ROSNANI menyajikan hidangan tradisional Pahang untuk penggemar di Lembah Klang.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Mempertaruhkan sajian tradisional Pahang, lokasi Restoran Jamantori Patin Tempoyak terletak di pinggir ibu kota tidak menjadi halangan buat penggemar masakan ala kampung untuk makan tengah hari.

Pemilik merangkap jurumasak utama, Rosnani Mohamed Ali, mengakui restorannya menyediakan kira-kira 50 variasi menu tradisional negeri pantai timur itu berasaskan tempoyak dan makanan kampung yang sukar diperoleh.

“Di sini, kami menyediakan pelbagai hidangan unik bagi sajian tengah hari hingga petang. Antaranya, sambal lodeh ikan patin, patin tempoyak, masak lemak siput sedut, masak lemak telur ikan tenggiri, daging dendeng serta gulai lemak tempoyak ulaman.

“Bagi memastikan kesegaran ikan patin, kami mendapat bekalan dari Temerloh dan setiap hari kami menggunakan sekurang-kurangnya 50 kilogram ikan patin.

“Bagi memastikan kelazatan sajian berasaskan tempoyak, kami menggunakan tempoyak masam kerana rasanya lebih enak sekiranya dimasak. Namun rasa tempoyak bergantung pada jenis durian,” katanya.

Merujuk pada hidangan sambal lodeh tempoyak ikan patin, selalunya ia dimasak bersama ikan bilis dan petai tetapi wanita ini melakukan ‘pengubahsuaian’ dengan menggantikan ikan patin sebagai bahan utama.


KEENAKAN bergantung pada rasa tempoyak dan kuah pekat.

Terlebih dulu, ikan patin dipotong dua dan digaul bersama kunyit serta garam, digoreng sehingga garing. Kemudian, diikuti dengan menggoreng campuran bawang besar, bawang putih, cili padi, tempoyak dan hirisan daun kunyit sehingga masak.

Sebaik sambal lodeh masak, ikan patin dimasukkan ke dalam kuali dan digaul sekata bagi menyempurnakan rasa hidangan ini. Istimewanya, hidangan sambal lodeh ikan patin mempunyai rasa yang sangat enak hasil kombinasi rasa pedas dan manis.

Penggemar gulai patin tempoyak pula pasti tertarik untuk mencuba kelainan disediakan Restoran Jamantori Patin Tempoyak. Keenakan dalam setiap hidangan gulai patin tempoyak terletak pada rasa kuah tempoyak yang masam dan pekat sedikit.

Penggunaan herba tempatan seperti kunyit hidup, serai, daun kesum dan bunga kantan melengkapkan cita rasa kampung.


MASAK lemak siput sedut yang unik.

Hidangan masak lemak telur ikan tenggiri antara menu yang mendapat permintaan tinggi pelanggan kerana ia sukar diperoleh di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, gulai lemak tempoyak ulaman kampung antara sajian harus dicuba kerana ia mengandungi campuran pucuk ubi, daun kaduk, daun limau kasturi, daun kunyit dan bunga kantan yang dimasak bersama santan dan tempoyak.

Bagi penggemar hidangan berasaskan daging, daging dendeng menjadi pilihan. Memiliki tekstur lembut dan berasa manis, daging ini direbus selama 30 minit sehingga empuk, kemudian diperap bersama kicap pekat dan herba tempatan selama 30 minit lagi sebelum dimasak bersama sambal.

Beroperasi setiap hari seawal jam 7 pagi hingga 6 petang, restoran yang terletak di Puncak Alam, Selangor itu mampu memuatkan 50 pelanggan dalam satu-satu masa.


DAGING dendeng direbus dan diperap selama satu jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:48 AM