SERAMAI 200 peserta sertai acara sempena Bulan Kemerdekaan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Konsep beriadah sambil beramal yang diketengahkan dalam program kayuhan sering mendapat tempat apabila menerima penyertaan menggalakkan daripada peserta khususnya peminat basikal.

Bertempat di Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, acara berbasikal sambil mendekati golongan kurang bernasib baik dilaksanakan Pejabat Parlimen Pasir Gudang dengan kerjasama Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Bulan Kemerdekaan, baru-baru ini.

Seramai 200 peserta terdiri orang awam, anggota PDRM dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengayuh sejauh 20 kilometer dengan kibaran Jalur Gemilang pada basikal mereka membabitkan tiga perhentian yang bermula dan berakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seri Alam.

Pelepasan disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad. Turut hadir, Ketua Polis Daerah, Superintenden Jokhiri Abdul Aziz; Timbalannya, Deputi Superintenden, Norazam Syaari dan Ketua Pegawai Pembuatan CCM Cawangan Pasir Gudang, Mukri Harun.

Peserta kayuhan berpeluang menziarah tiga pesakit kronik di lokasi perhentian, malah peserta juga sama-sama menyelami keperitan ditanggung tiga pesakit terbabit. Mereka ialah Fauziah Che Lah, 58, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta jantung; Hapsah Abdullah, 71, menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sehingga terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dan Muhammad Auaran Kutty, 71, yang menghidap kanser prostat.

Normala juga menyampaikan sumbangan wang RM100, barangan keperluan harian dan produk farmaseutikal CCM bagi meringankan beban pesakit kronik berkenaan.

Normala yang juga Pengerusi CCM, berkata acara Kayuhan Kasih Merdeka 2017 itu selain menyemaikan bibit mencintai tanah air dan menggalakkan gaya hidup sihat, penganjurannya juga untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Kayuhan Kasih Merdeka 2017 membolehkan penyertaan penuh setiap anggota masyarakat dan kami yakin acara ini menyemarakkan nilai-nilai patriotisme dan semangat perpaduan untuk membantu satu sama lain pada masa-masa memerlukan.

“Sempena tema sambutan kemerdekaan negara kita tahun ini, Negaraku Sehati Sejiwa, ia bertepatan dengan program yang kita anjurkan ini.

“Kita sehati sejiwa melakukan aktiviti ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan khususnya di kawasan Parlimen Pasir Gudang,” katanya.

Aktiviti berkenaan juga membolehkan pemimpin mengukuhkan hubungan dengan masyarakat dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani keperluan masyarakat umum.

Menurut Normala, pihaknya akan melakukan lawatan susulan terhadap tiga penerima berkenaan bagi membantu keperluan lain termasuk memberi peralatan contoh seperti mesin jahit untuk membolehkan mereka berdikari dan menambah pendapatan.

“Saya berharap acara berbasikal ini tidak saja dapat memupuk semangat patriotik dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, malah mewujudkan rasa bangga terhadap negara menerusi aktiviti kemasyarakatan yang menyeronokkan,” katanya.

Mengenai CCM, ia adalah syarikat tersenarai awam di pasaran utama Bursa Malaysia. Sejak ditubuhkan pada 1963, CCM memainkan peranan penting dalam pembangunan industri produk farmaseutikal, bahan kimia dan polimer sambil mempelopori dan menggerakkan inisiatif halal di Malaysia.

Dengan komitmen selama lebih lima dekad untuk menambah baik kualiti hidup semua rakyat Malaysia, CCM menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada sektor penjagaan kesihatan, bahan kimia dan polimer bagi mengukuhkan lagi misi untuk membekalkan penyelesaian yang inovatif berasaskan sains dan teknologi kepada semua pihak yang berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 3:12 AM