SEBAHAGIAN peserta menyertai kayuhan malam.
Mohd Sharumnisham Shahbudin
metahad@hmetro.com.my

Biarpun sekadar kayuhan santai dan tidak menawarkan sebarang hadiah, 400 peminat sukan berbasikal dari Kedah dan Perlis tetap cekal menempuh kepekatan malam menjayakan ‘Night Fun Ride’ bersama Ahli Parlimen Kubang Pasu, baru-baru ini.

Dalam program anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Kubang Pasu itu, peserta berkayuh sejauh 20 kilometer menempuh beberapa laluan yang mencabar di sekitar Kubang Pasu.

Peserta melalui Tasik Darul Aman, Kelubi, Jitra dan menamatkan kayuhan di garisan permulaan di Dataran Darul Aman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan peserta sungguh hebat sehingga terpaksa mengehadkan jumlah penyertaan.

“Biarpun aktiviti kayuhan malam sudah menjadi semakin popular, kami tidak mahu menanggung risiko apabila terlalu ramai peserta dan sukar untuk dikawal pergerakan mereka,

“Ternyata, objektif utama program iaitu mengeratkan hubungan peminat aktiviti berbasikal bersama Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan pimpinan bahagian yang lain tercapai apabila melihat kemesraan yang terjalin sesama mereka,” katanya.

Menurutnya, secara tidak langsung, aktiviti itu dapat membentuk generasi di daerah itu yang mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif sejajar dengan hasrat kerajaan.


PASUKAN Majlis Belia Daerah Kubang Pasu turut serta berkayuh.

“Berdasarkan sambutan pelbagai pihak seperti Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Pasu, Polis Diraja Malaysia, Majlis Daerah Kubang Pasu, Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kubang Pasu, Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Majlis Belia Daerah Kubang Pasu kita merancang untuk menjadikan ia acara tahunan pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita, Faezah Muhamad, 31, berkata, dia bersemangat menamatkan kayuhan walaupun kali pertama menyertai program kayuhan.

“Hasil sokongan rakan daripada pasukan Majlis Daerah Kubang Pasu dan keluarga, saya tekad menamatkan kayuhan walaupun menjadi antara peserta yang terakhir sampai ke garisan penamat.

“Segala penat dan lelah hilang apabila tiba di garisan penamat dan disambut oleh suami (Mohd Azizi Mohd Tajidi, 31),” katanya.

Menariknya, basikal yang digunakannya dipinjam daripada jiran yang dikenali sebagai ‘Abang Mie’ yang turut menyokong usahanya untuk menyertai acara kayuhan itu.

Penyertaan sulung Faezah juga membawa tuah apabila diumumkan antara pemenang cabutan bertuah utama dan membawa pulang sebuah basikal.

Hadiah disampaikan Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Kubang Pasu, Saifulnizam Mahmud, 37, pihaknya menyokong penuh program seperti ini.


HADIAH cabutan bertuah untuk peserta disampaikan Mohd Johari (kiri).

“Belia terutama di daerah ini memerlukan program seperti ini bagi memberi peluang mereka berinteraksi sesama rakan sebaya dan juga pemimpin setempat.

“Secara tidak langsung dapat mengelakkan mereka terjerumus aktiviti tidak berfaedah kerana kebanyakan kes gejala sosial hari ini berlaku kerana golongan muda kurang mendapat perhatian selain kurang penganjuran aktiviti yang sesuai dengan minat mereka,” katanya.

Beliau yang berjaya menamatkan kayuhan bersama 14 ahli MBD, juga berpuas hati dengan laluan yang dipilih oleh penganjur kerana melalui pelbagai bentuk muka bumi seperti berbukit, kawasan perkampungan yang tidak mempunyai lampu jalan dan kawasan bandar yang menjadi tumpuan ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 1:43 AM