LETIH tapi menyeronokkan.
BERSELUT kasut dipakai pendaki.
CABARAN ramen di Gunung Angsi.
HM Digital

Gunung Angsi terletak di Negeri Sembilan setinggi 825 meter dari paras laut. Ada dua laluan untuk sampai ke puncak Gunung Angsi iaitu melalui Taman Rekreasi Ulu Bendul serta Bukit Putus.

Trek Bukit Putus (empat kilometer) lebih mudah berbanding Ulu Bendul (tujuh kilometer) dan sesuai untuk pendaki yang baru berjinak-jinak dalam dunia pendakian.

Baru-baru ini seramai 35 peserta berjaya menawan Gunung Angsi melalui laluan Bukit Putus. Ekspedisi anjuran 30ascend itu diketuai Muhamad Amirul Azaha, 22.

Menurut Amirul, meskipun trek pendakian licin, namun dengan tekad yang tinggi peserta berjaya menamatkan pendakian seperti yang dirancang.

“Pendakian bermula jam 8.30 pagi dan tiba di puncak kira-kira jam 12 tengah hari. Sepanjang perjalanan ke puncak laluan licin dan berlumpur kerana hujan menyukarkan pendakian kami.

“Namun sokongan daripada rakan menguatkan semangat kami dan semuanya berjaya menjejakkan kaki di Puncak Gunung Angsi pada jam 11 pagi.

“Kami tidak melepaskan peluang bergambar dan menikmati pemandangan ‘awan karpet’. Kami turut mengadakan ‘cabaran ramen’ yang disertai rakan dan remaja berusia 13 tahun,” katanya.

Selepas tamat, mereka turun ke garis permulaan pada jam 2 petang sebelum diberi taklimat dan membuat kiraan supaya tiada yang tertinggal.

“Perjalanan turun lebih mencabar daripada mendaki. Laluan yang sangat licin dan curam menyukarkan kami tetapi tongkat mendaki yang kami bawa mengukuhkan langkah dan selain turut berpaut pada pokok.

“Ada antara kami yang tergelincir, mujur tiada kejadian serius berlaku. Alhamdulillah, semua peserta berjaya tiba di garisan permulaan pada jam 6.30 petang.

“Walaupun hanya sehari beriadah bersama kawan-kawan tetapi banyak pengalaman dan kenangan manis tercipta. Kepada yang belum pernah cuba aktiviti mendaki, kena cuba walaupun sekali dalam seumur hidup. Anda pasti tidak akan menyesal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:11 AM