ANTARA hidangan di Asam Pedas Premier.
ASAM pedas ikan pari paling mendapat sambutan.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Asam pedas ialah sejenis masakan Melayu yang terkenal di Melaka dan Johor. Sebut saja asam pedas semua orang tahu masakan itu sangat sedap dan popular di dua negeri berkenaan.

Masing-masing punya cara dan bahan tersendiri bagi menghasilkan asam pedas mengikut selera dan identiti setiap negeri yang agak berbeza dari segi rasa dan tekstur.

Lazimnya bahan wajib terdiri daripada ikan iaitu ikan parang, tenggiri, merah dan terubuk, cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup (jika ingin menyedapkan lagi masakan), serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut.

Asam Pedas Premier antara restoran yang menyediakan masakan asam pedas asli Melaka yang sudah bertapak sejak 2010. Pemiliknya pasangan suami isteri Azmi Ismail serta Noor Asylynna Lee berkata Asam Pedas Premier mempunyai lima cawangan iaitu di Bukit Jelutong, Setia City Mall, Bayan Baru, Queensbay Mall Pulau Pinang serta Taman Sri Rampai Kuala Lumpur.

“Meskipun nama kedai kami Asam Pedas Premier, tidak bermakna kami menyediakan masakan asam pedas saja. Di sini kami menyediakan tiga jenis asam pedas iaitu asam pedas ikan pari, kembung dan tenggiri.

“Selain itu kami juga menawarkan masakan Melayu seperti masak lemak daging panggang, nasi lemak, bakso, soto, makanan bergoreng, roti canai dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad baru-baru ini.

Menurut Azmi, keunikan Asam Pedas Premier terletak pada kesegaran bahan yang digunakan seperti cili kering, ikan segar, rempah ratus dan sebagainya.

“Saya dan isteri agak cerewet kerana kami tidak berkompromi dalam soal kebersihan. Kebersihan, kualiti makanan dan perkhidmatan adalah paling utama buat kami.

“Di sini, segala bahan yang digunakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kami juga menggunakan teknologi terkini bagi mengekalkan rasa, keaslian dan kualiti sajian.

“Kami juga sangat menjaga kawalan kualiti bagi mengekalkan rasa di kelima-lima cawangan supaya pelanggan sentiasa berpuas hati,” kata Azmi yang melatih sendiri setiap pekerja terutama yang bertugas di bahagian dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 2:59 AM