MARZUKI bersama pekerja menunjukkan hidangan istimewa mereka.
Muhammad Shalaby Shahbuddin
am@hmetro.com.my


Jika anda ingin merasai keenakan sebenar masakan Barat dan char kuetiau popular Pulau Pinang, Key’s Bistro & Cafe adalah destinasi paling sesuai untuk dipilih.

Kafe terletak di Alma, Bukit Mertajam itu bukan saja menyajikan ikon makanan popular di negeri ini iaitu char kuetiau sejak 1994, malah daripada berkonsepkan restoran ia dinaik taraf kepada bistro, sekali gus turut menampilkan masakan Barat mengikut trend dan selera semasa.

Pemiliknya, Marzuki Kamis, 42, berkata, restoran Key’s Char Keow Teow dikenali ramai sejak 20 tahun lalu apabila dibuka di Seberang Jaya dan mengkomersialkan sajian popular Pulau Pinang itu di restoran berbanding gerai tepi jalan.

Katanya, buat masa ini Key’s Char Keow Teow hanya mempunyai satu cawangan bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa dan akan melebarkan legasinya pada masa akan datang di lokasi pilihan sesuai dengan kehendak pelanggan.

“Mengenai pembaharuan daripada restoran kepada bistro dan kafe, char kuetiau masih dikekalkan sebagai menu utama kerana ia mendapat sambutan menggalakkan yang menepati selera penggemarnya.

“Kini pelanggan lama dan baru bukan saja dapat menikmati char kuetiau dalam kafe berkonsepkan moden diiringi alunan muzik blues, malah kami menawarkan masakan Barat popular dan ‘trending’ mengikut keadaan semasa ketika ini,” katanya.

Marzuki berkata, kafe berkenaan beroperasi dari jam 5 petang hingga 2 pagi setiap hari dan walaupun memperkenalkan menu makanan Barat, dia tetap tidak boleh meninggalkan char kuetiau yang sudah sinonim dengan dirinya.

Dalam masa terdekat, pelanggan dapat menikmati char kuetiau bersama sotong dan ketam yang pasti menambat selera, sekali gus memperbaharui cita rasa mereka.

Kafe itu turut mempertaruhkan beberapa masakan Barat popular hasil sentuhan cef berpengalaman selama 30 tahun dalam masakan Barat dan Itali.

“Antara makanan Barat istimewa adalah barbeku tulang rusuk lembu iaitu antara menu hotel yang dibawa ke kafe dengan harga RM29.90.

“Keenakan tulang rusuk istimewa memang terbukti dengan sosnya tersendiri menghasilkan rasa manis dan pedas apabila diperap selama empat jam selain turut sesuai dinikmati kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, Marzuki berkata, Lamb Chop Blackpepper berharga RM19.90 menggunakan bahagian rusuk kambing batang pinang bersesuaian dengan moto kafenya iaitu ‘Keenakan Rasa Sebenar’ cukup lazat apabila dihidangkan bersama sos ‘Brown Mint’ iaitu sos perang perasa pudina.

Menu lain Chicken Chop dan Black Pepper Steak yang menggabungkan adunan tepung, sos dan perapan rahsia yang tersendiri.

Bagi penggemar sajian ‘sizzling’, bolehlah mencuba hidangan istimewa antaranya Sizzling Chicken Blackpepper, Sizzling Lamb Chop dan Sizzling Beef Steak selain menu pilihan ramai, Spaghetti Bolognese dan Mix Grill (ayam, daging dan kambing).

“Antara minuman istimewa turut diketengahkan iaitu Cendol Pulut Durian, Ambra Asam Boi, Mangga Float dan Key’s Bistro Cappucino Special.

“Saya akan membuat penambahan menu dan membuka cawangan kedua menggunakan konsep sama di Permatang Rawa, Bukit Mertajam sebelum Ramadan nanti.

“Selain menyelia kafe ini, saya turut membekal sos istimewa kami kepada usahawan di seluruh negara,” katanya.

Marzuki berkata, selain mampu menempatkan 200 orang dalam satu masa dan mempunyai kawasan parkir tidak lama lagi, pihaknya menyediakan surau, pentas mini untuk pelbagai majlis antaranya sambutan hari jadi, menerima tempahan katering dalam dan luar negeri ini, sekali gus menyediakan perkhidmatan sistem siar raya (PA System) dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:41 AM