WARNA-WARNI sekitar Little India.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Meskipun Singapura dan Malaysia hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau, kunjungan penulis ke negara republik itu cuma kali kedua menerusi jemputan Singapore Tourism Board (STB) bagi pelancaran kempen pelancongan dan ekonomi Passion Made Possible, baru-baru ini.

Ketika kunjungan kali pertama dahulu bersama teman, seharian hanya menjelajah sekitar Taman Tema Universal Studios dan tiada berkesempatan meneroka Kota Singa itu secara lebih menyeluruh.

Semestinya kali ini kunjungan disertai rombongan media Malaysia membuatkan sesi ‘Fam Trip’ kali ini dipenuhi pelbagai aktiviti menarik.

Malah sewaktu menjengah jadual program sepanjang empat hari di sana, perkara menarik perhatian ialah beberapa lokasi makanan bakal menjadi destinasi kami menjamu selera.

Bayangkan sebaik saja kaki menjejak di hotel M Social iaitu lokasi bermalam kami sepanjang berada di Singapura, kami terus dibawa pihak STB ke restoran peranakan popular iaitu Violet Oon.


DEKORASI sentuhan peranakan pada restoran Violet Oon.

Kedatangan kami disambut mesra ‘tuan rumah’ begitu teruja berkongsi mengenai hidangan nyonya yang banyak diinspirasikan daripada hidangan peranakan Melaka serta Pulau Pinang.

Restoran terletak di dalam Galeri Nasional Singapura turut mempunyai galeri kecil memaparkan pinggan porselin seperti di kopitiam turut menyuntik seolah-olah berada di dua lokasi peranakan itu.

Selain itu dekorasi dinding turut menampilkan jubin berwarna-warni tidak menggugat konsep ‘elegan dining’ malah memberikan suasana santai kepada pengunjung restoran itu termasuk kami yang baru mengenali antara satu sama lain.


MEDIA teruja mencuba hidangan di Violet Oon.

Pujian diberikan kepada Violet apabila menyapa sendiri penulis dan wakil Bernama, Hazlinda Hamzah, memaklumkan semua hidangan termasuk ayam dan daging didatangkan daripada pembekal halal sekali gus mengetepikan keraguan kami.

Lebih lapan menu disajikan dan paling menarik perhatian hidangan Buah Keluak Ayam kali pertama dijamah penulis.

Sebaik mencuba hidangan berkenaan, rasa masin, masam, manis dan pedas silih berganti dalam hidangan itu terasa enak dan semestinya harus dicuba buat peminat hidangan tradisional. Restorannya turut berada di dua lokasi lain iaitu di Bukit Timah dan Clarke Quay.

Selain itu kenangan berada di Kampung Glam atau Gelam menarik perhatian penulis. Seperti kampung seni, baik pakaian hinggalah cenderahati, semuanya boleh didapati di sini.


MURAL merubah wajah rumah kedai di Kampung Glam.

Kampung Glam asalnya kampung Melayu Singapura kini dinaik taraf menjadi pusat pelancongan apabila mempunyai lakaran atau lukisan grafiti menghiasi lorong kedai di kawasan berkenaan.

Malah kesempatan mendirikan solat Zuhur di Masjid Sultan turut menempatkan makam Tengku Alam yang juga anak Sultan Ali Iskandar Shah iaitu kesultanan Johor Riau-Lingga.

Kawasan masjid ini pernah menempatkan Istana Sultan Hussein Shah berkeluasan 23 hektar pemberian Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika kurun ke-18.


MASJID Sultan tumpuan komuniti Islam.

Perjalanan kami tidak terhenti setakat itu apabila mengunjungi restoran unik Wild Rocket. Menarik mengenai pemiliknya Cef Wilin Low mengangkat hidangan tradisional dengan cara unik.

Pembukaan selera ‘Pomelo Salad with tiger prawns and frozen coconut dressing’ sudah menterjemahkan hidangan bukan sekadar rasa enak dan tekstur unik malah seni indah terhidang dalam pinggan.

Malah dia tidak ragu-ragu menunjukkan draf setiap persembahan hidangan terhadap kami dan semestinya peluang mengenalinya secara dekat satu pengalaman menarik.

Melengkapkan pengalaman menikmati sajian laut itu turut dilengkapkan dengan pengalaman menyusuri sungai dengan bot menerusi perkhidmatan Singapore River Cruise. Perjalanan mengenakan tiket SGD25 (RM77.80) bagi mereka yang menyukai pelayaran romantis sekitar bandar Singapura, pelayaran selama sejam itu semestinya satu momen berbaloi.


SINGAPORE River Cruise membawa penulis dan rakan media mengelilingi sekitar Marina Bay.

Satu lagi pengalaman sukar dilupakan peserta rombongan ialah peluang menaiki Vespa Sidecar mengelilingi kawasan tarikan pelancongan sekitar Singapura.

Mengaku berdebar menjadi pembonceng dalam sidecar, sikap terbuka penduduk tempatan menyapa membuatkan perjalanan selama 30 minit itu dirasa singkat.

Penutup menarik bagi pengembaraan kami apabila berpeluang mencuba sajian pencuci mulut di restoran Artichoke milik Cef Bjorn Shen. Cef Bjorn tercalon bagi anugerah ‘Rising Chef of the year 2015 di World Gourmet Series Awards of Excellence bukan saja berkongsi mengenai restoran tetapi juga perjalanan kariernya.


CANTIK hidangan di Artichoke.

Kata Bjorn, dia jatuh cinta dengan selera timur apabila mempunyai ramai kenalan di rantau itu mencetus inspirasi terhadap hidangan roti dan manisan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 1:14 AM