SUASANA kelam yang mendamaikan ketika mendaki.
Rahim Rahmat
metahad@hmetro.com.my

Memang menjadi idaman pendaki tegar untuk menyahut sebarang cabaran mendaki mana-mana gunung terutama ketika musim sejuk. Peluang yang ditunggu-tunggu ini akhirnya muncul apabila nama Gunung Fansipan di Vietnam disebut sebagai lokasi pilihan.

Justeru penulis mengambil cabaran ini dengan tekad untuk menawan gunung tertinggi di Indochina itu pada ketinggian 3,143 meter dari paras laut, walaupun dikhabarkan suhu boleh mencecah negatif empat darjah Celsius dengan angin bertiup kencang sehingga 30 hingga 40 kilometer sejam.

Bersama lapan pendaki lain, diketuai Presiden Kelab Jelajah Malaysia (KJA), Mohamad Illaham Ishak, Nurul Nadia Tajuddin, Besek Sarina Bachok, Ahmad Faisal Abdul Rahman, Ahmad Zaki Abd Halim, Mohd Razif Ahmad, Muhamad Khalil Zakaria dan Mohamad Ashaziq Abu Bakar, kami berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Hanoi pada 27 Januari lalu.

Memandangkan perjalanan kami berkonsepkan pengembara beg galas sambil mendaki, pergerakan kumpulan lebih santai dan tidak terikat dengan jadual yang ketat. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Noibai, Hanoi, kami menuju ke pusat bandar dengan menaiki bas dan terus ke Masjid An-Noor untuk menunaikan solat serta makan tengah hari.


SUASANA Bandar Hanoi yang sibuk.

Suasana bandar ketika itu sangat meriah dengan penduduk mengibarkan bendera Vietnam sambil menaiki kenderaan kerana sedang berlangsung perlawanan akhir bola sepak Piala AFC B-23.

Jam 8.30 malam, kumpulan kami bergerak ke stesen kereta api dan membeli tiket ke Lao Chai. Perjalanan ke bandar di utara Vietnam itu mengambil masa kira-kira lapan jam.

Setibanya di Lao Chai, kami menaiki bas menuju ke bandar Sapa. Terkejut juga apabila disambut dengan cuaca yang sangat sejuk, suhu di bawah paras beku dan berkabus.

Bandar Sapa di utara Vietnam terkenal dengan panorama indah dikelilingi pergunungan menarik, sawah padi, sungai dan air terjun serta tentunya suhu yang sangat dingin.

Bersantai di bandar Sapa memang mengasyikkan kerana penduduk terutama wanita daripada etnik Black H’Mong masih mengekalkan pakaian tradisional yang unik, cantik dan berwarna warni.


MASYARAKAT Sapa etnik Black H’Mong.

Keesokan paginya, kami terus menuju ke Pejabat Taman Negara Hoang Lien, Sapa bagi memulakan pendakian ke Gunung Fansipan. Masing-masing tampak segar kala menggalas segala persiapan, kelengkapan pakaian dan makanan untuk memulakan pendakian pada jam 10 pagi.

Pada permulaan pendakian kami dihidangkan dengan laluan yang agak landai sesekali diuji laluan menegak dan menyusuri anak sungai. Penunjuk arah yang periang, Thua, tersenyum melihat keterujaan kami menikmati cuaca sejuk dan pancaran sinar matahari yang menembusi hutan.

Selepas bergerak lebih dua jam, kami tiba di kem satu dan meluangkan masa setengah jam melepaskan lelah dengan bersolat serta menikmati makan tengah hari - sandwic yang disediakan sendiri di hotel .


SEMBILAN pendaki KJA bergambar sebelum memulakan pendakian.

Menuju ke kem dua sangat memenatkan kerana laluannya agak sukar, turun dan naik. Malah, kami perlu memanjat tangga dengan keadaan seperti melekap di dinding selain laluan permatang. Tiupan angin kuat mencecah 30 hingga 40 kilometer sejam dan kabus menambah ujian pendakian.

Sesekali kami berhenti seketika menyaksikan pemandangan indah. Seorang pendaki mengalami masalah kesihatan yang dipanggil ‘simpul biawak’ menyebabkan pendakiannya sedikit terganggu.

Akhirnya kami tiba ke kem dua dengan ketinggian 2,800 meter dari paras laut dengan selamat walaupun hujan manja mengiringi perjalanan ketika itu.

Malam itu, suasana di kem dua agak menakutkan kerana angin bertiup kuat, bimbang juga jika bumbung kem tempat kami berlindung terbang dibawa angin. Semakin sukarlah untuk kami berdepan dengan suhu yang jatuh di bawah paras beku.

Terlintas juga dalam fikiran kemungkinan kami terpaksa membatalkan misi ke puncak Fansifan, tetapi syukur sebelum Subuh cuaca bertambah baik.


RUMPUN buluh menjadi peneman setia ketika mendaki.

Seawal jam 4.30 pagi kami sudah bersedia meneruskan perjalanan, sesekali disapa tiupan angin dan dihidangkan laluan menyeksakan kerana terpaksa menuruni cerun tegak serta memanjat tangga besi bagi melepasi bongkah batu yang agak besar.

Akhirnya tepat jam 7.15 pagi 31 Januari 2018, semua sembilan pendaki termasuk dua wanita dari KJA berjaya menawan Puncak Gunung Fasipan.

Ketika kami tiba, tiada apa yang dapat dilihat di sekitar puncak kerana kabus tebal menutupi persekitaran. Namun, kami tidak berputus asa menunggu sebentar untuk melihat panorama yang dikatakan memukau, malangnya angin terus bertiup kencang membawa kabus dan hujan.


PENULIS (kanan) bersama Illaham di puncak Fansipan.

Memang agak mencabar untuk terus berdiri di puncak Fansipan berselimut tiupan angin dan suhu negatif empat darjah Celsius. Namun bagi kami, kesejukan itu hanya sementara dan kejayaan yang dikecap akan kekal dikenang sepanjang hayat.

Meskipun tidak berpeluang menikmati keindahan seperti yang dikhabarkan, misi membawa mesej kempen keamanan dunia khasnya buat rakyat Palestin tetap berjaya dan ia permulaan yang baik untuk pendakian 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 2:14 AM