HAMPIR tiba di pintu gua.
MEREDAH salji separas lutut.
DALAM gua ais Eiskapelle.
ADA anak sungai tidak beku manakala di hujung ada kawasan terbuka menampakkan gunung tinggi.
Nor Aziah Sharif
noraziasharif@hmetro.com.my


Dari kejauhan sudah kedengaran bunyi bising yang tidak pernah penulis dengar kala memulakan langkah untuk mendaki di St Bartholoma di daerah Bavaria, Jerman. Bunyi itu menggerunkan penulis yang ketika itu bersedia untuk ke Eiskopelle iaitu gua yang terbentuk daripada glasier.

Mengikut papan tanda tertera, perjalanan ke gua itu mengambil masa 30 minit tetapi hakikatnya perjalanan menelan masa yang lebih panjang. Ketika penulis dan keluarga sampai di permulaan trek, kami disambut dengan deraian salji halus. Anak penulis yang merancang perjalanan ke sini tidak menjangka kawasan ini dilanda salji.

Untuk sampai ke situ, kami perlu menaiki feri di Tasik Konigssee, Jerman. Tempat itu menjadi destinasi kerana hanya mengambil masa sejam dari tempat penginapan kami di Salzburg, Austria.

Perjalanan feri merentas Tasik Konigssee yang diiktiraf sebagai tasik terbersih di Jerman pula mengambil masa 30 minit. Benar seperti didakwa, airnya bersih dan jernih. Kami boleh melihat hingga ke dasar tasik.

Apabila sampai di tengah tasik, pengendali feri mematikan enjin dan semua penumpang senyap. Suasana menjadi sunyi sepi, Dalam hati tertanya-tanya juga kenapa dia berbuat demikian.

Pengendali feri mengeluarkan trumpet dan berdiri di tepi feri. Dia meniup trumpet mendendangkan lagu merdu yang bunyinya kembali melantun. Semua terpaku mendengar alunan gema yang bersahut-sahut. Cukup indah, apatah lagi dengan belaian angin sejuk yang menyegarkan.

Pemandangan di pekan jeti juga menarik, berderet restoran dan bangunan bersejarah. Boleh saja kalau mahu menghayati suasana di St Bartholoma atau berjalan menikmati keindahan hutan sementara menunggu bot terakhir pada jam 4.20 petang. Mendaki dan melalui trek di hutan percuma, tetapi ada bayaran untuk menaiki feri.

Kami boleh saja berhenti setakat di jeti St Bartholoma dan merakam beratus gambar untuk mengingati keindahan pemandangan dan persekitaran di sini yang dikelilingi lingkaran Banjaran Alps Bavaria yang bersalji, hutan dan tasik, sebaliknya kami memilih untuk bermesra dengan alam dan mendaki ke Eiskapelle.

Untuk itu, awal pagi kami sudah bersiap supaya dapat menaiki feri pertama Tasik Konigssee supaya kami mempunyai banyak masa untuk merakam gambar atau berjalan-jalan.

Selain itu, kami juga perlukan banyak masa untuk mendaki ke gua kerana tidak tahu keadaan perjalanan yang bakal ditempuh. Walaupun bersemangat dan teruja, tetapi dalam hati, ragu-ragu juga dengan keupayaan diri sendiri.

Oleh kerana bermula awal, jadi penulis tidaklah risau berjalan santai menuju ke gua ais itu. Rupanya perjalanan kami hari itu disambut dengan salji yang lebat. Tempoh perjalanan menjadi semakin panjang kerana kami kerap berhenti untuk merakam gambar dan video.

Walaupun sakit kaki dari tanah air lagi, tetapi penulis tidak mahu melepaskan pengalaman meredah salji hingga ke gua glasier Eiskapelle. Dalam cuaca dingin, sakitnya semakin berdenyut tetapi penulis cuba bertahan. Kalau boleh penulis mahu menjadikan kunjungan kali ini sebagai percutian yang berbeza sedikit, ada cabaran manis yang boleh dikenang sepanjang hayat. Lagipun mendaki menjadi aktiviti wajib setiap kali ke luar negara.

Sesungguhnya penulis sangat menghargai pengalaman mendaki di dalam salji walaupun kesakitan kaki makin bertambah. Mujurlah anak pilihkan pakaian dan kasut yang sesuai, sedikit sebanyak ia membantu pendakian penulis. Dalam sakit kaki, hati tetap teruja setiap kali memijak ‘lantai’ ais yang lembut.

Sekali lagi kami terdengar bunyi glasier jatuh. Makin tinggi kami mendaki, semakin kuat bunyinya. Menyedari kebimbangan ayah dan ibunya, anak beberapa kali memberitahu kedudukan glasier yang jatuh itu jauh dari kami.

Perjalanan awal pendakian mudah kerana laluannya mendatar dan diselenggarakan pihak berkuasa tempatan, sehinggalah kami tiba di depan satu papan tanda yang memberitahu di situlah berakhirnya trek yang diselenggara. Pada papan tanda yang disediakan pengurusan Taman Negara Berchtesgaden, terpapar juga nasihat supaya pendaki sentiasa berhati-hati.

Oleh kerana laluan diliputi salji, cabarannya berganda kerana kami tidak nampak trek mana yang harus diikuti. Mujurlah ada dua pendaki yang biasa dengan kawasan itu, menunjukkan trek yang betul kepada kami.

Batang pokok menghalang laluan dan kami juga perlu berhati-hati mencari tapak untuk dipijak. Walaupun tidak diselenggara pihak pengurusan taman negara membuat tanda laluan di batu sebagai panduan tetapi ada yang tidak kelihatan kerana diselimuti salji.

Salji bertambah lebat dan kami perlu mengharung hamparan salji yang sampai ke lutut. Anak bongsu mendahului untuk membuka laluan buat ibunya yang sakit kaki. Sebenarnya kami ‘main redah’ saja untuk sampai ke gua ais, memandangkan semua laluan bagaikan sama.

Namun, setengah jam selepas meninggalkan papan tanda, kami sudah tiba di depan pintu gua yang terletak pada ketinggian 930 meter. Ini adalah antara gua terendah di Alps Bavaria. Secara keseluruhan, kami berjalan sejauh enam kilometer meredah salji untuk sampai ke situ.

Ketika sampai, ada tiga pendaki lain yang berada di situ. Kami berjalan hingga ke hujung gua yang bersilingkan ais dan ada anak sungai yang tidak beku. Di hujung gua ada kawasan terbuka yang menampakkan gunung tinggi di belakangnya.

Kami berada di dalam gua sekejap saja, kira-kira 15 minit kerana perlu kembali ke jeti. Laluan pulang juga sukar kerana jalan yang dilalui tadi sudah tertutup dengan salji. Alhamdulillah, dengan kaki yang sangat sakit kerana kesejukan melampau, penulis berjaya menghabiskan misi kali ini.

Sempatlah kami berehat di dalam restoran sambil meninjau persekitaran sementara menunggu feri terakhir tiba. Sambil merenung ke dasar tasik, hati memanjatkan rasa syukur tidak terhingga kepada Yang Maha Esa, memberikan peluang kepada kami sekeluarga menikmati keindahan ciptaan-Nya dan merasai pengalaman yang mungkin sukar diulang!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 11:05 AM