KEKUATAN mental, fizikal dan teknik pendakian betul diperlukan setiap peserta.
AHLI Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pemenang sambil diperhatikan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya (empat dari kanan).
Ainal Marhaton Abd Ghani
metahad@hmetro.com.my


Beraksi bagaikan watak adiwira ‘Spiderman’, sekumpulan anak muda kelihatan bergayut pada tali di laluan untuk memanjat dinding bukit batu dan mencapai ‘titik’ pada aras ditetapkan sebelum turun dan memanjat laluan lain.

Bukan mudah untuk melakukannya kerana ia perlu menggunakan kekuatan kaki dan cengkaman jari menjadikan aksi berpaut di celahan tubir batu kapur yang dipamerkan sungguh mengagumkan.

Lokasi panjat bukit batu (bukit batu kapur) di Paya Gunung pada ketinggian 140 meter atas paras laut dengan kecuraman 90 darjah itu tidak dinafikan mampu membuatkan pendaki yang kali pertama mencubanya kecut perut.

Berbekalkan keberanian, kemampuan dan keupayaan diri, seramai 40 peserta yang menyertai Jerantut Rock Climbing Challenge 2017 anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang (Motac Pahang) dengan kerjasama Persatuan Pendaki Jerantut yang berlangsung di Kampung Paya Gunung, Jerantut, Pahang baru-baru ini berjaya menamatkan cabaran.

Penolong Konsultan Program, Zuhairan Mohd Daud berkata, seramai 32 belia kampung berkenaan terpilih membantu melancarkan perjalanan pertandingan yang turut disertai mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Management and Science University (MSU) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Katanya, sebanyak 27 laluan dengan pelbagai gred mengikut kesesuaian batu disediakan antaranya gred 4C sehingga 7B selain gred 7C hingga 9 yang hanya boleh dilepasi menerusi teknik dan kepakaran tinggi.

Menurutnya, setiap peserta perlu mempersiapkan diri dengan memakai peralatan wajib seperti topi keselamatan, tali dinamik, ‘harness’, beg kapur (kapur magnesium) dan kasut sesuai bagi mengharungi cabaran pertandingan.

Zuhairan yang juga ketua belia Kampung Paya Gunung berkata, tempoh empat jam diberi kepada peserta untuk menguji kemampuan dan kehandalan masing-masing memilih tahap kesukaran mendaki bukit batu berkenaan.

“Peserta perlu menghabiskan 10 laluan dan markah diberi berdasarkan kutipan mata bermula 100 hingga 1,000 mata yang ditetapkan pada setiap laluan di mana jumlah mata menjadi semakin tinggi mengikut tahap kesukaran,” katanya ditemui pada program berkenaan.

Katanya, setiap laluan memiliki ketinggian berbeza antara 15 hingga 24 meter dengan tahap paling sukar ialah gred 6C.

“Selain cengkaman jari, kekuatan kaki ketika memijak tetubir batu, kekuatan mental, teknik disusuli pendakian betul diperlukan peserta untuk melengkapkan cabaran, selain strategi dan komunikasi tepat antara pemanjat serta pemegang tali.

“Tahap kesukaran dan ketinggian yang berbeza membolehkan peserta membuat perhitungan laluan mana perlu ‘ditawan’ untuk kutipan mata tertinggi,” katanya.

Zuhairan berkata, empat kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita terbuka serta lelaki dan wanita tertutup (Pahang sahaja) selain peserta dibantu belia tempatan yang bertugas sebagai pemegang tali untuk pemanjat.

Juara kategori lelaki terbuka menerima RM1,500, naib juara RM1,000 dan ketiga RM800 manakala juara wanita terbuka menerima RM1,000, kedua (RM800) dan ketiga (RM600).

Bagi kategori lelaki dan wanita tertutup pula masing-masing menerima RM400 bagi juara, kedua (RM300) dan ketiga (RM300).

Sementara itu, juara kategori lelaki terbuka, Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli, 23, berkata dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu tujuh tahun lalu dan sudah melakukan lebih 30 pendakian.

“Ini kali pertama saya menyertai cabaran di sini dan tidak dinafikan bukit batu Paya Gunung sesuai untuk semua tahap pemanjat daripada yang baru nak berjinak-jinak hingga tahap profesional,” kata pelajar jurusan Pengurusan Leisure Outdoor and Recreation MSU di Shah Alam, Selangor itu.

Menurutnya, aktiviti panjat batu memerlukan tahap disiplin yang sangat tinggi, menguji sejauh mana kekuatan, ketahanan mental dan fizikal selain mencabar kemampuan diri untuk menjadi pemanjat terbaik.

“Sepanjang bergiat dalam sukan ini, saya pernah cedera di bahu, jari tangan, pergelangan tangan, lengan, jari kaki, lutut, hamstring dan pinggang tetapi tidak melemahkan semangat untuk terus memanjat.

“Saya juga pernah menyertai pertandingan di Singapura, Indonesia, Thailand dan China,” katanya yang berjaya menduduki tempat ketiga pertandingan Boulder Pumpfest 2017 di Singapura.

Siti Nursarah Salehhodin, 29, yang menjuarai kategori wanita terbuka tidak menyangka penyertaannya di pertandingan itu membolehkannya membawa pulang RM1,000.

“Wang ini saya akan gunakan untuk membeli peralatan memanjat yang lebih lengkap bagi memudahkan saya menjalani latihan seterusnya,” katanya yang kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana Pendidikan (Sains Sukan) di UPM.

Menurutnya, memanjat bukit batu memerlukan kekuatan seluruh anggota badan terutama kaki dan tangan selain minda untuk mengawal diri.

“Sebenarnya, saya lebih cenderung memanjat dinding batu berbanding bukit tetapi pengalaman terbabit dalam aktiviti ini sejak tiga tahun lalu membantu saya melakukan yang terbaik,” katanya yang kerap menjalani latihan di Damai, Batu Caves, Selangor dan Keteri, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:28 AM