SERAMAI 300 peserta kayuhan patriotik dan amal mula menyusur keluar dari pekarangan sekolah SMKG Gerik.
D J Dolasoh
metahad@hmetro.com.my


Kecintaan terhadap tanah air dan menyayangi golongan kurang bernasib baik menjadi mesej utama yang ingin diterapkan ke dalam jiwa generasi muda khususnya pelajar sekolah kerana mereka bakal menentukan senario masa depan negara dan masyarakat.

Justeru, pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik di Gerik, Perak menganjurkan program Kayuhan Basikal Sambil Beramal (KBSB) pada acara Merdeka Fun Ride 2017 sempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, baru-baru ini.

Acara mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Gerik, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Gerik dan Majlis Daerah Gerik (MDG) disertai 300 pelajar sekolah dan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di Gerik.

Kayuhan KBSB julung kali diadakan turut menyerahkan bantuan kotak makanan kepada 10 orang miskin yang tinggal di beberapa kampung apabila mereka berkayuh sehingga ke rumah penduduk terbabit.

Turut serta mengayuh basikal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa.


SALBIAH (tengah) dan Rosli (lima dari kanan) bersama 300 peserta program Kayuhan Basikal Sambil Beramal pada acara Merdeka Fun Ride 2017 Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Gerik, baru-baru ini.

Kayuhan bermula dari SMK Gerik sejauh 25 kilometer (km) melalui beberapa kampung, taman perumahan dan laluan pekan Gerik sebelum balik semula ke sekolah berkenaan.

Dalam program sama, seorang pelatih lumba basikal Majlis Sukan Negeri Perak (MSNP) yang juga bekas pelajar SMK Gerik, Muhammad Yusri Shaari diperkenalkan sebagai Ikon Berbasikal sekolah itu sekali gus menjadi kebanggaan sekolah dan daerah Gerik.

Pengetua SMK Gerik, Rosli Hashim berkata, acara berbasikal itu akan dijadikan acara tahunan berikutan ia mendapat sambutan menggalakkan, di samping menjayakan hasrat Kementerian Pendidikan yang inginkan pembabitan komuniti dalam program sekolah.

“Merdeka Fun Ride 2017 bukan sekadar kayuhan basikal biasa tetapi kayuhan amal apabila peserta diketuai ADUN Temengor menyumbangkan kotak makanan kepada golongan miskin.

“Lebih penting, ia berjaya menerapkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sekolah apabila mereka melaungkan merdeka dan nyanyian lagu patriotik semasa berkayuh,” katanya.


SALBIAH dan Rosli melihat pameran berunsur patriotik hasil pelajar SMKG, Gerik sebelum acara kayuhan bermula.

Menurutnya, pihak sekolah akan mengadakan acara kayuhan yang berbentuk patriotik dan semangat perpaduan tidak mengira musim dan masa sebagai satu usaha meniupkan semangat berkenaan kepada generasi muda pada sepanjang masa.

Katanya, penyertaan wakil rakyat dan ketua polis pada kayuhan itu memberi impak besar apabila generasi muda dapat menilai bahawa pemimpin setempat serta pasukan keselamatan amat diperlukan dan sentiasa cakna terhadap masyarakat.

“Daripada pemerhatian dan maklum balas yang diterima, saya dapati program ini berjaya sepenuhnya apabila bukan saja ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, tetapi juga masyarakat setempat apabila turut memberi sokongan moral terutama semasa peserta membuat kayuhan,” katanya.


SALBIAH (dua dari kiri) menyampaikan kotak makanan sumbangan YBUDR kepada seorang wanita yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Salbiah berkata, penganjuran kayuhan itu adalah ‘serampang dua mata’ kerana ia tidak hanya memberi manfaat kepada golongan muda daripada segi suntikan semangat patriotik semata-mata tetapi juga menanam sikap supaya mengasihi orang lain.

“Saya menyerahkan kotak makanan sumbangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) kepada sepuluh penerima kepada golongan kurang bernasib baik dengan disaksikan pelajar yang menyertai kayuhan,” katanya.

Sempena acara kayuhan itu pelbagai acara sampingan diadakan antaranya senamrobik, pameran kemerdekaan, persembahan pelajar dan cabutan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:23 AM