CABARAN buat peserta apabila terpaksa berdepan selekoh tajam, mendaki dan menuruni bukit.
Ainal Marhaton Abd Ghani
metahad@hmetro.com.my

Seramai 300 peserta menyertai kayuhan santai Monton Fellowship Ride 2017 bertujuan menyerlahkan keunikan daerah Maran, Pahang dan kawasan sekitarnya kepada masyarakat luar, baru-baru ini.

Antaranya laluan pesisir Sungai Pahang melalui Kampung Lubuk Paku - Kampung Serengkam, kawasan perkelahan Che Minah Sayang atau Lubuk Ujid, Air Terjun Teladas, kawasan Felda dan perkampungan Orang Asli.

Edisi kedua aktiviti anjuran Monton Malaysia ini membabitkan jarak laluan sejauh 100 kilometer yang bermula dan berakhir di Dataran Sejahtera atau lebih dikenali dengan nama Taman Tasik Maran.

Wakil penganjur, Wong Jia Her, 36, berkata, laluan edisi kali ini lebih mencabar berbanding tahun lalu apabila peserta perlu berdepan dengan banyak selekoh, kawasan berbukit dan laluan sempit di kawasan kampung.

“Kebanyakan peserta dari luar teruja kerana berpeluang melihat pemandangan hutan yang masih kekal menghijau selain ‘menjengah’ pesisir Sungai Pahang dan melewati kawasan perkelahan yang secara tidak langsung memperkenalkan lokasi pelancongan daerah Maran.

“Kayuhan ini bersifat santai malah kami juga tidak menyediakan hadiah kepada peserta yang tiba awal di garisan penamat kecuali medal penyertaan dan cabutan bertuah,” katanya ditemui selepas tamat acara berkenaan.


PESERTA bergambar kenangan di Taman Tasik Maran sebelum acara bermula.

Pelepasan pada jam 8 pagi dilakukan Yang Dipertua Majlis Daerah Maran Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha membabitkan peserta remaja hingga berusia berasal dari Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Bermula di Dataran Tasik Maran, peserta menuju Kampung Kuala Sentul, Kampung Jara, Felda Jengka 2 dan berhenti selama 15 minit di Felda Jengka 3 sebelum meneruskan kayuhan di laluan utama ke Felda Jengka 4 dan 5 sebelum ke pekan Tajau.

Kayuhan makin mencabar apabila peserta memasuki kawasan kampung dengan jalan sempit dan berliku bermula di Kampung Sentosa menuju ke Kampung Senggora, Kampung Lubuk Paku, Kampung Serengkam, Kampung Bak-bak dan Kampung Meragis sebelum tiba di garisan penamat.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Teknologi, Universiti Malaysia Pahang, Doktor Mohd Fakhrurrazi Ishak, 42, berkata aktiviti berbasikal sangat baik kerana mencerminkan amalan gaya hidup sihat dan membina kekuatan fizikal individu.

“Acara kali ini memang menguji ketahanan jasmani dan mental kerana walaupun sepanjang masa di jalan raya bertar tetapi perlu berdepan banyak selekoh tajam, mendaki dan menuruni bukit dan ia adalah sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.

Peserta dari Pulau Pinang, Tan Hwei Nyor, 45, nyata teruja dapat menamatkan kayuhan walaupun tayar basikalnya bocor kira-kira tujuh kilometer dari garisan penamat.

“Tak kesahlah tayar bocor, saya gembira dapat tamatkan kayuhan walaupun menjadi antara peserta terakhir tiba di garisan penamat.

“Ini kali pertama saya ke Pahang dan ternyata negeri ini kaya dengan kawasan hutan yang menghijau membuatkan saya teruja terutama ketika melewati laluan ke pusat rekreasi Lubuk Ujid dan melihat sebuah kediaman cantik seperti di Disneyland ketika melalui kawasan kampung,” katanya yang menamatkan kayuhan dalam masa tiga jam 15 minit.


KAYUHAN bermula.

Bagi Samilah Mohd Zain, 36, berbasikal menjadi sebahagian daripada aktiviti hariannya dan akan lebih kerap menjalani latihan menjelang acara berlangsung.

“Dalam seminggu, tidak kurang lima hari dikhususkan untuk berkayuh. Saya obses dengan kayuhan dan sehingga kini jarak paling jauh ialah 180 kilometer,” katanya yang kali pertama menyertai aktiviti berbasikal di daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 7:42 AM