KELUARGA menjadi pendorong.
KERJA sukarela memberi ketenangan kepada diri.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Kesibukan melunaskan rutin harian sebagai eksekutif, isteri dan ibu kepada empat cahaya mata, menimbulkan tanda tanya buat wanita berusia 42 tahun ini untuk mencari kaedah menambah nilai kehidupannya kepada masyarakat.

Ingin lari daripada kebiasaan, mendambakan kebebasan dan kepuasan, Noridah Ab Rahman melihat aktiviti sukarelawan antara cara terbaik menyalurkan bakti dan sumbangan kepada masyarakat.

“Sebenarnya sejak kecil saya sudah terdedah dengan kerja sukarela menerusi emak dan abah bersama masyarakat di Felda Jelai 3, Negeri Sembilan. Malah mereka juga sering berkongsi inspirasi melalui nasihat, pantun, gurindam mahupun puisi.

“Justeru, bermula empat tahun lalu, saya mula aktif dengan aktiviti sukarela bersama Kindness Malaysia selain melakukan aktiviti kebajikan atas inisiatif sendiri pada hujung minggu.

“Bagi menyebarkan nilai murni dalam jiwa anak, aktiviti sukarela turut disertai empat anak. Sebagai ibu berkerjaya, pastinya hujung minggu adalah masa berkualiti bersama keluarga.

“Berbanding melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti bermain gajet, saya membawa anak-anak merasai pengalaman berbakti kepada masyarakat dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Saya berharap menerusi pendedahan dan pembabitan ini, mereka dapat memahami kesusahan dan cabaran hidup orang lain.

“Selain itu mereka dapat mempelajari nilai murni dan positif melalui program yang disertai seperti tidak mementingkan diri sendiri, mengambil berat dengan persekitaran, bertolak ansur, kerja berkumpulan, berkongsi idea, menghormati rakan dan orang dewasa serta sentiasa memajukan diri sendiri,” katanya.

Perkara kecil yang meninggalkan impak positif dalam diri anak apabila mereka meringankan mulut melafazkan ucapan terima kasih bagi setiap perbuatan baik.

Lebih membanggakan Noridah, apabila si anak berjaya mengikut rentak ibu dalam kerja kebajikan dan sukarela sehingga seorang daripada anaknya menerima anugerah Tokoh Kebajikan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang.

Tidak sekadar melepaskan tanggungjawab mendidik generasi muda di tangan guru, Noridah mengakui ibu bapa perlu memainkan peranan sama dalam pembentukan sahsiah diri anak.

Dia berkata, permulaannya sukar untuk mendapat pembabitan positif daripada anak dan suami malah perlu dilakukan secara paksaan, namun apabila menyaksikan kesungguhannya, keluarga Noridah turut memberi sokongan jitu hingga kini.

Bagi Noridah, sebagai sukarelawan tidak seharusnya memilih golongan yang ingin disantuni kerana setiap kelompok mempunyai keistimewaan tersendiri dan menawarkan ilmu serta pengalaman hidup yang sangat berharga.

Menyifatkan Projek Pintu Rezeki sebagai aktiviti paling dekat di hatinya, wanita ini berkata ia tidak memerlukan modal besar malah tidak mencecah RM40 untuk menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, susu, tepung, gula dan garam bagi diedarkan kepada penerima.

Menerokai perkampungan Orang Asli, pedalaman Sabah dan Sarawak malah ke Kemboja, Vietnam serta Indonesia, Noridah ingin memberi inspirasi nilai kebaikan kepada masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang, warna kulit dan agama.

Bagi Noridah, kerja sukarela memberi kesan mendalam buat dirinya apabila menyaksikan kegembiraan terpancar di wajah si penerima sekali gus memperoleh ketenangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 1:00 PM