambil masa 10 minit dan terus ke lokasi penginapan Hotel St Gottard yang tidak jauh dari stesen tren utama Zurich.

Selepas 10 minit daftar masuk ke bilik, kami terus diminta turun semula ke lobi hotel untuk berjumpa dengan jurupandu Michael Baur yang mengiringi sejak dari lapangan terbang lagi. Walaupun penat, kami tetap teruja apabila dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Zurich yang tidak terlalu sibuk dan dihiasi bangunan lama serta keindahan aliran sungai yang jernih.


SEBAHAGIAN besar penduduk tinggal di kawasan berhampiran tasik.

Sejernih air itu jugalah dikatakan boleh diminum terus tanpa keraguan akan kebersihannya, malah lebih 1,200 pili pancutan air dengan pelbagai arca disediakan di lokasi strategik untuk orang meneguk airnya bagi menghilang kehausan.

Pada petangnya kami mendaki ke puncak tertinggi di Zurich iaitu gunung Uetliberg. Tidaklah setinggi manapun, cuma 870 meter dari aras laut (mdal) dan tidak pula kami mendaki dari kaki gunung kerana perkhidmatan kereta api disediakan juga.

Panorama indah sekeliling bandar Zurich amat mengasyikkan walaupun berkabus yang sedikit menjejaskan pemandangan. Ada sebuah hotel dan restoran di puncak gunung ini dan menara tinjau yang juga menara telekomunikasi.

Interlaken

Kami bergerak ke bandar tercantik Interlaken menerusi transit dua tren bagi perjalanan sekitar dua jam. Sukar untuk melelapkan mata kerana dibuai indah pemandangan pergunungan Alps dan tasik Interlaken yang meluas.

Hotel Metropole Interlaken terletak sekitar 500 meter dari stesen tren dan kami berjalan dengan bagasi besar diheret sepanjang jalan. Nasib baik cuaca sejuk menyamankan.

Oleh kerana terlalu awal kami belum dibenarkan masuk ke hotel lalu pemandu pelancong dari Pelancongan Interlaken Sandra Kaiser membawa kami ke Harder Kulm iaitu antara puncak peranginan paling hampir di bandar Interlaken.


KERETA kabel berlandasan adalah pengangkutan ke Harder Kulm.

Puncak setinggi 1,322 mdal digapai dengan tren berkabel yang bergerak perlahan pada tahap kecondongan 45 darjah selama lapan minit. Cuaca di puncak nyata berbeza apabila ketika itu salji turun dengan lebat dan kami secepat mungkin berjalan ke restoran Harder Kulm Panorama Restaurant yang menjadi satu-satunya tempat makan di situ.

Namun, bagi kami yang tak biasa jumpa salji, abadikan gambar dulu di sana sini. Apabila tak tahan sejuk barulah masuk ke restoran. Di sinilah kami makan tengah hari dan kali pertama juga penulis menikmati roti cecah keju cair atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘cheese fondue’.

Dihidangkan juga air berkarbonat terkemuka tempatan, Rivella yang dikatakan minuman kesihatan yang antara kandungannya adalah bakteria tenusu.

Sesudah makan tengah hari, kami kembali ke bandar Interlaken yang dikatakan hanya memiliki populasi seramai 5,600 orang. Tidak besar mana pun bandar ini, terasa tenteram kerana tidak banyak kenderaan. Deretan kedai kebanyakannya menjual pelbagai jenama jam terkenal Switzerland dan pisau pelbagai guna Swiss.


SATU-SATUNYA restoran di Harder Kulm, gunung tertinggi di bandar Interlaken.

Kumpulan kami terus dibawa ke Funky Chocolate Club Interlaken dan inilah agenda yang dinantikan. Di sini kami berpeluang mengikuti bengkel membuat coklat. Gah rasanya berlagak seperti seorang cef coklat lengkap dengan apron dan topi.

Kami dihadirkan dengan seorang cef yang sangat mahir dalam pembuatan coklat yang sepatutnya bukan dari negara ini kerana tidak ada sebatang pokok koko pun di situ. Namun, biji-biji koko diimport dan yang penting adalah susu lembu tempatan dikatakan amat bermutu tinggi disebabkan faktor cuaca dan teknologi.

Kami membuat coklat dengan kehendak sendiri mengikut panduan cef untuk dibawa pulang.

Makan malamnya di restoran Top o’Met berhampiran hotel yang menghidangkan ayam tertera ‘HALAL’ di menunya. Sebagai seorang Muslim, sebenarnya tidak susah mendapatkan makanan halal di Switzerland.

Seawal jam 8.30 pagi pada keesokannya kami bergerak ke stesen tren dengan pemandu pelancong dari Jungfrau Railway, Micheal Palma Mendes untuk ke Jungfraujoch yang terkenal dengan jolokan Puncak Eropah setinggi 3,466 mdpl. Stesen tren tertinggi dan terakhir di sini ialah pada ketinggian 3,454 mdpl.


LOKOMOTIF ke pergunungan Jungfraujoch.

Pemandangan menakjubkan pergunungan bersalji memutih bak kapas terbentang meluas di sepanjang perjalanan merangkumi tiga transit tren. Tren kedua dan ketiga adalah dari jenis yang mempunyai roda ketiga di bahagian tengah untuk landasan bergerigi.

Seperti dibuai mimpi indah apabila diulit pemandangan mengasyikkan dari dalam tren bertingkap cermin besar untuk meluaskan lagi penglihatan penumpang yang terdiri daripada pelancong tempatan dan asing yang berada di dalam tren.

Ramai kalangan penduduk tempatan juga tidak melepaskan peluang pada percutian musim dingin dan hujung minggu bagi bermain ski atau melakukan pelbagai aktiviti di atas salji bersama keluarga serta rakan.

Kami berhenti di stesen terakhir Lauterbrunnen selepas melalui perjalanan sejauh sembilan kilometer dan terowong di dalam perut gunung sejauh satu kilometer.

Memang menakjubkan, walau di dalam perut gunung bersalji, rel kereta api boleh dibina sedemikian rupa untuk memudahkan perjalanan bagi kemudahan penduduk tempatan serta pelancong.

Apa yang ada di Puncak Eropah itu adalah pelbagai tarikan pelancong selain restoran iaitu kedai menjual pelbagai barangan cenderahati termasuk jam berjenama terkenal, pejabat pos, kedai coklat Lindt, pelantar pandang Jungfrau Panorama (dalam), pelantar pandang Sea of Ice (dalam) dan Alpine Sensation.


PENDUDUK tempatan keluar beriadah.

Sementara di luar pula ada laluan pendaki yang selamat dan The Sphinx Observatory iaitu satu daripada dek pelantar tertinggi di dunia pada ketinggian 3,572 mdal bagi sesiapa yang tahan sejuk kerana ketika penulis berada di situ suhunya adalah -23 darjah Celsius dengan angin yang kencang.

Berani keluar beberapa minit saja di atas pelantar pandang hanya untuk merakam gambar. Memang luar biasa pengalaman ini. Ambil satu atau dua keping gambar cukuplah sebagai kenangan.

Satu lagi tarikan yang menakjubkan di sini dan tidak pernah dilalui oleh penulis ialah terowong glasier Ice Palace. Sesuatu yang indah dan asyik hingga tidak terkata apabila berada di dalam bungkah ais besar seperti kaca dengan pelbagai hiasan ukiran air batu di dindingnya seolah-olah berada di dalam akuarium gergasi.


TREN menjadi pengangkutan utama ke pergunungan Jungfraujoch.

Ada juga beberapa haiwan seolah-olah haiwan sebenar yang dibekukan di dinding ais itu termasuk helang, ibex iaitu sejenis kambing yang hanya ditemui di pergunungan ais, beruang, haiwan comel bertaring yang menjadi watak Scrat dalam filem Ice Age dan sebagainya. Arca-arca ais itu dikatakan mudah cair walaupun pada suhu -3 darjah Celsius.

Pengalaman yang tidak boleh dibayar dengan wang itu kami bawa pulang menaiki tren sama selepas puas menatap pemandangan yang hanya mampu dirakam oleh kamera, namun sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.

Geneva

Pada keesokan harinya kami bergerak ke Geneva, sebuah kota kosmopolitan yang banyak menjadi tuan rumah kepada pelbagai persidangan antarabangsa terutamanya ekonomi dan kewangan.

Bandar ini bersempadan dengan Perancis menyebabkan masyarakat di sini menggunakan bahasa Perancis sebagai perantaraan.

Makanan di sini juga lebih kepada hasil laut dan tidak ketinggalan makanan yang berasaskan keju dan roti.

Banyak juga kenangan diabadikan di Geneva walaupun sebagai kota metropolitan, masih banyak juga bangunan lama yang berusia ratusan tahun termasuk gereja dan bangunan pentadbiran kerajaan.


SISTEM pertiketan yang cekap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 10:59 AM