Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Percubaan kali pertama Kelab LITRAK dan SPRINT iaitu pengendali lebuh raya di Lembah Klang mendaki Gunung Datuk di Rembau, Negeri Sembilan, membuahkan hasil apabila seramai 45 peserta terdiri warga kerjanya berjaya menawan puncak gunung setinggi 855 meter itu, baru-baru ini.

Malah, mereka berjaya mencatat tempoh pendakian lebih awal daripada jangkaan dan misi tercapai hasil disiplin tinggi serta kerjasama yang kuat dalam satu pasukan.

Setiausaha kelab Fauziah Hayat berkata, perjalanan mereka ke puncak bermula jam 6.30 pagi dari Solok Sengkuang Cabin D’Village yang terletak kira-kira satu kilometer dari kaki gunung berkenaan.

Sebelum memulakan perjalanan dengan bantuan lima penunjuk arah, mereka terlebih dulu mendaftar dan membayar permit kebenaran mendaki RM5 setiap seorang di pondok Jabatan Perhutanan.

Pendakian ke puncak dilakukan pada awal pagi supaya peserta sempat sampai ke puncak sebelum matahari terbit dan turun ke kaki gunung pada tengah hari. Ini kerana, peserta dijangka pulang dan tiba di ibu pejabat di Subang Jaya jam 5 petang berikutan sebahagian peserta perlu masuk kerja keesokan hari dan memerlukan rehat secukupnya.


FAUZIAH akhirnya berjaya menamatkan pendakian dan berada di puncak selepas hampir putus asa.

“Gunung Datuk menjadi lokasi pertama bagi ahli kelab yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan lasak mendaki gunung. Semangat, stamina dan kerjasama yang ditunjukkan peserta amat memuaskan, walaupun kebanyakannya pertama kali menyertai pendakian seumpama ini.

“Peserta yang menyertai program ini menjalani dua kali sesi latihan jasmani dikendalikan panel pendaki terdiri enam warga kerja yang sudah lama terbabit dalam aktiviti mendaki gunung.

“Latihan turut merangkumi persediaan awal dari segi teori dan amali seperti asas bantu kecemasan, seni asas ikhtiar hidup, asas bacaan peta dan kompas, asas ikatan, keselamatan dan bagaimana bekerja secara berpasukan,” katanya.


SEBAHAGIAN peserta melepaskan lelah dan menikmati makanan ringan sambil menyaksikan panorama alam.

Fauziah berkata, pendakian itu turut bertujuan mendidik warga kerja mengamalkan gaya hidup sihat dan ia diadakan di luar daerah selaras konsep persatuan ke arah menjana belia berfikiran luas, matang dan berpengetahuan.

“Laluan berbatu menguji kekuatan mental dan fizikal peserta untuk tiba ke puncak dalam jangka masa ditetapkan. Bagaimanapun, kemudahan disediakan banyak membantu kami mendaki laluan curam dan berehat seketika kerana majoriti peserta masih baru dalam aktiviti ini.

“Selepas hampir tiga jam mendaki, kepuasan terpapar pada wajah semua peserta apabila tiba di puncak Gunung Datuk. Walaupun kepenatan, suasana alam hutan dara yang mendamaikan di sepanjang perjalanan membuatkan kami terpesona dengan kebesaran Ilahi.


PESERTA menikmati pemandangan indah kawasan gunung sebagai ganjaran penat mendaki.

“Secara tidak langsung, peserta dapat mempelajari pentingnya alam semula jadi dalam kehidupan manusia dan diharap mereka menghargai khazanah alam yang tinggal serta mempunyai kesedaran untuk tidak membuat pencemaran,” katanya.

Menurut Fauziah, ada peserta yang keletihan dan terpaksa berhenti beberapa kali kerana faktor usia. Malah, ada juga yang tidak larat hingga beg galas mereka terpaksa dipikul peserta muda.

“Saya sendiri hampir putus asa untuk meneruskan pendakian kerana terlalu penat. Namun, dorongan dan motivasi daripada peserta lain berjaya memujuk saya untuk menamatkan pendakian hingga ke puncak.

“Kami juga perlu mendaki berhati-hati untuk ke puncak kerana laluannya adalah batu keras yang boleh mendatangkan kecederaan jika tersilap langkah. Namun, kerjasama berkumpulan memberi peluang kepada semua peserta merakam kenangan terindah di puncak.


KENANGAN di puncak Gunung Datuk pasti tidak dilupa ahli kelab.

“Tidak tergambar rasa syukur kami apabila menyaksikan sendiri pemandangan indah perkampungan di sekitar Rembau dari atas. Selepas sejam berehat dan merakam kenangan, kami kemudian meneruskan perjalanan pulang dengan rasa puas serta gembira,” katanya.

Katanya, semua peserta termasuk pihak pengurusan bersyukur misi ke puncak Gunung Datuk dipermudahkan walaupun ia kali pertama aktiviti seumpamanya dilaksanakan dalam kalendar kelab selepas mengkaji dengan penuh teliti dari segi keselamatan dan segala persiapan yang diatur untuk memastikan semuanya lancar.

“Kami gembira kerana kelemahan pada diri peserta dapat dileraikan dengan bergabung sebagai satu pasukan yang hebat sehingga menjadi contoh kepada semua pendaki daripada kumpulan lain pada hari terbabit,” katanya.


AHLI Kelab LITRAK dan SPRINT merakam kenangan sebaik tiba di puncak gunung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:36 AM