ANTARA menu pilihan yang menggiurkan selera.
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Sebut sahaja keenakan kari kepala ikan, pasti ramai penggemar terbayang hidangan istimewa dari Pulau Pinang yang popular sebagai negeri syurga makanan.

Di sebalik pelbagai kari kepala ikan dihidangkan restoran nasi kandar, kunjungan ke Pulau Mutiara pasti tidak lengkap jika tidak singgah ke Restoran dan Hotel Pen Mutiara di Batu Maung yang turut terkenal dengan kari kepala ikannya.

Lokasi Restoran dan Hotel Pen Mutiara yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan pusat bandar Georgetown, memudahkan pengunjung datang menikmati hidangan berkenaan.

Hidangan disediakan restoran dimiliki Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) itu ternyata amat berbeza dan memiliki keistimewaan tersendiri jika dibandingkan dengan restoran nasi kandar.

Sudah pasti, resipi air tangan bonda yang diwarisi sejak turun-menurun dan penggunaan rempah ratus tradisi Melayu asli menjadikan keistimewaan kari kepala ikan ditawarkan di restoran berkenaan.


KARI kepala ikan merah.

Pengurus Operasi Restoran dan Hotel Pen Mutiara, Azuddin Abd Rashid berkata, keistimewaan kari kepala ikan itu sememangnya mempunyai rahsia masakan unik kerana ia dimasak terus dari dapur menggunakan periuk tanah liat.

Beliau berkata, tempoh penyediaan pula singkat antara 15 hingga 20 minit bagi setiap hidangan sama ada untuk dimakan seorang atau lebih dan ia dihidangkan panas kepada pelanggan.

“Jika dulu, kami menyediakan kari ikan siakap, merah dan kerapu, tetapi Pen Mutiara menggunakan ikan merah yang segar.

“Setiap hari tidak kurang 250 kilogram ikan merah segar digunakan dan kari kepala ikan akan dimasak mengikut tempahan pelanggan sama ada untuk makan tengah hari, petang atau malam.

“Harga ditawarkan amat berpatutan antara RM50 hingga RM150 setiap kuali mengikut jumlah pelanggan dan keenakan kari kepala ikan di Pen Mutiara menjadi sebutan ramai sejak 2006 lagi,” katanya.

Bagi menambah selera, set kari kepala ikan itu turut dilengkapi lauk lain seperti telur dadar, telur bungkus, telur bistik, ayam goreng limau, ayam goreng kunyit, sotong goreng tepung, sotong masak cabai, sotong paprik, udang goreng kunyit, udang asam kunyit dengan pilihan sayuran sama ada kailan, sayur campur atau cendawan, aneka kerabu serta ulam-ulaman dan sambal belacan.


DUA pengunjung tidak sabar untuk menikmati sajian enak makanan laut.

Kelebihan ketara adalah restoran berkenaan mampu mendapatkan hasil laut segar memandangkan ia dimiliki persatuan nelayan dan terletak di kawasan dermaga Batu Maung.

Azuddin berkata, sebagai tarikan dan memberi lebih pilihan kepada pelanggan, pihaknya menyajikan dua hidangan terbaru iaitu kepala ikan masak lemak cili api dan kepala ikan asam pedas yang mampu membangkitkan selera.

Beliau berkata, selain itu, pengunjung boleh menikmati hidangan di Mutiara Ikan Bakar yang dibuka bagi membolehkan mereka meminati makanan laut segar.

“Kita memperkenalkan hidangan terbaru Shellonggoq yang sebelum ini ramai pengunjung mengenali sebagai Shell Out.

“Hidangan makanan laut ini disajikan dalam talam nyiru bersama nasi putih, ikan bakar nusantara, ketam rempah, kepah lada hitam, sotong masak salsa, kupang masak lemak dan brokoli.

“Pengunjung boleh memilih ikan sama ada mahu menikmati ikan jenahak, siakap, bawal dan merah dengan pilihan masakan sama ada dibakar, stim limau, masam-masam manis dan cili pedas,” katanya.

Restoran dan Hotel Pen Mutiara turut menyediakan perkhidmatan bilik penginapan, mesyuarat atau seminar serta majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan sebagainya.


HIDANGAN terbaru Shellonggoq antara yang menjadi tarikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:44 AM