JAMUAN makan setelah selesai.
SEBAHAGIAN ahli konvoi bergambar berlatarkan pemandangan sekitar kampung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Menyusuri dua laluan trek yang santai menerusi tepi kebun kelapa sawit dan getah selain merentasi perkampungan masyarakat Melayu sejauh 30 kilometer pasti menggamit minat penunggang baru yang ingin merasai pengalaman kayuhan baik atas jalan raya mahupun denai.

Mengambil kira ada peserta bersama keluarga, trek cabaran Konvoi Kayuhan Sungai Pergau, Jeli Kelantan oleh komuniti MTB & Road Cycling Brotherhood itu menawarkan cabaran membabitkan laluan biasa dan lasak.

Pengarah Program Kayuhan Sungai Pergau Jeli Kelantan MTB & Road Cycling Brotherhood, Ahmad Mokhtaruddin Mohd Nor dikenali sebagai Abang Chik dalam kalangan penggiat aktiviti basikal, menyifatkan laluan itu antara lokasi terbaik bagi sukan berbasikal.

“Tarikan lokasi ini adalah Sungai Pergau yang jernih. Boleh mandi-manda selepas penat berkayuh selain pendedahan awal buat mereka yang tiada pengalaman kerana 50 peratus trek membabitkan jalan raya dan laluan luar.

“Cabaran tentu saja laluan luar jalan raya di kawasan mendaki bukit dan merentasi anak sungai yang memerlukan pengendalian stabil dan henjutan kuat di laluan berkenaan.

“Pada masa sama, penunggang basikal perlu dalam keadaan cergas dan menyediakan bekalan air mencukupi sepanjang kayuhan.

“Malah tiub juga diperlukan jika tayar bocor dalam perjalanan khususnya apabila merentasi trek denai,” katanya.

Mokhtaruddin berkata, menggunakan spesifikasi basikal gunung tahap asas sudah memadai untuk menempuh trek berkenaan.

“Sesuai dengan mood kayuhan lebih relaks, basikal lasak yang biasa sudah cukup melalui trek sungai Pergau.

“Asalnya kayuhan ini bertujuan mengembalikan semangat penunggang yang sudah lama tidak berkayuh dan juga mengenali penggiat baru selain menzahirkan keseronokan di sebalik gaya hidup sihat menerusi aktiviti berbasikal.

“Atas faktor itu kami menggalakkan keluarga untuk turut serta bagi memeriahkan program,” katanya.

Ternyata, program kayuhan itu meninggalkan kenangan manis kepada 50 pesertanya. Bagi yang berminat menyertai acara kayuhan komuniti ini boleh melayari laman Facebook MTB & Road Cycling Brotherhood.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:13 AM