LALUAN ladang lebih santai.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

‘Nak ke mana tu?’ Sapaan lembut jurulatih yang juga pengasas Rinching ATV Adventure Affendi Ariffin menyentuh gegendang telinga penulis.

Rupa-rupanya ada dalam kalangan peserta Program Kembara Hulu Langat 2.0 mengendalikan kenderaan pelbagai permukaan (all terrain vehicle - ATV) tersasar dari trek sepatutnya.

Meskipun mengundang suasana cemas seketika buat kumpulan peserta jemputan Unit Pelancongan Bahagian Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) diketuai Mohd Hadzli Hamid apabila mengetahui ada peserta yang ‘terbabas’, bagi kumpulan marsyal yang mengiringi kami ia bukan senario asing.

Kata Affendi, meskipun aktiviti ATV disifatkan ekstrem dalam kalangan peminat sukan rekreasi, penggunaan teknik betul selain mendengar arahan jurulatih boleh menukar senario yang menjadikannya lebih menyeronokkan.


PESERTA bersiap mengenakan topi keselamatan.

“Sebenarnya untuk pengendalian ATV, ada peringkat dan tahap kesukaran tertentu yang boleh dilalui bergantung pada permintaan pelanggan selain kemahiran mereka.

“Kami ada pakej atau trek paling mencabar yang memerlukan peserta menempuh laluan berbukit dan sempit. Namun, untuk tahap itu kami tekankan mengenai kapasiti, etika dan juga persiapan mereka kerana perjalanan boleh mengambil masa sepanjang hari.

“Bagi kembara kali ini, trek dilalui sejauh 16 kilometer dengan kami menasihatkan peserta supaya memandu pada kelajuan sekitar 30 kilometer sejam dan sentiasa berhati-hati kerana ada laluan berlubang dan sempit. Peserta berpeluang menikmati cabaran kering dan basah selain melalui jalan ladang serta denai hutan di Hulu Langat.


MARSYAL sentiasa bersedia bantu peserta.

“Boleh dikatakan memacu ATV antara aktiviti menarik yang boleh disertai peminat sukan lasak. Bagi pelancong pula, mereka boleh mendekati alam semula jadi. Hulu Langat mempunyai trek terbaik kerana dikelilingi hutan dan sungai jernih. Kami daripada Rinching ATV Adventure mengalu-alukan kedatangan pengunjung untuk mencuba trek di sini dan mencabar diri dengan aktiviti lasak,” katanya.

Dalam program itu tidak dinafikan ada detik mendebarkan terutama ketika meniti laluan mendaki yang bukan saja sempit malah bersebelahan dengan gaung yang merangsang adrenalin 12 peserta kembara terdiri daripada media dan pegawai MPKJ.

Menurut Ketua Unit Pelancongan Bahagian Pembangunan Masyarakat MPKJ, Mohd Hadzli Hamid, program sehari ini bertujuan memberi pendedahan mengenai lokasi rekreasi di sekitar Hulu Langat meliputi kawasan Kajang, Semenyih dan Beranang.


KRU Rinching ATV Adventure bekerja keras memastikan keselamatan penunggang.

“Kawasan hutan, denai bukit hinggalah laluan air terjun boleh diteroka dengan ATV. Jadi peminat sukan lasak perlu cuba trek ini kerana ada cabaran tertentu mungkin tidak ada di lokasi lain.

“Selain itu peserta berpeluang merasai cara hidup kampung melalui interaksi dengan masyarakat kampung Kuala Pajam Beranang. Uniknya, kampung yang memenangi anugerah Kampung Tradisional Terbaik Daerah Hulu Langat juga aktif. Jawatankuasa kampungnya terdiri daripada golongan belia yang mengambil inisiatif mewujudkan aktiviti hanyut menggunakan tiub (water-tubing) di Sungai Beranang.


PESERTA berani melepasi halangan air.

“Aktiviti tempatan yang unik ini boleh menarik perhatian ramai untuk merasai pengalaman percutian yang berhampiran lokasi tempat tinggal. Ini juga membantu menaikkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Peserta, Shirley Arina menyifatkan kembara ini menyajikan lokasi menarik sesuai dengan minatnya terhadap aktiviti lasak dan sukan air.

“Bagi saya yang tidak pernah menunggang motosikal, mengendalikan ATV sangat mencabar. Meskipun beroda empat dan butang menggerakkan ada di tangan, kita tetap perlu fokus.


SHIRLEY ceria ‘hanyut’ dalam tiub.

“Tambah pula laluannya tidak rata dan berlubang, jadi ia memerlukan keberanian. Aktiviti ini memang mencabar kekuatan fizikal dan mental. Mujur ada jurulatih mengekori rapat dan memberi pandu arah yang betul membuatkan saya yakin mengendalikan kenderaan itu.

“Sebagai peminat aktiviti air tentu saja saya mudah terpaut dengan ‘water-tubing’. Apabila dilakukan di kampung dan diiringi belia dan penduduk di sini, saya rasa selamat,” katanya.

Dalam kembara itu juga, peserta dijamu durian kampung selain dibawa melawat pusat pengusaha produk Alga Makkah, Ahmad Sanusi Sulaiman. Lawatan santai ke rumah tradisional berusia 100 tahun milik Saamah Othman menjadi penutup kembara lasak berkenaan.


PENULIS dan jurufoto tidak melepaskan peluang mencuba ‘water-tubing’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 2:05 AM