KEUNIKAN peserta menjadi tarikan lensa jurugambar.
UPACARA sebelum memulakan perarakan.
RAMAI orang luar tidak tahu masih banyak upacara budaya di Bali.
Shuhada Mansor
metahad@hmetro.com.my


Sebut saja Bali, pasti terbayang keindahan alam semula jadinya dengan kejernihan air laut dan hijau sawah padi seluas mata memandang.

Namun, di sisi lain, pulau kecil ini masih memelihara adat dan budaya turun temurun sekali gus menjadikannya antara tarikan utama pelancong.

‘Nyepi’ umpamanya, antara istiadat yang paling sinonim dengan Bali hingga menyaksikan kebanjiran pelancong saban tahun apabila tibanya acara itu.

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu masih banyak upacara budaya tidak dihebohkan kepada orang luar.

Bali dihuni lebih empat juta orang majoriti penduduknya beragama Hindu menawarkan keunikan budaya berbeza bagi orang luar.

Penulis berpeluang ikut serta dalam upacara ‘Ngerebeg’, adat yang diadakan sekali dalam tempoh enam bulan pada tarikh tertentu mengikut kalendar Bali.

Ngerebeg adalah tradisi turun-temurun membabitkan perarakan mengelilingi kampung sejauh enam kilometer terdiri daripada anak muda lelaki dari tujuh banjar (kawasan).

Mereka mengecat, memakai kostum, topeng malah menconteng badan dan wajah dengan pelbagai motif seram.

Antara banjar terbabit ialah Banjar Gagah, Banjar Pejeng Aji, Banjar Tegallalang, Banjar Tegal dan Banjar Tengah.

Memandangkan Ngerebeg kurang popular berbanding Nyepi selain konsepnya lebih ‘tertutup’ membuatkan rasa ingin tahu lebih membuak-buak.

Pelbagai soalan penulis ajukan kepada teman, yang juga anak jati Bali tetapi setiap kali itulah dia memberi jawapan sama yang mengandungi empat perkataan iaitu ‘tunggu dan lihat sendiri’. Jawapan pendek itulah yang memuncakkan lagi keinginan untuk mengetahui keunikan Ngerebeg.

Pagi sebelum ke lokasi upacara, penulis dimaklumkan supaya memakai kain sarung dan baju sesuai bagi menghormati acara awal diadakan di Pura Duur Bingin, Desa Tengallalang.

Sebaik tiba, kelihatan ramai anak muda lingkungan belasan dan orang dewasa bersiap mengikuti perarakan yang diadakan pada sebelah petang.

Pada sudut lain pula, sekumpulan anak muda tekun menyiapkan hiasan daripada pelepah daun yang dibentuk cantik untuk diletakkan pada kayu dan ‘penjor.’

Sementara itu di Pura Duur Bingin, kelihatan warga emas dan yang lebih berpengalaman menyiapkan makanan untuk dihidangkan kepada peserta.

Sejurus menjejakkan kaki di dalam Pura Duur Bingin, penulis tidak menyangka begitu ramai orang berkumpul di situ untuk bersama-sama memeriahkan upacara ini.

Bukan itu saja, malah di bahagian dalam Pura Duur Bingin dihias cantik dengan bunga terpilih dan perkakas khusus disusun untuk dipersembahkan kepada dewa.

Sekitar jam 12 tengah hari sesudah makan, perarakan bermula.

Teruja! Itu perkataan yang dapat menggambarkan perasaan penulis selepas menyaksikan semangat anak muda di sini bersatu hati memeriahkan acara.

Dibanjiri lebih tujuh warna berbeza, sepanjang jalan kampung itu dipenuhi dengan ratusan manusia ‘berwarna-warni.’

Penulis tidak melepaskan peluang untuk ikut serta dalam perarakan hingga selesai sekitar jam 3 petang.

Ngerebeg, ritual unik dalam erti kata lain upacara adat penganut agama Hindu di Bali untuk menolak bala dan membersihkan sifat buruk yang ada dalam diri.

Simboliknya, ia dizahirkan melalui perarakan terdiri daripada anak muda dengan pelbagai hiasan menyeramkan.

Setiap daerah di Bali memiliki ciri-ciri khas. Begitu juga Tegallalang. Antara daerah di Kabupaten Gianyar ia tidak hanya terkenal dengan lokasi pelancongan dan kraftangan semata-mata malah tampil dengan keunikan adatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:00 AM