MENYERTAI pertandingan boling dengan kerap.
MASA untuk Saidila bertemu rakan dan berkongsi tip.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Dihadiahkan bola dan sepasang kasut boling oleh suami sebagai tanda penghargaan sudah cukup bermakna buat Saidila Abdul Rahman untuk meneruskan hobi yang dimulakan sejak berusia 13 tahun.

Mengahwini pasangan yang mempunyai minat sama dalam sukan boling memberi kelebihan kepada wanita berusia 39 tahun ini menjadikannya aktiviti riadah sekeluarga pada hujung minggu.

“Saya aktif dalam sukan boling ini sejak di bangku persekolahan lagi tetapi tidak pernah mengikuti mana-mana latihan atau kursus secara profesional, cuma sekadar mengisi masa lapang.

“Bagi saya, sukan boling tidak memerlukan skil lontaran khusus tetapi menarik apabila kita berjaya melakukan balingan tepat (strike) dan membuat jatuhan pin terbanyak untuk dijadikan rekod simpanan peribadi.

“Saya sentiasa belajar memperbaiki teknik lontaran dan mengubah corak balingan di lorong di pusat boling berbeza.

“Sukan boling bukan sekadar aktiviti kesihatan jasmani, juga mental. Boling mendidik saya untuk lebih fokus, belajar erti sabar dan positif setiap kali balingan tidak menepati sasaran.

“Menerusi boling juga, saya dapat menambah kenalan apabila bertemu dan berbual dengan mereka yang memiliki minat sama, selain bertukar tip,” jelasnya.

Bersyukur dipertemukan dengan pasangan yang memiliki minat sama, Saidila mengakui boling antara sukan paling sesuai dijadikan aktiviti keluarga.

Menjadikan boling sebagai tanda aras pasangan bahagia, hubungan Saidila dan suaminya, Suhaidi Jairi, semakin erat, malah saling menyokong antara satu sama lain dalam apa juga situasi.

Menafikan wujudnya aura negatif setiap kali menyertai pertandingan boling anjuran kelab, syarikat korporat, kawasan kejiranan dan aktiviti santai keluarga, wanita ini sebaliknya mengakui hubungan kekeluargaan kian mesra setiap kali ke pusat boling.

Selain memilih pakej disediakan pusat boling, suri rumah ini juga berkata, pemilikan set boling peribadi mampu mengurangkan kos sukan yang tinggi terutama bagi mereka yang kerap bermain.

“Selalunya, saya dan suami bermain boling pada musim cuti sekolah atau hujung minggu disertai ahli keluarga dan rakan lain.

“Boleh dikatakan hampir setiap tahun, kami berdua menyertai pertandingan boling dan pernah saya memenangi wang hadiah kemenangan. Lebih membanggakan, saya juga layak mewakili zon kawasan untuk pertandingan ke peringkat daerah.

“Namun hadiah paling bermakna, pasti sepasang kasut dan bola boling dihadiahkan suami yang memahami minat saya terhadap sukan ini,” katanya lagi.

Menurut Saidila lagi, selain boling, keluarganya menjadikan badminton dan memanah sebagai aktiviti riadah terbaru mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:09 AM