LATIHAN meningkatkan pengetahuan kerja menyelamat dalam air kepada anggota PPDA.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Sebagai satu daripada unit penting dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) perlu sentiasa bersedia, malah terus menjalani latihan bagi memantapkan kemahiran asas untuk melakukan operasi menyelamat mangsa lemas atau kemalangan dalam sungai, tasik mahupun di laut.

Kursus Pengukuhan PPDA JBPM Kedah disertai pasukan PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Alor Setar dan Jitra di Pulau Songsong, Yan, Kedah, baru-baru ini, cukup mencabar.

Ketangkasan dan disiplin anggota PPDA yang diselia tiga jurulatih melakukan aktiviti teknik penyelamatan dalam air, cara menggunakan tali, persediaan ketika menghadapi banjir, operasi menyelamat kenderaan jatuh ke dalam sungai dan mencari mangsa lemas, jelas terserlah.

Pegawai Bahagian Latihan dan Jurulatih, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muin Ayob berkata, latihan itu disertai 16 penyelam dan tiga jurulatih, menggunakan tiga bot yang dikendali jurumudi bot JBPM serta sebuah bot kevlar.

Katanya, kursus itu bertujuan menguji kemahiran dan meningkatkan lagi kesiapsiagaan anggota PPDA untuk melakukan operasi penyelamatan.


ANGGOTA PPDA Kedah diajar semula teknik menyelam di Pulau Songsong, Yan baru-baru ini.

“Walaupun mereka terlatih dalam operasi menyelamat dalam air, melalui kursus ini ia dapat meningkatkan semula kemahiran yang dipelajari sebelum ini selain memantapkan lagi teknik menyelamat yang perlu dilakukan.

“Kursus ini dijalankan empat kali setahun dan sebelum ini diadakan di Langkawi, Tasik Beris di Sik dan Tasik Pedu di Padang Terap.

“Melalui kursus ini kemahiran anggota bomba yang juga pengendali bot turut diuji supaya mereka boleh bertindak dengan cekap apabila diperlukan,” katanya.


ABDUL Muin memberi taklimat kepada anggota PPDA JBPM Kedah yang melakukan latihan operasi menyelamat dalam air untuk mantap kemahiran.

Antara cabaran kursus itu adalah kerja menyelamat di laut berikutan kawasan yang luas dan berombak berbanding di tasik dan sungai.

“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa di laut agak sukar disebabkan ketumpatan air masin yang agak tinggi terutamanya ketika air pasang berbanding operasi di kawasan air tawar.

“Dalam kursus ini juga peserta diajar teknik menyelam, pengenalan kemahiran peralatan dan cara pemasangan, pengendalian ketika operasi, sistem ‘buddy’ serta isyarat dalam air.

“Selain itu mereka juga diajar teknik pencarian iaitu ‘zig zag’, bulatan dan ‘viper’,” katanya.


KELENGKAPAN untuk kerja menyelamat dalam air diperiksa terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Abdul Muin berkata, kursus itu juga sebahagian daripada program waja diri untuk peserta apabila didedahkan dengan teknik ikhtiar hidup dalam air.

“Berdasarkan pengalaman, banyak kes lemas berlaku ketika musim tengkujuh sama ada di laut atau ketika banjir. Ketika itulah anggota PPDA dipanggil untuk mencari dan mengesan mangsa di lokasi kejadian.

“Semua aktiviti dalam latihan ini akan turut dipraktikkan ketika operasi mencari dan menyelamat membabitkan kapal terbang terhempas di laut, bot karam dan sebagainya,” katanya.


LATIHAN meningkatkan pengetahuan kerja menyelamat dalam air kepada anggota PPDA.

Anggota PPDA dari BBP Jitra, Mohd Shukhairan Shuib berkata, dia bertuah apabila terpilih mengikuti kursus itu kerana berasakan pengetahuannya masih kurang untuk memantapkan lagi tugas penyelamatan dilakukan.

Katanya, melalui kursus itu, dia dapat mengulang kaji semula teknik mencari mangsa lemas terutama di dasar dan mengawal diri daripada panik ketika berhadapan kes sebenar.

“Antara teknik yang diajar kepada kami dalam kursus ini adalah cara menyesuaikan diri ketika berada dalam air yang berwarna gelap.

“Walaupun baru setahun bersama PPDA, banyak yang saya pelajari melalui kursus ini sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk menjalankan tugas sebagai anggota penyelamat,” katanya.


MOHD Shukhairan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:58 AM