PESERTA ceria ketika menyertai ekspedisi.
AKSI peserta pada awal dayungan membelakangkan empangan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Bukan tugas mudah buat pelajar tahun pertama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan, Tanjung Malim, Perak, Khairi Mohamad Shukri mengetuai rakannya dalam Kem Amali Aktiviti Air di Sungai Perak, baru-baru ini.

Dia yang berasal dari Bachok, Kelantan mengakui pengalaman mendayung sejauh 30 kilometer dari Kem Intan Suraya ke Lembah Kuala Kangsar adalah yang misi sukar tetapi wajib dipenuhi sebagai penilaian amali dalam bergelar guru pendidikan Sains Sukan kelak.

Kata Khairi lagi, dia perlu memikul tanggungjawab mengetuai 80 rakan yang terdiri daripada pelajar tahun pertama untuk menamatkan misi terbabit dalam masa dijadualkan.

“Aktiviti amali air ini memang berisiko dan memerlukan peserta sentiasa meletakkan aspek keselamatan diri sebagai keutamaan. Ia menjadi tanggungjawab tambahan kepada saya yang perlu memastikan rakan lain mematuhi segala prosedur ditetapkan tenaga pengajar.

“Sebahagian besar rakan tidak pernah menyertai aktiviti mendayung jarak jauh tetapi dengan sesi latihan dan tunjuk ajar pensyarah termasuk rakan fasilitator yang bertindak sebagai jurulatih dalam ekspedisi ini, banyak membantu kami menempuh perjalanan ini dengan yakin.

“Laluan sungai sepanjang ekspedisi ini mempunyai tarikan dan cabaran tersendiri. Di sebalik arus yang tenang, kami berdepan dengan aliran arus berubah deras secara tiba-tiba.

“Meskipun kami mendayung mengikut arus, penat masih dirasai tambahan pula cuaca terik yang membuatkan kami lencun bermandi peluh selain kulit perit terbakar.

“Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan tidak pula berasa tertekan kerana kami saling memberi sokongan antara satu sama lain sehingga ekspedisi tamat. Bagi menghilangkan penat, ada kalanya kami bergurau dan menyanyi mengisi bagi mengisi masa mendayung yang panjang,” katanya.

Menurut pensyarah yang juga Pengarah Program Kem Amali Aktiviti Air Sungai Perak Dr Mazuki Mohd Yasim, ekspedisi itu penting dalam memberi pendedahan sebenar kepada bakal guru mengenai aktiviti air baik dari segi pelaksanaan, teknik dan keselamatan.

“Paling utama, ia memberi pendedahan langsung buat pelajar tahun pertama mengenai aktiviti air. Di sini, mereka boleh praktikkan teori dan kaedah dipelajari selain pengalaman menghadapi senario tertentu ketika berada dalam air.

“Sebagai contoh jika pelajar alpa dan leka, mereka akan berdepan masalah. Antara yang berlaku ketika ekspedisi ini ialah ada peserta menggunakan rakit buluh masuk ke dalam semak. Ada juga rakit tersangkut pada kabel besi yang merentangi sungai. Tetapi tiada insiden kecederaan dan ada kru ditugaskan sebagai penyelamat menggunakan bot getah dingi untuk memantau peserta,” katanya.

Kata Mazuki lagi, serentak dengan penilaian amali untuk pelajar tahun pertama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Tanjung Malim, diadakan juga sesi penilaian jurulatih serentak untuk 40 pelajar tahun ketiga dan keempat.

“Dalam ekspedisi ini membabitkan seramai 120 pelajar dan dua tenaga pengajar. Tugasan diberikan ialah mengikut kumpulan dan setiap peserta perlu mendayung tiga jenis bot iaitu rakit buluh, kayak dan bot getah sehingga penamat iaitu di Lembah Kuala Kangsar.

“Impak pada peserta diharap kemahiran peserta dan keyakinan diri mereka terutama dalam aktiviti air meningkat,” katanya.

Sementara itu, fasilitator perempuan Adahah Abdul Rahim, 22, menyifatkan ekspedisi ini penting kerana meningkatkan keyakinan diri pelajar Sains Sukan melakukan aktiviti air.

“Pendedahan pelajar seperti kami terutamanya bakal guru atau jurulatih sukan perlu menguasai kemahiran aktiviti air. Tanpa amali seperti menerusi ekspedisi ini, pelajar tidak dapat mempraktikkan apa yang dipelajari dalam teori,” katanya.

Rakannya, Mohd Fadzli Abu Bakar berkata, sebagai fasilitator dalam ekspedisi ini, dia dapat mempraktikkan perkara dipelajari ketika sesi teori untuk jurulatih.

“Buat pelajar tahun keempat, kami didedahkan kepada kemahiran menjadi jurulatih. Ini tahap berbeza di mana kami perlu menjaga peserta selain memberi panduan kepada mereka mengenai teknik dayung betul untuk ekspedisi air jarak jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:54 AM