SELAIN makanan laut, pelanggan boleh memilih gearbox kambing.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Asam pedas antara makanan yang menjadi kegemaran ramai dan lazimnya banyak disajikan di restoran selera kampung.

Namun, asam pedas di Restoran Ayu & Syara yang diusahakan dua sahabat, Ayu Azzimah Harun dan Siti Syara Mohd Sudin sedikit berbeza cara sajiannya apabila pelanggan memasak sendiri lauk mereka.

Umpama penyediaan stimbot, kuah asam pedas yang pekat disediakan dalam kuali bersama dapur mini dan pelanggan perlu memilih lauk yang mereka gemari untuk dijadikan hidangan.

Terdapat lebih 20 jenis makanan laut termasuk pelbagai pilihan ikan seperti jenahak, baung, siakap, tuka dan pari ditawarkan.


AYU Azzimah (kanan) dan Siti Syara bersama hidangan asam pedas kuali berasap berkonsepkan stimbot.

Pelanggan juga boleh memilih daging atau tulang ‘gearbox’ kambing.

Ayu Azzimah berkata, dengan cara itu, lauk dimasak bukan saja mesra bersama kuahnya, malah dipastikan segar supaya pelanggan dapat menikmati kemanisan makanan laut selepas dimasak.

“Inilah kelainan yang kami tonjolkan menerusi masakan asam pedas dihidangkan dalam kuali panas-panas supaya menghasilkan aroma yang membuka selera.

“Disebabkan cara sajian yang berbeza ini, asam pedas kami mendapat sambutan menggalakkan terutama penggemar asam pedas sehingga mendapat jolokan asam pedas kuali berasap,” katanya.

Kuah asam pedas yang cukup segala perisa didatangkan dengan nasi putih yang dihidangkan bersama telur masin, sambal belacan, ulam dan petai jeruk.


NASI putih dihidang bersama telur masin, ulam, sambal belacan, sambal ikan bilis dan petai jeruk.

Katanya, setiap hari restoran berkenaan menghasilkan pes asam pedas menggunakan tiga kilogram cili giling dengan resipi tersendiri bagi mendapatkan rasa yang memikat pelanggan.

Selain asam pedas, restoran berkenaan menyajikan lebih 40 menu masakan panas termasuk makanan Barat. Malah, dua sahabat berkenaan turut menawarkan ruang berniaga makanan kepada suri rumah atau ibu tunggal di premis mereka bagi membantu golongan berkenaan menambah pendapatan.


MAKANAN laut seperti ikan dan udang dihidangkan segar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 1:54 AM