PROUD yakin dengan potensi perenang muda Malaysia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Terpilih menyertai klinik latihan renang eksklusif bersama Ben Proud, juara renang 50 meter gaya kupu-kupu Kejohanan Akuatik Dunia baru-baru ini, menjadi peluang keemasan buat lapan anak Malaysia berkongsi inspirasi.

Pemuda berusia 23 tahun itu menyifatkan kerjasama dengan AirAsia bagi menganjurkan klinik AirAsia Ben Proud’s Pool Talent bagai usaha ‘membalas’ semula jasa Malaysia kepada anak tempatan.


SESI teori di kelas.

“Lapan remaja ini terpilih menerusi tiga program saringan yang berlangsung pada Februari, Mac dan Julai lalu, di tiga lokasi berbeza iaitu Putrajaya, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

“Pemilihan ini berdasarkan keupayaan dan keyakinan mereka. Jika kita dapat memilih lebih ramai, itu adalah lebih baik.

“Namun, saya yakin perkongsian dalam kumpulan berskala kecil lebih memudahkan dan pendekatan juga terbuka untuk saling bertukar pendapat mahupun pertanyaan.

“Saya terpanggil untuk berkongsi dan membantu anak muda yang memiliki semangat dan jiwa besar terhadap sukan ini.

“Meskipun sibuk dengan persiapan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, saya berasakan peluang mengajar perenang muda berpotensi ini membolehkan saya belajar dalam masa yang sama,” katanya ketika ditemui di Thanyapura Sports Hotel, Phuket, Thailand baru-baru ini.

Mengulas potensi perenang tempatan dari segi jasmani, Proud menegaskan kejayaan seseorang perenang bukan diukur daripada anggota tubuh mahupun ketinggian.


KLINIK intensif yang menyeronokkan.

Baginya, usaha dan semangat mengikuti latihan serta memperbaiki kemahiran mampu memacu kejayaan tersendiri dalam sukan renang.

Mencungkil bakat renangnya bermula di Malaysia, Proud mengakui ada banyak kolam renang di seluruh Malaysia malah dilengkapi fasiliti yang baik beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebelum ini, mungkin Malaysia tidak menyedari potensi besar yang wujud dalam sukan renang. Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, saya sedar banyak perkembangan positif dilaksanakan bagi memantapkan prestasi sukan ini.

“Saya berharap pihak tertentu dapat memberikan peluang kepada perenang muda tempatan mencipta nama dalam sukan renang ini.

“Ini kerana saya juga membesar di Malaysia malah pembabitan dalam sukan renang juga bermula di sini, sebelum saya ke United Kingdom pada 2011.

“Ingin meninggalkan legasi tersendiri, saya menasihatkan anak muda sentiasa berpegang teguh pada cita-cita mereka biarpun wujud pelbagai halangan. Ini kerana kejayaan digapai apabila kita fokus dan terus mencuba,” katanya.


PROUD menerangkan teknik bersama peserta.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Kota Kinabalu, Shairul Aiman Jefry, peluang mengikuti bengkel renang bersama Proud seolah-olah mimpi kerana mengetahui sukar untuk bertemu dengan perenang Britain berkenaan.

Terpilih dalam sesi ketiga bertempat di Pusat Sukan Likas, pada Julai lalu, remaja berusia 13 tahun ini mengakui menerusi bengkel AirAsia Ben Proud’s Pool Talent, dia mempelajari pelbagai teknik terbaru sukan renang.

“Saya tidak sangka terpilih bagi bengkel latihan ini. Belajar secara langsung daripada atlet profesional memberi pengetahuan dan ilmu baru buat saya sekali gus dapat memperbaiki skil peribadi.

“Belajar teori di kelas dan amali di kolam renang, ia memang teknik terbaik untuk saya mengenal pasti kelemahan dan kesilapan ketika berenang.

“Selain fokus terhadap latihan, saya juga seronok apabila dikelilingi tujuh lagi teman hampir sebaya yang berkongsi minat dalam sukan renang,” katanya.


LATIHAN renang di kolam.

Berkongsi impian besar anak sulung daripada empat beradik ini, Shairul Aiman berhasrat mencipta nama setanding Proud dan meraih pingat emas Olimpik pada usia 19 tahun.

Lau Ting Quan yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Damai di Pulau Pinang, pula ingin memanfaatkan sepenuhnya peluang seumur hidup bertemu Proud dengan mendapatkan tip dalam sukan renang.

Biarpun klinik hanya berlangsung selama dua hari, remaja berusia 14 tahun ini berkata, perkongsian teknik dan mengenal pasti gaya renang bersesuaian memberi kelebihan untuk menjadi perenang yang lebih baik pada masa depan.

Yakin dengan prinsip, kerja keras untuk berjaya, Lau optimis dengan peluang serta laluan tepat untuk mencipta nama dalam sukan air ini.


PERENANG muda yang dipilih mengikuti klinik Ben Proud’s Pool Talent.

Klinik AirAsia Ben Proud’s Talent Pool adalah kerjasama antara Air Asia dan perenang Britain, Ben Proud sempena kempen #DareToDream selama empat tahun berturut-turut bermula tahun ini.

Klinik intensif berlangsung pada 8 hingga 9 September lalu bertujuan membentuk generasi perenang muda tempatan yang berkebolehan berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama atlet profesional sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk berjaya pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:31 AM