KAYUHAN diadakan di seluruh negara.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Program Kayuhan Amal Serentak Terbesar, Kayuhan Amal Kastam 1 Malaysia (KAK1M) berjaya mengumpulkan 6,255 peserta di 10 lokasi seluruh Malaysia sempena sambutan Hari Kastam Sedunia disambut pada 26 Januari setiap tahun.

Program kayuhan anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) dengan kerjasama Persatuan Sindrom Down Malaysia (PDSM) bertujuan membantu PDSM mengumpul dana membina rumah perlindungan untuk anak istimewa.

Presiden PERKASA, Mohd Asri Seman berkata, program itu memasuki tahun kedua dimulakan bersama Majlis Kanser Nasional bagi membantu pesakit kanser hingga berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM80,000 tahun lalu.

“Tahun ini, kami bekerjasama dengan PDSM kerana mereka memerlukan dana membina rumah perlindungan.

“Kami menyediakan platform kepada masyarakat untuk membantu mereka menerusi penyertaan dalam kayuhan amal ini.

“Hasilnya, kami berjaya mengumpulkan RM100,000 dan akan diserahkan kepada PDSM.

“Selain membantu insan sindrom Down mendapat dana, kami berharap program kayuhan ini melahirkan masyarakat penyayang serta mengeratkan lagi hubungan kastam dan rakyat Malaysia.

“Menerusi program ini, orang awam dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan kastam sekali gus merakyatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kami memilih sukan berbasikal kerana ia sukan terkini yang diminati rakyat tempatan, malah kami menerima sambutan sangat menggalakkan hingga diiktiraf sebagai Program Kayuhan Amal Serentak Terbesar oleh MBOR.


KAK1M berjaya kumpul 6,255 peserta.

“Dirasmikan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy. Putrajaya sebagai pusat pelancaran rasmi saja berjaya mengumpulkan 1,988 daripada 6,255 peserta keseluruhannya.

“Justeru, kami bercadang menjadikan KAK1M ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Program kayuhan amal ini terbuka kepada orang awam sama ada penyertaan individu mahupun berkumpulan menerusi kelab basikal.

Jarak kayuhan sejauh 25 kilometer di setiap 10 lokasi lain, laluan Putrajaya bermula di Jalan Tengku Abd Rahman menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Pinggiran Putra, Alamanda, bulatan Sultan Salehuddin dan kembali ke tapak pelepasan.

Selain menuntut ketahanan fizikal, peserta turut menikmati udara nyaman, keindahan tasik, jambatan serta taman menarik di sekitar Putrajaya.

Tambahan kepada program kayuhan, orang ramai juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, zumba, senamrobik serta gerai jualan.

Harapan Mohd Asri, KAK1M dapat diteruskan dan menerima sokongan daripada masyarakat, sektor korporat dan swasta sekali gus menyebarkan kebaikan dan membantu golongan yang memerlukan.


PENGHARGAAN buat peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 9:08 AM