ANTARA aksi spontan peserta sempat dirakam lensa.
BACAAN doa sebelum memulakan perlumbaan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Dua kawasan bukit memuncak sehingga lebih 500 meter tinggi semestinya menagih kudrat bukan sedikit buat peserta cabaran King Of Mountain Peras (KOM Peras 2017) ketika siri kedua perlumbaan berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lui Hulu Langat baru-baru ini.

Meskipun laluan buat 600 peserta perlumbaan kedua ini tidak jauh bezanya dengan cabaran siri pertama, mereka tidak boleh memandang rendah trek kali ini kerana jaraknya jauh lebih panjang sebelum tiba di garis penamatnya di puncak Genting Peras, Negeri Sembilan.

Silap percaturan dalam strategi, semestinya peserta berdepan tahap sukar di 10 kilometer (km) terakhir iaitu laluan mendaki menuju puncak Genting Peras.

Meskipun lokasi berkenaan popular dalam kalangan pelumba basikal jalan raya tempatan, setiap stesen mendaki termasuk Bukit Hantu antara cabaran dan halangan yang perlu dihadapi peserta KOM Peras sebelum layak bergelar jagoan perlumbaan itu.

Menurut Pengarah Program KOM Peras 2017 Mohd Shari Mohd Noor, bentuk muka bumi iaitu bermula dari laluan SK Sungai Lui hingga ke puncak Gunung Peras tidak pernah membuatkan peminat sukan berbasikal bosan.

Mana tidaknya selain bersaing dengan rakan pelumba lain, trek KOM Peras menawarkan laluan berbukit dan mendatar silih berganti, pelumba turut ditemani pemandangan hijau sepanjang kayuhan.

Malah kata Shari, lokasi itu tidak saja menarik pelumba kelab tempatan tetapi juga peserta antarabangsa seperti Singapura, Thailand, Brunei mahupun Eropah sebagai pusat sukan basikal lasak.

“Kalau aktiviti berbasikal di jalan raya, laluan seperti ini amat didambakan pelumba basikal lasak bukan saja Malaysia malah antarabangsa. Jadi sebagai komuniti basikal tempatan tentu kami menyokong aktiviti berbasikal menerusi penganjuran acara ini.

“Kami mahu kawasan ini popular untuk kejohanan perlumbaan bertaraf antarabangsa seperti lokasi lain iaitu Genting Highlands dan Bukit Fraser untuk acara basikal jalan raya mahupun lasak.

“Ditambah pula dengan sokongan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama Tourism Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dusun Tua Cycling Team, Twitter Bike dan CM Bike Centre membantu menjayakan penganjuran acara KOM Peras lebih besar untuk 2018,” katanya.

Bagi Peserta Kategori Wanita Terbuka yang mewakili pasukan Twitter Bike Malaysia, Nur Aisyah Mohamad Zubir, dia gembira dapat mengekalkan rentak kayuhan sehingga ke puncak memberi kelebihan untuk mengungguli kategori berkenaan.

“Saya juga berlatih di sini dengan rakan sekelab kerana laluannya sangat mencabar terutama sekali laluan Bukit Hantu yang memerlukan kami mengayuh sepanjang pendakian sehingga lima kilometer.

“Berbeza laluan bukit lain seperti Genting Peras lapan kilometer, ada laluan landai membolehkan peserta menarik nafas untuk berehat sebelum menguatkan kayuhan mendaki. Strategi saya seperti pelumba lain, kami akan cuba menjarakkan diri daripada peloton utama membolehkan kami membuat henjutan ketika mendekati puncak gunung,” katanya.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM5,000 untuk 10 pemenang pertama setiap kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:24 AM