PERLU mengelak pita penanda.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Meskipun laluan serta cabaran perlu ditempuhi peserta TXV Negaraku 4x4 Challenge di Kem Alang Btangsi Semenyih baru-baru ini tidak sampai tiga kilometer, tempoh masa 15 minit diberikan masih tidak mencukupi. Maklumlah laluan ditempuh peserta bukan saja sempit malah mereka terpaksa melangkau pokok tumbang sebesar pemeluk lelaki dewasa.

Dalam cabaran ini terdapat dua kategori dipertandingkan membabitkan lebih 50 pacuan empat roda yang mengambil bahagian. Pemenang ditentukan menerusi mata terkumpul terbanyak dalam empat trek.

Menurut Pengerusi Trekker X Venture Mohd Nizam Abdullah, ini kejohanan pertama anjuran kelabnya bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.

“Penganjuran kejohanan ini bukan saja bertujuan menguji kemampuan pengendali kenderaan lasak malah untuk menyemarakkan semangat kesatuan dalam kalangan ahli kelab menerusi persaingan sihat.

“Malah kebetulan pula pertandingan ini berlangsung dalam September semestinya satu penghormatan dapat menganjurkan acara bersesuaian dengan Sambutan Hari Malaysia diraikan setiap 16 September,” katanya.

Tambah Nizam, pihaknya menerima sokongan tidak berbelah-bagi daripada pelbagai kelab serata Malaysia selain penajaan daripada pihak swasta seperti Grantt dan DRS Business Sdn Bhd.


AKSI peserta di laluan sungai.

Pengerusi DRS Business Sdn Bhd Mohd Isa Mohd Yassin berkata, AENO Malaysia bergerak sebagai rakan penaja strategik dalam program berbentuk rekreasi itu, dia yang juga ahli kelab Trekker X Venture melihat acara ini penting seperti acara rekreasi lain pernah ditaja syarikatnya.

“Bergerak dalam kelab pacuan empat roda, satu inisiatif baik apabila mempunyai kenalan berkongsi hobi serta minat sama. Mungkin ramai beranggapan sukan ini tidaklah berimpak tinggi seperti sukan rekreasi lain, sebenarnya tanggapan mereka kurang tepat.

“Saya sendiri terbabit dengan kelab ini sering mengikuti program mereka. Memandu ‘off road’ menguji kecekapan selain mengingatkan kami mengenai gaya hidup lebih santai. Kebetulan syarikat saya mengenai produk minuman alkali oksigen menekankan gaya hidup sihat, saya lihat penajaan program seperti TXV Negaraku 4x4 Chalenge sesuai dengan imej produk kami. Harapan saya lebih ramai memilih gaya hidup aktif dan sihat,” katanya.

Buat peserta dari kelab Raja Gonggok, Muzaimi Mustapa mengakui trek benar-benar menguji kemahiran dan kecekapan pemanduannya.

“Jalan ‘off road’ sudah biasa tetapi cabaran kali ini luar biasa. Bukan saja jalan curam, kami perlu melalui jalan sempit tanpa menyentuh pita mahupun tiang kayu digunakan untuk menanda jalan.

“Tempoh pula diberi ialah 15 minit dan itu memberi debaran kepada peserta. Biarpun trek pendek namun saya tidak boleh ambil mudah kerana laluan sangat mencabar.

“Lebih sukar ketika mendaki membabitkan laluan sempit antara pokok besar selain jalan dihalang dengan pohon tumbang. Ia membabitkan tenaga serta teknikal kerana kami perlu melepasi cabaran tanpa menjejaskan trek.

“Keseluruhan saya berpuas hati dengan trek disediakan penganjur selain berharap dapat memperbaiki skil pemanduan untuk menyertai kejohanan lebih besar tahun depan,” katanya.

Tambah anak jati Taiping, Perak itu, dia terpaksa tidur dibengkel bagi menyiapkan kenderaan bagi menghadapi kejohanan itu.

“Meskipun ia bukanlah kejohanan terbesar membabitkan pacuan empat roda, saya teruja menyertainya kerana minat selain dapat bertemu dengan rakan lebih otai dalam pengendalian kereta.

“Penting untuk saya yang baru tiga tahun terbabit dalam cabaran empat roda terus mencari peluang serta pengalaman sebelum bergelar jagoan dalam pacuan empat roda,” katanya.

Penutup saingan pusingan pertama SS1, pemandu dari Kelab Trekker X Venture Ahmad Arsidi Abdullah menamatkan cabaran itu penuh bergaya menerusi masa terpantas iaitu empat minit.


SEDIA mendaki.

Kata Arsidi lokasi itu sering kali menjadi kawasan ‘permainan’ dia serta ahli kelab pacuan empat roda sekitar Selangor.

“Cabaran kali ini lebih mudah bagi kerana saya sudah biasa dengan bentuk muka bumi serta keadaan jalan ‘off road’ di sini. Jadi kelebihan itu pada saya serta rakan dari kelab sama.

“Biarpun laluan agak sempit tetapi bagi tahap kesukarannya masih sederhana. Amat penting buat pemandu serta pembantu saling berkomunikasi bagi kelancaran perjalanan. Pemandu awal mahupun lewat setiapnya ada pro dan kontra. Paling utama tidak hilang fokus.

“Malah saya dan pembantu pemandu sentiasa berbincang selain dapatkan ‘feed back’ pemandu sebelumnya. Jadi saya berbincang dengan ‘co pilot’ mengenai jalan perlu diambil selain berusaha mengelak penalti.

“Antaranya saya perlu mengikut trek dan tidak melanggar tiang serta memutuskan pita penanda di trek kerana ia dilihat satu kesilapan menukar laluan trek yang akan mengakibatkan pengurangan mata kepada pemandu,” katanya bersyukur berjaya menamatkan cabaran tanpa dikenakan sebarang penalti.

Arsidi dibantu saudaranya Ahmad Zahili Zikri sepanjang empat trek, SS1 hingga SS4 dalam misi megumpul mata untuk mencatat kedudukan terbaik dalam cabaran terbabit.

Sementara itu, Pengurus Besar UMW GRANTT International Sdn Bhd, Amri Hasim berkata, pembabitan GRANTT selaku sumbangan galakan kepada peserta mengambil bahagian ialah satu komitmen sosial terhadap kumpulan sasaran itu.

“Ini komitmen kami menjalin persahabatan dengan komuniti pacuan empat roda. Program panggil Sahabat 4x4 dilihat secara tidak langsung menyumbang kebaikan bersama.

“Bagi GRANTT manfaat kami dapat akses langsung kepada klien yang mana menyumbang kepada kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk. Manakala Sahabat 4x4 pula dapat info baik mengenai produk berkualiti sesuai untuk meningkatkan prestasi enjin mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:43 AM